RSS
Showing posts with label RIHLAH RUHI. Show all posts
Showing posts with label RIHLAH RUHI. Show all posts

Monday, June 20, 2011

CINTA KITA SAMPAI SYURGA





mahu atau tidak?
kita cinta sampai syurga
bukan sekadar dunia
mahu atau tidak?
kita bercinta sampai syurga
tiada yang menggantikan
antara kita
kerana cinta kita
CINTA SAMPAI SYURGA

Hidup bukan untuk main-main. Jauh lagi untuk suka-suka. Kerana bukan untuk  semua ini, hidup ini adalah kerja berat, kerja maha serius untuk kita ambil peduli. Pada apa, dari mana, ke mana, mahu apa dan bagaimana untuk hidup adalah persoalan yang perlukan jawapan.

Suatu hari di café Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya dan dia meliar menyeluruhi gelagat para peguam. Pakaian hitam putih dengan timbunan fail kes di tangan adalah symbol penuh elit dan eksklusif. Waktu itu saya sedang menanti dokumen kes saya difotostat. Urusan ke mahkamah adalah hal yang tidak digemari oleh mana-mana peguam. Aneh bukan. Kerana ia melibatkan masa yang terbuang hanya kerana birokrasi yang menyemakkan. Rimas. Sungguh rimas. Dari kaunter tingakt 1 ke Kaunter Tingkat 2. Kemudian di pas semula ke kaunter 1. Kaunter 1 kata Kaunter 3 pula. Paling akhir, pegawai cuti. Datang lagi nanti.

Atau mungkin kerana saya peguam pelatih. Maka inilah pengalaman yang perlu saya lalui. Tidak tahu kaunter mana yang tepat sehingga masa habis begitu sahaja. Dokumen tidak cukup. Perlu ‘copy’ lagi dan ia melibatkan proses menunggu fotostat yang bukan sekejap. Semua ini adalah normal untuk peguam pelatih. Agar dia dapat biasakan diri dengan ragam mahkamah. Bila sudah jadi peguam nanti, semua itu despatch yang buat. Bukan ppeguam lagi. Itulah nasihat dan pandangan teman-teman peguam pelatih yang lain.

Bukan saya tidak faham. Ketahuilah yang saya faham sangat semua itu. Cuma, saya begitu ‘calculative’ dengan masa saya. Tidak mahu terbuang begitu sahaja. Kerana mungkin pantang besar saya adalah menunggu, lambat dan tidak serius. Bukan ertinya saya tergesa-gesa, tetapi tidak mahu waktu berlalu tanpa manfaat apa-apa.

“ Atiqah, adakah akak akan habiskan masa seharian begini untuk tempoh 9 bulan? Itu minimum waktu?”

“Kenapa akak Tanya macam tu? Akak yang nak jadi peguam kan? Memang inilah cara hidupnya.

“ Awak tengok, adakah akak akan menjadi sebahagian daripada mereka, masa banyak berhabisan di mahkamah kerana proses yang memakan waktu?”

“ Maksud akak apa? Ada cara lainkah untuk elakkan semua ni?

“ entahlah Atiqah, entah sampai bila akak boleh hidup di dunia ni. Walau ia untuk 9 bulan. Ia adalah masa. Atau akak orang yang tidak sabar, mahu cepat semuanya. Maksud akak, bagaimana akak boleh maksimakan masa akak betul-betul bermanfaat untuk orang lain, untuk dakwah. Jika seharian akak deal dengan dokumen, menguruskan satu dua kes, adakah cukup manfaat waktu akak itu?”

“ Akak, selesaikan kes orang kan ibadah juga. Akak niatkan ibadah. Maka ia akan berpahala juga.”

“ Ya, akak maklum semua itu. Yang sangat akak kisahkan, akak tidak jumpa bagaimana akak boleh maksimakan masa akak sepanjang menjalani latihan guaman ini untuk dakwah.”

Mak Cik kedai fotostat sudah memanggil. Semuanya tergantung di situ dan kami harus berkejar ke kaunter lain. Entah betul atau tidak nantinya.

Saturday, February 5, 2011

SAYA CARI LELAKI ITU





Apabila kaumku bertanya
siapakah pemuda sejati itu
aku khuatir yang dimaksudkan itu
adalah AKU
sedang aku belum siap untuk itu

-Hassan Al Banna-
Hisbah


Saya singgah sebentar tadi di bilik teman baik. Selalunya akan jadi teman baik. Petang ini cadangnya ingin berdiskusi tentang kerja kuliah yang disuakan pensyarah sebagai teman cuti pertengahan semester. Soalan yang maha sukar begini bukan boleh perasan sendiri buat seorang diri. Maka kami mengambil langkah selamat dengan berbincang dahulu. Walau nanti kalian akan tahu, bahawa yang kami bincangkan adalah terlampau menjangkau kerja kuliah.

Begini. Kita mulakan.

Wajah teman saya sedikit kusut. Fikirannya bagai tersangkut di puncak gunung entah di mana saya kira. Maka di sinilah bermulanya lencongan tajam daripada diskusi kerja kuliah ke diskusi maha rumit. Mengusutkan.

“ Kawan, kau tahu kan Pilihan Raya Kampus kita makin dekat. Sepatutnya aku perlu ke meeting untuk tentukan calon bertanding..Sudah berapa kali aku bolos..mereka pasti marahkan aku..”

Bicaranya dimatikan. ‘Pangkat’nya di kampus kami bukan calang-calang. Wajarlah dia gusar begitu.

“ Makanya? Kenapa kau tidak ke meeting saja?”

“ Aku buntu mahu calonkan siapa jadi Presiden kita, Imam yang kita percayai mengemudi mahasiswa kita..Kau punya calon untuk aku bawa ke atas?”

Monday, January 10, 2011

CINTA DI TITIK KETAATAN





Jadikan cintaku Ya Allah
Berhenti atas titik ketaatan
Meloncati rasa suka dan tidak suka

Kerana aku tahu
mentaatiMu dalam hal yang tak kusukai
Adalah kepayahan, perjuangan dan bergelimang pahala
Kerana seringkali ketidak sukaanku
Adalah bagian dari ketidak tahuanku

Julaibib. Begitu dia biasa dipanggil. Kata ini sahaja sudah menunjukkan ciri fiziknya; kerdil. Julaibib. Nama yang tidak biasa dan tidak lengkap. Nama ini tentu bukan ia sendiri yang menghendaki. Tidak pula orang tuanya. Julaibib hadir ke dunia tanpa mengetahui siapa ayah dan yang mana bondanya. Demikian orang-orang sekelilingnya pula, semua tidak tahu dan tidak mahu tahu tentang nasab Julaibib. Sungguh terpinggir. Apatahlagi bagi masyarakat Yatsrib bahawa seseorang yang tidak bernasab dan tak dikenal keturunannya adalah kecacatan sosial yang tak terampunkan.

Julaibib yang tersisih. Wajahnya yang jelek terkesan sangar.Pendek. Bongkok. Hitam. Fakir. Kainnya usang. Pakaiannya lusuh. Kakinya pecah-pecah beralas kerikil melukakan. Tidak ada rumah tempat berteduh. Tidur sembarangan beralaskan lengan dengan tubuh sering ditusuk dingin malam dan terik mentari yang menyengat. Minumnya hanya dari kolam-kolam di tepian entah milik siapa yang diceduk dengan tangkupan telapak tangannya yang hitam gelap.

Demikianlah Julaibib.

Namun, Islam telah memuliakan kedudukannya di sisi Allah. Dia adalah seorang sahabat Rasulullah yang sentiasa berada di saff yang terdepan dalam setiap solat dan juga dalam medan perang. Sungguhpun ramai yang memperlakukan Julaibib seolah-olah dia tidak pernah wujud di kalangan manusia, namun tidak begitu bagi Sang Rasul. Semestinya itulah Rasul kita yang kaya dengan kasih sayang dan kepedulian. Suatu waktu, Julaibib sedang duduk di shuffah Masjid Nabawi. Dia ditegur oleh Rasulullah SAW.

“Julaibib..” Begitu lembut suara Rasullullah memanggil.

“Tidakkah kamu mahu menikah?” Wajah Rasulullah lebih bercahaya.

“ Siapakah orangnya Ya Rasulullah, yang menginginkan aku yang seperti ini?” Dia merendah diri.

Sunday, December 26, 2010

NAZHAR BUKAN TAARUF




kecocokan jiwa memang tak selalu sama rumusnya
ada dua sungai besar yang bertemu dan bermuara di laut
yang satu; kesamaan
ada panas dan dingin bertemu untuk mencapai kehangatan;
itu keseimbangan
ada hujan lebat berjumpa di tanah subur lalu menumbuhkan taman;
itu kegenapan

tetapi, satu hal yang tetap sama
mereka cocok kerana bersama bertasbih memujiNya
seperti segala sesuatu yang di langit dan di bumi,
ruku' pada keagunganNya.


Pagi tadi baru selesai satu liqo setelah jemaah subuh. Hampir dua jam. saya mahu membaringkan diri sebentar di musola sementara menunggu liqo’ yang seterusnya. Telapak tangan terasa bergetar, ada mesej rupanya.

“Salam kak. Lama menyepi? Akak sibuk tak, saya nak berkongsi masalah sikit.”

Ada keperluan nampaknya. Saya mengenepikan kehendak hati yang mahu istirehat.

“ Wasalam. Afwan, agak sibuk kebelakangan ini. Ada apa ya? Silakan, akak sedia untuk mendengar. Tidak lama setelah itu, saya menerima panggilan daripadanya. Suaranya mendatar tetapi penuh kusut.

“ Akak, saya kan dah bertunang kan..dan kami memang bersetuju tidak mahu berhubung apa-apa sepanjang tempoh ini. Biar serahkan pada orang tua untuk berhubung. Tapi kan kak, orang sekeliling saya semua kata saya ni pelik, tak relevan kalau tak contact dengan tunang sendiri. Waktu beginilah nak taaruf, nak kenal hati budi sebelum jadi menikah nanti.”

“ Jadi?” Saya sebenarnya tahu apa yang menggundahkannya. Mahu menduga dahulu.

“Err, betul ke apa yang saya buat ni kak? Tak perlu ke saya fikirkan apa yang mereka cakap kak.?Bila fikir balik betul juga. Saya bertunang pun melalui orang tengah dalam tempoh urusan sebulan. Sebelum itu pun saya tidak pernah kenal dia secara peribadi, risau juga.”

“ Sudah? Jika ya, izinkan akak menghilangkan gundah awak. Supaya ia lebih menenangkan awak.”
“ Baik kak.” Desah nafasnya di hujung talian jelas menunjukkan dia masih ragu akan pendiriannya. Saya mulakan tugas.

“ Dik, Islam itu mudah. Nasib baik Allah tidak suruh kita utamakan kehendak manusia saat mahu membuat keputusan atau pilihan. Jika tidak, kalau ada keliling kita 100 hati manusia yang perlu kita kisahkan, serabut kepala kita. Allah hanya minta kita hanya ikut satu saja. Ikut apa yang Allah katakan. Kan mudah..ikut apa yang satu-satunya syariat gariskan.”

“ Maksud akak?” Dia seperti tidak sabar.

Tuesday, December 21, 2010

MEMILIH PILIHAN




Bukan cita rasamu sebagai ukuran
Bukan inginmu kau kejarkan
pada Dia pilihan kau sandarkan
biar hasilnya di kuburan

Ada yang kata minat itu hukumnya statik. Ada juga yang berpendapat ianya kinestetik. Sentiasa bergerak dan berubah. Saya kata pula ia pada mulanya static tetapi sejak mengenali tarbiyah ini, ia rupanya kinestetik.

Ceritanya.

“ Kau memang betul mahu jadi pensyarah?” Matanya mencerlung. Bagai ia suatu yang mengejutkan.

“ Ya, kenapa? Tidak sesuai denganku?” Hairan saya melihat reaksinya. Saya melabuhkan duduk di birai katil biliknya.

“ It’s not so you. Kau tu karekternya sesuai jadi peguam, pejuangkan keadilan, ketegasan kau dalam berkata. Kita semua memerlukan itu. Sudah lupa itu yang kau citakan sejak kecil. Kau telah menghampirinya. Jadi peguam sahajalah.”

Saya tahu teman baik saya itu tidak setuju. Memang kami telah lama bersahabat. Dan dia sungguh mengenali diri saya seadanya. Saya memang sedar dan akur, saya sangat sukakan cabaran dan bidang guaman itu menyediakan cabaran yang saya inginkan. Petang itu kami sedang diskusi tentang hala tuju setelah graduate. Ada 3 jalan yang tersedia dalam jangka masa pendek ini yang menyalurkan kepada kerjaya mana yang kami mahukan.

Khali. Hanya bunyi kipas berpusing menghuni telinga. Pengalaman saya praktikal di sebuah firma guaman baru-baru ini kembali mengusik tekad yang ada. Ya, waktu itu memang saya sungguh jatuh cinta dalam bidang guaman.

“ Aku tahu itu. Terima kasih kerana kau setia menyokong citaku. Cuma kau perlu tahu seperkara, tidak semua yang kita mahukan itu, kita mesti mencapainya. Ya, aku sememangnya mahu mencari Ahmad Ibrahim yang hilang, yang memperjuangkan hak syariah di Negara kita. Pengorbanan kepada citaku itu bersebab. Kau harus tahu itu dulu.” Saya berjeda. Menyusun kata agar dia mengerti.

“Apa dia? Katakan saja. Aku kenal kau bukan semalam.” Dia masih tidak puas hati.

Thursday, December 2, 2010

MENCINTAI SEJANTAN ALI






cinta adalah tanggungjawab
selagi agama yang kau andalkan
cinta adalah keberanian atau pengorbanan
saat kau kecundang dalam memiliki
cinta sememangnya bukan dimiliki

Ada rahsia yang terdalam di hati Ali yang tidak dikisahkannya oleh sesiapa pun. Fathimah. Karib kecilnya itu, puteri kesayangan Rasulullah yang adalah sepupunya itu sungguh mempesonakan. Kesantunnya, ibadahnya, kecekalannya, dan rupawannya kurniaan Allah. Lihatlah gadis itu suatu ketika ayahnya pulang dengan luka memercik darah dan kepala dilumur isi perut unta. Ia bersihkan hati-hati, ia seka dengan penuh cinta. Ia bakar perca dan ditempelkannya pada luka agar darah tidak terus mengalir. Sedang air matanya mengalir perlahan menangisi ujian yang ditanggung sang ayah. Muhammad ibnu Abdullah tidak layak diperlukan demikian!

Maka gadis wirawati itu bangkit. Gagah ia berjalan menuju Ka’abah. Dilihatnya dari jauh para pemuka Quraisy saling tertawa membanggakan tindakan mereka pada Sang Nabi yang diperlakukan seperti binatang. Mereka tiba-tiba diam apabila Fathimah mengherdik mereka sehingga mulut mereka terkunci dan tertunduk atas pembelaan Fathimah.

Mengagumkan!

Ali tidak tahu apakah rasa itu bisa disebut cinta. Apakah kekagumannya pada agama dan perjuangan si gadis merupakan perasaan asing yang kerap bertamu dalam jiwanya adalah cinta. Atau sekadar kagum dan hormat sebagai anak seorang Rasul Allah. Tetapi ia harus jujur bahawa jiwanya tersentak saat mendengar khabar bahawa Fathimah telah dilamar oleh seorang lelaki yang paling akrab dan paling dekat kedudukannya dengan Sang Nabi. Lelaki yang membela Islam dengan harta dan jiwa sejak awal lagi Rasulullah dipulaukan. Dan lelaki yang imannya tidak sebanding dengan dunia dan seisinya! Lelaki yang yang paling banyak mengislamkan mereka yang dijamin syurga!

Dialah Abu Bakr Asshidiq Radiyallahu ‘anhu.

Friday, October 15, 2010

CINTA. NURANI YANG BERBISIK




Fatwa hati seringkali benar
Namun pernah jua tersesat
Bertingkah hebat antara nurani dan dosa
Lalu tenggelam di ufuk rasa

Lega. Tiga hari saya istikharah untuk mendahulukan bab yang mana dalam siri kembara saya kali ini. Sudah saya tandai yang ketiga, saya ubah semula menandainya yang kelima. Lalu ke kelas sebentar. Fikiran saya berubah. Menandai yang kelima tadi berubah yang ketiga kembali. Sulit sungguh. Lebih sulit daripada mendahulukan sesiapa yang LEBIH baik menjadi pasangan hidup. Atas kesedaran hidupnya manusia itu kerana hidupnya hati, saya perlu mencari kunci asas untuk membuka hati para pembaca. Semoga jiwa yang menakung itu menjernih menyerap cahaya.

PERNAH KAU DENGAR KISAH INI?

Dia seseorang yang telah dua kali Rasulullah ambilnya sebagai menantu.
Ini kisah dari seorang sahabat yang merupakan pembantu kepada Rasulullah. Anas bin Malik.
“ Aku datang kepada Utsman Bin Affan” Kata Anas. “ Sewaktu aku dalam perjalanan aku bertemu dengan seorang wanita. Aku meliriknya dan memperhatikan kecantikannya.”

Begitu Anas sampai di hadapan Utsman, dia menegur, “ Telah masuk salah seorang di antara kalian sedang di matanya ada bekas zina. Tidakkah engkau tahu zinanya mata adalah pandangan? Hendaknya engkau bertaubat, kalau tidak, akan kukenakan hukuman ta’zir kepadamu!”

Utsman tidak menunjukkan sesiapa. Namun, Anas terasa dadanya begitu sempit. Jiwanya mahu runtuh. Bagaimana Utsman bisa tahu? Dia kalut.

Thursday, September 30, 2010

CINTA. BUKAN SYARATNYA



Seringkali cinta adalah sendinya
Namun ia tidak selalu menjadi syaratnya
Kerana cinta selalu sahaja tidak adil
Saat hati ditunggangi nafsu

Bab yang seterusnya. Helaian yang ketujuh sudah terlerai dari ruas buku kerana sering dihenyak ketika tertidur dengannya. Saya akui mentah-mentah. Bukan suka-suka tidak menjaga buku, tetapi telah menjadi satu rutin, tanpa buku, saya tidak dapat melelapkan mata. Memang cintalah suasana tulisan saya kali ini kerana menyikapi hal cinta ini begitu rumit. Saya puas mencari jalan menyelesaikan pekerjaan jiwa yang sungguh sukar meletakkan formulanya secara matematika. Saya tidak mahukan cinta yang terlalu manusiawi, tidak juga terlalu rabbani sehingga hilang fitrah asli insani. Beginilah saya cuba sintesiskan kisahnya untuk kalian tentang segitiga cinta. Bukan cinta tiga segi. Sungguh tiada kena mengena.

SENDI yang TAK SETIA

Selalu sahaja kita tidak merasakan cinta. Selalu juga kita merasakan terlalu cinta. Bahagia. Tidak terungkap pada kata, namun berbahasa pada mata. Saat dilambung cinta, segalanya mungkin bagi kita. Namun saat jiwa diterjah benci, darah juga sanggup kita korbankan. Aneh sungguh kuasa cinta. Ia bagai sendi yang menggerakkan segala daya yang tadinya statik dipaku jeriji. Tetapi sendi ini juga tidak setia saat karat besi mula menggerutu, dan merapuh untuk tumbang.

Ya, hukum manusia memang juga begitu. Mensyaratkan cinta sebagai sendi untuk setiap amal perbuatan bukanlah satu rumusan yang bijaksana. Kerana, hati yang menakung cinta ini tidak selalu setia pada tuannya. Pagi ini ia menjadi terlalu baik dan memilih hal-hal taqwa sahaja. Petang nanti ia merajuk dan menjadi degil jika mahunya tidak terpenuhi. Segala taqwa yang menggemuk di pagi hari mengurus kerana emosi. Nah, bagaimana rumusan yang sepatutnya agar cinta dan amal itu seiring menggebu dalam memastikan redhaNya. Biar jangan mudah-mudah kita beralasan :

“ Tunggulah sampai saya benar-benar mencintainya, baru saya bersedia memberi komitmen”

Monday, September 27, 2010

CINTA. SEBUAH KATA KERJA


Cinta adalah sebuah kata kerja iaitu kerja untuk mencintai
Maka bermulalah untuk bekerja untuk mencintai akan hal-hal yang belum kau cintai
Dan hatimu akan menjadi makmum atas segala kerja cintamu

Kelihatan sungguh retorik. Tidak mudah. Sulit benar untuk menggunapakai ungkapan di atas dalam realiti hidup. Apatahlagi bersangkut soal hati yang bermukim cinta. Ungkapan ini juga saya canangkan kepada teman-teman yang kecundang dalam memiliki hal yang dicintainya. Baik berupa ‘manusia’ atau  selainnya. Saya pujuk-pujuk agar bisa saja untuk mula mencintai hal yang baru yang belum dicintainya. Wajahnya mengetat. Tidak setuju. Begitulah cinta, lekas benar mengarah tuannya membelakangkan akal.
Di sini, saya menemukan satu hikmah sepanjang pengembaraan saya dalam buku ini. Saya lipatkan bab ini agar mudah untuk mengulangnya.  Cinta adalah sebuah pekerjaan jiwa yang besar dan agung iaitu MENCINTAI. Oleh kerana ia merupakan sebuah kerja yang harus kita usahakan, maka tidak mustahil kita akan mendapat hasil atas usaha-usaha kita itu. Cuba kalian tanya sebentar pada hati, pernah bukan berlaku sesuatu yang paling kita benci itu menjadi hal yang paling kita cintai? Cuba imbas kembali bagaimana ianya boleh terjadi jika tanpa kalian membuka ruang, memikirkannya dan meletak usaha tanpa sedar untuk mengenali hal itu. Sehingga tanpa sedar juga kalian mula mencintainya. Itulah pekerjaan jiwa yang sedang dan telah kalian lakukan sehingga kalian mampu mencintainya.
Di sini, ada peristiwa yang lebih agung dari kisah cinta kita. Kisah cinta Umar r.a dan Rasulullah, siapa yang bisa menandinginya?