RSS

Wednesday, June 13, 2012

"SYUKURLAH, AT LEAST AWAK ADA SUAMI"






“ Cuba buka link ni, u must read this.”

Begitulah SMS yang saya terima untuk buka emel yang mengandungi link tersebut. Jika cadangan daripada beliau, saya perlu ambil serius kerana orang seperti beliau tidak membaca bahan yang ringan dan sampah.  Maka tiada tangguh lagi.

Lihat, dia sungguh tahu bagaimana menggoda cabaran saya dengan link ini. Membuatkan tidur saya terganggu dan mundar mandir satu rumah.

“ Patutlah keluar buku  The Truth About Muhammad: Founder of the World's Most Intolerant Religion . Haaihh, tu Irshad Manji tu, jadi macam tu sebab nil ah.”

Saya menggerutu mencari idea bagaimana saya boleh respon terhadap pendapat dalam link tersebut. Mungkin kalian juga ada terbaca tetapi saya yakin tidak ramai kerana kebanyakan daripada kita apabila membaca akhbar terus sahaja melihat berita siapa kena bunuh, siapa accident, siapa kena patut ular, rumah siapa terbakar , artis mana baru kahwin, artis mana pula baru bercerai dan pasukan bola mana yang menang.

Satu ruangan ini yang saya kira disisihkan patut diambil perhatian untuk diteliti iaitu ruangan soal jawab agama atau permasalahan. Saya tidak ingat surat khabar berapa haribulan, tetapi saya dapat ‘tampal’ di sini kandungan ruangan tersebut dan respon saya terhadap jawapan kepada ustaz yang menjawab. Saya yakin, di Negara ini, kita bebas untuk berdiskusi dan memberi pandangan agar percambahan ilmu dapat meluaskan pandangan semua orang.

SOALAN DARIPADA PEMBACA

SAYA sudah berkahwin dan tertekan dengan sikap suami. Suami jarang solat dan apabila ditegur, dia bermasam muka. Keadaan itu menyebabkan saya mengalah dan mudah memaafkannya.

Pernah saya tegur dengan cara lembut tetapi tetap tidak berhasil. Apabila memikirkan ikatan perkahwinan yang dibina selama sembilan tahun, saya akhirnya mengalah.
Kadangkala, sabar seorang isteri ada hadnya. Pernah sekali saya terjumpa mesej mesra dengan wanita lain. Bila diajak berbincang dia cuba mengelak kemudian saya yang dimakinya.

Macam-macam perkataan kurang sopan dilemparkan kepada saya. Saya ingin mengambil keputusan untuk bercerai, tapi tidak sampai hati kerana memikirkan anak-anak.

Dia umpamakan saya seorang isteri yang cemburu buta, suka menuduh sesuatu yang dia tidak buat. Ketika marah, saya tidur berasingan dengannya.

Suami saya jarang menunjukkan perasaan sayang dan hormatnya kepada saya walaupun di depan orang ramai. Dia berani meninggikan suara kadangkala mengherdik saya.

Berbeza sekali sikapnya jika berdepan dengan rakan di luar. Malah semua urusan anak saya yang aturkan dan maklumkan kepadanya. Saya tidak ubah seperti seorang isteri tanpa suami.

Berdosakah saya sekiranya selalu mengasingkan diri dan tidak tidur bersamanya? Apakah patut saya melawan cakap suami dan hilang rasa hormat atas perbuatannya itu?

UMI,
Johor

JAWAPAN DARIPADA USTAZ

TEKANAN perasaan dialami semua orang dalam menghadapi cabaran hidup. Ia boleh berlaku dalam alam rumah tangga, keluarga, pekerjaan dan sebagainya.


Islam melihat kehidupan dunia sebagai ujian (ibtila’, bala) dalam menguji kesabaran dan kesyukuran seseorang hamba Allah. Kita hendaklah sentiasa bersabar dengan segala ujian biasanya yang tidak baik dan bersyukur apabila menerima nikmat daripada Allah.

Dalam kes di atas, puan terganggu dengan sikap suami seperti tidak bersolat, mengabaikan teguran yang baik, mempunyai wanita lain hingga timbul rasa cemburu dan api kemarahan.

Itu menjadikan puan seorang pendendam terhadap suami hingga sentiasa tidur berasingan dengannya. Puan pula dibiarkan mengurus rumah tangga dan anak bersendirian tanpa bantuannya.

Semua itu menyebabkan puan hilang rasa hormat kepada suami dan berdendam dengan suami. Bagaimanapun, kasih kepada anak yang mengikat perkahwinan puan.

Beberapa nasihat yang saya boleh berikan, antaranya puan hendaklah menghilangkan sikap pendendam dengan suami kerana sikap dan kelakuannya itu.

Perasaan seperti dendam dan benci boleh menghalang hubungan erat antara suami isteri. Perasaan sedemikian sebahagian daripada penyakit hati yang perlu dihapuskan dan diganti dengan kasih sayang serta mawaddah.

Kedua, puan hendaklah melayan suami dengan sebaik mungkin dan tidak membiarkan tidur sendirian. Perbuatan sedemikian hanya mengundang perkara negatif lain seperti suami ingin berkahwin lain.

Islam mengajar bahawa kedua-dua suami isteri adalah teman hidup dan teman tidur. Segala persengketaan dan pertelingkahan hendaklah diselesaikan sebaik mungkin.

Ketiga, mengambil sikap bermaafan antara satu sama lain adalah asas keharmonian rumah tangga. Tiada seorang pun yang maksum daripada melakukan kesilapan melainkan nabi saja.

Keempat, ambillah pendekatan bersyukur dengan adanya suami dan anak serta bersabar dengan kerenah mereka. Kelima, apabila proses membaiki diri berjalan dengan baik, kita dapat membaiki orang lain sebaik mungkin.

Apabila berbuat demikian InsyaAllah rumah tangga menjadi aman dan bahagia. Suami menjadi taat kepada Allah dengan bersolat dan bertanggungjawab kepada anak dan isteri.

RESPON SAYA TERHADAP JAWAPAN USTAZ

Assalamu'alaikum ustaz,

Saya terpanggil untuk respon terhadap jawapan yang ustaz berikan terhadap persoalan di atas di mana saya merasakan ia kurang tepat dan tidak memberikan solusi terhadap permasalahan yang dialami oleh penyoal. Berulang kali saya membaca luahan perasaannya, dan mungkin kerana saya wanita, saya lebih memahami apa yang sedang dialami oleh beliau. Untuk lebih jelas, saya aturkan sikap suaminya :

1) tidak solat
2) tidak boleh ditegur sebab tak solat walaupun dah ditegur secara lembut
3) mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap isteri
4) menuduh isteri cemburu buta sedang suami yang berhubungan mesra dengan wanita lain
5) Tidak menghormati isteri di hadapan orang lain bahkan sampai mengherdik isteri
6) membiarkan isteri melakukan urusan rumah tangga seorang diri seperti tiada suami
7) tidak boleh diajak berbincang, tetapi dimaki isterinya.

Saya aturkan pula jawapan ustaz :

1) Hilangkan sifat pendendam isteri kepada suami yang bersikap seperti SEMUA DI ATAS kerana ia adalah PENYAKIT HATI  SI ISTERI
2) si isteri ini dinasihatkan agar melayan suami yang bersikap seperti SEMUA DI ATAS dengan baik dan jangan biarkan dia tidur sendirian
3) si isteri ini perlu memaafkan sikap suami seperti SEMUA DI ATAS sebab suami ini tak maksum
4) si isteri harus bersyukur kerana memiiki suami yang bersikap seperti SEMUA DI ATAS

Saya aturkan pula pandangan saya :

1) Saya tidak menolak bahawa TAAT kepada suami adalah kunci ke syurga. bahkan terdapat banyak sekali dalil yang mewajibkan taat kepada suami walau dalam apa cara sekalipun kecuali dalam hal menyuruh kemungkaran. Saya juga tidak menolak bahawa bukanlah tanggungjawab isteri untuk mmbimbing suami yang jahil agama dan hak ketaatan tidak terlucut kerana suami yang jahil agama. Saya tidak perlu hamparkan kesemua dalil tersebut

2) Saya lebih melihat solusi dan relief yang diharapkan daripada luahan isteri di atas. Rumah tangga Islami bertujuan untuk memberikan mawaddah warahmah buat pasangan suami isteri. Pernikahan juga sepatutnya memberikan ketenteraman bagi pasangan seperti yang telah disebutkan dalam AQ. Atas objektif ini, seorang manusia yang berhati, pastilah merasa sedih dan tertekan terhadap pasangan yang tidak dapat sama2 mencapai tujuan tersebut. Wajarlah apa yang dirasai oleh isteri ini sehingga membawa kepada niatnya ingin bercerai selepas dia berusaha menegur, berbincang tetapi tetap gagal. Ingatlah, Islam adalah solusi terhadap permasalahan, dan sekiranya ustaz hanya menasihatkan seperti 4 perkara di atas, saya tidak merasakan ia adalah solusi kepada permasalahan beliau kerana yang patut diperhatikan dan diperbetulkan adalah sikap suaminya yang membuatkan dia terus tertekan.

3) Perkahwinan bukan sekadar untuk menghalalkan nafsu dan menjadi teman tidur sahaja tetapi ia merupakan tanggungjawab terhadap keturunan dan zuriat. Seorang suami adalah pemimpin dan qudwah untuk isteri dan anak-anak. Dalam kes ini, si isteri yang dewasa dan lebih baik agamanya, mungkin boleh tapis sikap kejahilan suami. Tetapi bagaimana pula dengan anak2 yang melihatkan ayah yang tidak solat, akhlak keji dan buruk, apakah Islam sezalim itu untuk isteri terus akur dengan suami sebegini dengan membiarkan anak2 melihat si ayah yang jahil agama.Apa kesannya pula pada anak2? Jika disiasat, punca anak yang rosak agamanya turut berpunca daripada ibu ayah yang tidak memberi contoh yang baik. Saya tidak rasa bahawa Islam bermaksud untuk seseorang itu terus mempertahankan perkahwinannya setelah usaha memperbaikinya sering gagal dan mengakibatkan kecacatan agama terhadap keturunannya kelak.

4) Benarkah ketaatan itu total dan tiada hadnya?
Dalam riwayat Al Bazzar dan Ibnu Hibban, dinyatakan bahawa seorang lelaki membawa anak perempuannya kepada Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, lalu ia berkata bahawa anak perempuannya itu enggan berkahwin. Sabda Rasulullah, taatilah bapamu. Kata anak perempuannya: demi Allah yang mengutuskan kamu dengan haq, aku tidak akan berkahwin sehingga kamu beritahuku apakah hak suami yang isteri mesti tunaikan? Sabda Rasulullah: hak suami ke atas isteri ialah sekiranya ada pada suami kudis maka isteri menjilatnya, ataupun keluar darah atau nanah dari lubang hidungnya kemudian perempuan itu menelannya, belumlah ia menunaikan hak suaminya. Kata anak perempuan itu: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan haq, aku tidak akan berkahwin selama-lamanya. Sabda Rasulullah: janganlah kamu nikahkan dia melainkan dengan izinnya.”

Hadis ini menjelaskan dalam ketaatan ada hadnya sehinggakan Rasulullah tidak mengizinkan menikahkan seorang wanita tanpa izinnya sekiranya dia tidak sanggup untuk mentaati suaminya setelah mengetahui ada hal yang tidak disukainya. Ya, ini sebelum wanita itu menikah. Jika sudah menikah, sampai keluar nanah dn ditelan sekalipun belum tertunai hak suami, begitulah tahap taat yang patut dilakukan isteri. Namun, yang jelas di sini, Rasulullah mengakui bahawa ada limit yang tak tersanggup oleh seorang wanita sehingga tidak dipaksakan wanita itu dinikahkan di luar kesanggupannya untuk taat.

Barangkali menyebut talak atau penceraian begitu tidak soleh di pandangan rata-rata orang. Namun,ia tergantung situasi. Suami yang enggan taat pada Allah, menunjukkan contoh yang buruk, curang dengan wanita lain, suka memaki hamun isteri, ego untuk berbincang, tidakkah begitu kejam untuk menghukum isteri ini untuk terus redha dengan situasi ini. Adakah penceraian terlalu 'haram' untuknya demi agamanya dan anak2nya? Adakah sudah hilang kelayakannya untuk mempunyai suami yang lebih baik selepas penceraian. Saya kira ustaz lebih mengerti mengenai maqasid syariah yang meletakkan pemeliharaan agama dan keturunan adalah maksud utama dalam setiap hukum yang kita letakkan. dalam AKTA 303 memperuntukkan:

AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN
Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;

Dalam keadaan penyoal di atas, beliau berhak untuk pembubaran perkahwinan berdasarkan klausa di atas sekiranya suaminya berperangai keji menurut syara'. Ia subjektif dan sikap suaminya bagi pendapat saya termasuk dalam maksud klausa ini. Tidak semua perkahwinan harus berkekalan walau keadaan apa sekalipun. Islam adalah agama yang bersifat murunah dan memenuhi keperluan manusiawi seorang insan. Apatahlagi yang membacanya nanti adalah orang bukan Islam yang sedang menilai Islam itu bagaimana dan jawapan yang diberikan ustaz dikhuatiri akan memberi gambaran bahawa Islam agama yang tidak adil dan berlawanan dengan nilai kemanusiaan. Lebih-lebih lagi amukan Islamophobia yang menggembar-gemburkan Islam tidak memberi hak kepada wanita terutama dalam perkahwinan. Maka, tidak hairanlah lahirnya buku seperti The Truth About Muhammad: Founder of the World's Most Intolerant Religion . Kita perlu membuka mata masyarakat bahawa Islam adalah solusi dalam segala permasalahan bukan agama yang sempit dan penuh hukuman. Islam itu rahmat, dan sebarkanlah rahmat itu dengan maksudnya yang sebenar.

Wallahu'alam

Nurul 'Izzah Zainol

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nah, ini pandangan saya, bagaimana pula anda?

3 comments:

Blog Cik La said...

Assalamualaikum & salam perkenalan..
Saya amat tertarik dengan komen awak..adil di dalam menuntut hak seorang wanita jika dia dizalimi.. :)

ira said...

salam ukhwah :) sangat sangat tertarik,adil, bagus.. hanya wanita memahami :) hak wanita untuk maruah diri dan agama :) take noted :)

Unknown said...

Assalammualaikum, bagaimana pula situasi itu dibalikkan kepada pihak suami? Suami mematuhi perintah Allah SWT dan isteri pula tidak...bila di tegur ada saja alasan secara aklie dihujahkannya...terkait laa bab nafkah lah, tannggungjwb laa dan mcm2 lagi...sedangkan diri si isteri tu sendiri yang tak mahu berubah...mohon di huraikan..wassalam

Post a Comment