RSS

Saturday, February 5, 2011

SAYA CARI LELAKI ITU





Apabila kaumku bertanya
siapakah pemuda sejati itu
aku khuatir yang dimaksudkan itu
adalah AKU
sedang aku belum siap untuk itu

-Hassan Al Banna-
Hisbah


Saya singgah sebentar tadi di bilik teman baik. Selalunya akan jadi teman baik. Petang ini cadangnya ingin berdiskusi tentang kerja kuliah yang disuakan pensyarah sebagai teman cuti pertengahan semester. Soalan yang maha sukar begini bukan boleh perasan sendiri buat seorang diri. Maka kami mengambil langkah selamat dengan berbincang dahulu. Walau nanti kalian akan tahu, bahawa yang kami bincangkan adalah terlampau menjangkau kerja kuliah.

Begini. Kita mulakan.

Wajah teman saya sedikit kusut. Fikirannya bagai tersangkut di puncak gunung entah di mana saya kira. Maka di sinilah bermulanya lencongan tajam daripada diskusi kerja kuliah ke diskusi maha rumit. Mengusutkan.

“ Kawan, kau tahu kan Pilihan Raya Kampus kita makin dekat. Sepatutnya aku perlu ke meeting untuk tentukan calon bertanding..Sudah berapa kali aku bolos..mereka pasti marahkan aku..”

Bicaranya dimatikan. ‘Pangkat’nya di kampus kami bukan calang-calang. Wajarlah dia gusar begitu.

“ Makanya? Kenapa kau tidak ke meeting saja?”

“ Aku buntu mahu calonkan siapa jadi Presiden kita, Imam yang kita percayai mengemudi mahasiswa kita..Kau punya calon untuk aku bawa ke atas?”

Minda saya mula bekerja bagai skrin layar. Slideshow satu persatu beberapa peribadi yang saya kenal singgah di layar kemudian pergi dengan gelengan kepala saya. Soalannya betul-betul mengundang kerahan tenaga yang bukan main. Ini hal memikirkan Imam kawan!

“ Tiada. Memang tiada, kawan.” Hampa sebenarnya.

“ Eh, kau kenal F_ _ _ _, siswa kuliah kita, bagaimana dia?” Dia mahu menduga.

Saya sebetulnya tidak kenal rapat dengan mana-mana lelaki. Soalan itu pasti tidak bermaksud sekiranya saya kenal secara peribadi tetapi melalui kerjasama persatuan.

“ Aku tiada komen, tetapi jika aku mahu calonkan, aku tidak akan calonkan dia.Itu saja.”

“ Em, baik. Jika A_ _ _ _ _ _? Aku kira dia lebih baik dari sebelumnya, namanya sering di pangkat atas dalam mana-mana persatuan.”

Ini persis berkempen namanya. Untuk nama itu juga, saya cuba mengelak untuk ‘membedah’ peribadinya. Jawapan yang sama saya berikan bahawa saya mahu calon yang lain kerana ada beberapa peristiwa yang kurang baik tentangnya jika mahu jadikan dia imam.

Khali. Kami berdua lagak pemikir ulung memotretkan wajah-wajah bakal imam kepada mahasiswa.

“ Kawan, aku cari ‘lelaki’ yang anak jantan. Kalau digertak terus maju, kalau dicabar terus mara. Jika dia sendiri sekalipun, dia mampu pertahankan prinsipnya. Bukan setiap masa mahu diplomasi sampai menggadaikan prinsip. Kita perlu cari lelaki itu. Dia imam kita.”

Sedikit emosi mungkin. Ya, ada satu peristiwa yang memang kena mengena dengan perbincangan kami.


Dia terkulat-kulat. Saya menyambung jeda.


" Jika benar ada lelaki seperti itu, aku akan angkat dia walau dia dari Parti Sosialis, Komunis, Kapitalis sekalipun."


Matanya membulat. Sampai begitukah?

                                *************************************************************
Kita imbas.

Saya menuju ke pejabat persatuan dengan sekeping poster ‘Persembahan Band Artis’ di sebuah kuliah di sebuah universiti ISLAM. Saya mencabutnya sesuka hati kerana terlalu berang bukan kepalang.

“ Apa yang akan enta lakukan dengan hal ini?” Saya meletakkan poster itu berdekatan tempat duduknya. Hanya dia yang setakat ini saya percaya untuk bawa hal ini ke atas.

“ Relaks la enti. Benda ni takkan berlaku. Hanya sekadar poster.” Dia membalas mahu tidak mahu. Acuh tidak acuh.

“ Jangan ambil remeh benda ni. Mana boleh keluar poster kalau tiada perancangan dan keizinan. Kalau betul-betul jadi siapa mahu jawab?” Saya sungguh terkilan dengan responnya tadi. Terlalu bersangka baik.

“ Enti ni syadid sangat, kita tengok saja dulu” Dia mengembalikan poster tersebut pada saya dengan wajah bersahaja. Poster itu saya lemparkan semula ke meja presiden. Ya, tanda protes dan kecewa. Perkataan syadid itu bukan masalahnya. Ini hal prinsip dan mungkar. Sudah banyak kali program sebegini bolos di universiti ISLAM ini. Lagi-lagi diplomasi sampai mahasiswa jadi gila dengan hedonisme.

Saya hanya doa agar dia terkesan dengan tindakan saya tadi. Maka tidak lama setelah itu, ada mesej masuk ke inbox menyatakan akan ada mesyuarat tergempar bersama pengurus program tersebut. Namun kelegaan saya tidak berhenti setakat itu apabila ada satu mesej yang menduka citakan membuatkan saya jadi hilang kepercayaan serta merta.

“ Enti. Kita gagal dalam berbincang. Mereka tetap akan teruskan. Enti lihat, mereka semua sudah marahkan kita kerana mengganggu program mereka. Kita akan terputus hubungan dengan mereka dan sukar lagi untuk kerjasama. Ini yang enti mahukan?”


Serapuh inikah dia mudah tergugah?

Nadanya pasti marah berbaur hampa. Saya tidak kisah itu. Yang saya kisahkan adalah ‘kelelakiannya’ tersungkur hanya dengan gertakan para munkirin untuk memulaukannya. Takut terputus hubungan dan kemarahan orang lain adalah alasan mentah untuk kita berundur atau mengalah. Tidak tahukah dia bahawa itulah sunnah dakwah. Ditentang. Diterjang. Ditolak. Dimaki, Dipulau. Sepatutnya semua itu telah dijangkakannya bahkan sesuatu yang lebih daripada itu. Bagi saya dia bukan gagal dalam berbincang. Dia lebih-lebih gagal dalam mempertahan ‘kelelakiannya’ dalam soal prinsip perjuangannya. Rapuh benar.

Kita bukan hidup untuk membuntuti orang demi membuatkan orang senang dengan kita Akhi!

                                ******************************************************
Peristiwa di atas memang saya bukukan dalam hati. Dan hari ini saya ceritakan kepada teman baik saya itu agar dia mengerti. Mengerti mengapa saya begitu teliti dan cerewet dalam mengemukakan calon. Saya mahukan yang lelaki. Rijal. Bukan mudah dicairkan dengan sokongan, dokongan, dan pujian.

“ Kawan, susah tu. Macam tiada saja di kampus kita..Susah tu..susah..”

Kasihan dia. Saya sudah buat dia bagai mahu pecah kepala dengan cerita saya tadi.

“ Kawan, kita cari lelaki itu dulu ya. Jangan buru-buru. Kita doa sungguh-sungguh. Kita akan jumpa nanti.”

Walau separuh hati saya meredakan kebimbangannya, tetapi lelaki itulah yang kami semua nantikan.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG
.....kita rela sendiri dengan perjuangan yang kita bawa. Kita tidak rela menggadaikan prinsip hanya demi sokongan dan dokongan para munkirin. Kita menanti Rijal Ummah yang apabila digertak terus maju, apabila dicabar terus mara, apabila bersendiri tidak mundur kerana di sisiNya ada Allah yang akan memenangkan yang Haq. Di jalan cinta para pejuang, kita diajar untuk disakiti. Kita diajar untuk dipinggiri kerana kita membawa sesuatu yang luar biasa dari zaman yang terbiasa dengan banyaknya kemungkaran. Kita memang asing dari segala rencam zaman yang tidak asing dengan keseronokan dan kelalaian. Itulah sunnah dakwah yang tidak layak kita menyalahinya jika kita berada di jalan juang. Di jalan cinta para pejuang, saya dan kami mencari ‘lelaki’ ini.


3 comments:

Anonymous said...

salam

membakar semangat.post sangat menarik.

kerana itu dalam perjuangan ini, yang dimahukan dan dilahirkan hasil dari pembentukan keperibadian Dai' adalah rijal ad dakwah dan rijal bil hikmah.2 ciri yang perlu ada.

Dia punya prinsip,keberanian, dan semangat jitu. ciri semangat pemuda.

dan dia juga punya kematangan dan bijak nya seorang yang sudah tua.bijak mencari ruang diplomasi dan ruang serta taktik untuk menegakkan deen Allah.bijak bersiyasi.

Mahasiswa kita sangat kurang mereka yang punya semangat dan prinsip.jika yang ada semangat itu,kadang-kadang perjuangan nya cuma lebih kepada semangat..Lagi kan pula mahasiswa yang punya semangat dan prinsip dan disertakan dengan bijak berstrategi.Itu lagi sedikit.

mungkin kerna kita tidak dibina sebagaimana Rasulullah membina seorang Ali dan juga Tariq bin Ziyad.

berada dalam suasana Islami di universiti islam, berbeza cabaran nya dengan di tempat lain dan semoga mahasiswa di universiti Islam wajar lebih teguh dan menjadi pedoman buat yang lain.

yang penting buat kita adalah membina diri kita dan ummat kita supaya akan wujudnya pemuda-pemuda yang punya kualiti itu semua.

NURIZZ said...

wa'alaikumsalam

jazakallah atas komentar

Begitulah ahdaf tarbiyah. Namun kita tidak mahu apa yang kita katakan itu adalah retorik semata. yang lahir adalah banyak pemuda buih..banyak..namun pecah diapungan ombak.

kita perlu segera menghidupkan sirah dan sejarah dalam setiap perlakuan kita. Lihat bagaimana pemuda zaman itu dibina,diperhatikan sehingga mampu merubah dunia.kita kekurangan itu.

Sdra di medan sdr dan kami di mdan sini untuk terus berpencak membina pemuda untuk generasi kita.pasti ia bukan kerja mudah.

Jka boleh, dapatkanlah buku Hisbah, karya HAB. Sdr akan temui rijal ad dakwah wal hikmah di sana.

Nahnu Du'at Qabla Kulli Syai'

Syaheera My said...

Aku juga mencari lelaki seperti itu. andai telah terjumpa..akulah yang pertama akan memangkah namanya di PRK. :)
salam perjuangan!

Post a Comment