RSS

Wednesday, May 18, 2011

SAYA SEKARANG



Saya Nurul ‘Izzah Binti Zainol berazam
Untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-Undang
Sivil dan Shariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Undang-Undang
Di Universiti Al-Azhar, Kaherah
Kemudian akan menjadi seorang peguam yang akan mengubah undang-undang Negara

Berhenti sebentar!

Perenggan azam bukan tarikh hari ini. Tetapi 8 tahun yang dahulu. 8 tahun kawan!
Saya membelek-belek sebuah diari kecil berwarna pink pemberian seorang teman sekelas ketika di tingkaran 2. Sudah terlalu lama saya tidak menemukan diari ini sehinggalah upacara mengemas rumah diperhebatkan. Di situ, satu muka surat ini yang saya temukan perenggan di atas. Dengan penuh besar hati saya mengulang-ulang perenggan di atas. Bukan tidak menyangka, tetapi sungguh terharu. Mahu sekali kawan, kau dengar bagaimana aku boleh dengan penuh percaya diri menuliskan azamku di atas.

********************************************************
“ Saya cabar kalian semua untuk belajar undang-undang. Negara kita sangat memerlukan pejuang Undang-undang. Banyak kes kritikal menuntut pembelaan kalian! Kita sangat tenat menghadapi masalah masyarakat yang tidak dilindungi oleh Undang-undang sepatutnya!

Kami pelajar tingkatan lima bagai dibakar dengan minyak petrol. Hangat lagi meletup semangat kami. Peguam di hadapan itu sungguh mengancam. Saya tercabar bukan main. Kawan, serta merta cita-cita saya berubah 360 darjah dalam jangka masa tidak kurang 10 saat setelah diancam begitu. Sangat tergoda. Lalu terlayar satu susuk perempuan penuh wibawa dengan robe peguam hitam penuh angkuh berjalan meletakkan fail di mahkamah menghadap hakim . Dia terlalu bersedia berhujah. Itulah diri saya yang saya bayangkan.

Itulah asbab nuzul perenggan di atas. Saya sisip dan semat dalam hati tanpa saya gembar-gemburkan. Kerana saya percaya, menjadi asing tidak mudah di kalangan pelajar Sains yang rata-rata mahu menyambung pelajaran dalam jurusan Sains juga. Yang aneh adalah saya. Jadi tidak hairanlah saya dikejar oleh sepasang ibu bapa seusai majlis konvokesyen tingkatan lima gara-gara slide yang memaparkan maklumat peribadi dan pencapaian akademik saya di hadapan semua hadirin.

“ Nak, Pak Cik tengok anak seorang sahaja yang bercita-cita mahu jadi peguam. Kawan-kawan yang lain semua mahu jadi doctor, jurutera, saintis...Anak betul ke ni? Bukan sekolah ini semua pelajar sains tulen?”

Pak Cik itu benar-benar mahu memastikan.