RSS

Monday, January 10, 2011

CINTA DI TITIK KETAATAN





Jadikan cintaku Ya Allah
Berhenti atas titik ketaatan
Meloncati rasa suka dan tidak suka

Kerana aku tahu
mentaatiMu dalam hal yang tak kusukai
Adalah kepayahan, perjuangan dan bergelimang pahala
Kerana seringkali ketidak sukaanku
Adalah bagian dari ketidak tahuanku

Julaibib. Begitu dia biasa dipanggil. Kata ini sahaja sudah menunjukkan ciri fiziknya; kerdil. Julaibib. Nama yang tidak biasa dan tidak lengkap. Nama ini tentu bukan ia sendiri yang menghendaki. Tidak pula orang tuanya. Julaibib hadir ke dunia tanpa mengetahui siapa ayah dan yang mana bondanya. Demikian orang-orang sekelilingnya pula, semua tidak tahu dan tidak mahu tahu tentang nasab Julaibib. Sungguh terpinggir. Apatahlagi bagi masyarakat Yatsrib bahawa seseorang yang tidak bernasab dan tak dikenal keturunannya adalah kecacatan sosial yang tak terampunkan.

Julaibib yang tersisih. Wajahnya yang jelek terkesan sangar.Pendek. Bongkok. Hitam. Fakir. Kainnya usang. Pakaiannya lusuh. Kakinya pecah-pecah beralas kerikil melukakan. Tidak ada rumah tempat berteduh. Tidur sembarangan beralaskan lengan dengan tubuh sering ditusuk dingin malam dan terik mentari yang menyengat. Minumnya hanya dari kolam-kolam di tepian entah milik siapa yang diceduk dengan tangkupan telapak tangannya yang hitam gelap.

Demikianlah Julaibib.

Namun, Islam telah memuliakan kedudukannya di sisi Allah. Dia adalah seorang sahabat Rasulullah yang sentiasa berada di saff yang terdepan dalam setiap solat dan juga dalam medan perang. Sungguhpun ramai yang memperlakukan Julaibib seolah-olah dia tidak pernah wujud di kalangan manusia, namun tidak begitu bagi Sang Rasul. Semestinya itulah Rasul kita yang kaya dengan kasih sayang dan kepedulian. Suatu waktu, Julaibib sedang duduk di shuffah Masjid Nabawi. Dia ditegur oleh Rasulullah SAW.

“Julaibib..” Begitu lembut suara Rasullullah memanggil.

“Tidakkah kamu mahu menikah?” Wajah Rasulullah lebih bercahaya.

“ Siapakah orangnya Ya Rasulullah, yang menginginkan aku yang seperti ini?” Dia merendah diri.


Bukan tanda tidak mensyukuri apa yang Allah tetapkan dalam kehidupannya. Tetapi begitulah hakikat dirinya untuk orang lain dalam hal pernikahan. Adakah orang tua yang mahu bermenantukan orang sepertinya? Rasulullah tersenyum, sekadar terlihat sebaris giginya yang tersusun indah. Tetapi hari berikutnya, Rasulullah menemui lagi Julaibib dengan menanyakan hal yang sama.

“ Julaibib, tidakkah kamu mahu menikah?” 
Ulang kata ini memang mendebarkan Julaibib apabila ia dari bibir Sang Rasul. Namun begitu, dan begitu jugalah luahan Julaibib selama tiga hari berturut-turut. Dan di hari ketiga itulah Rasulullah menggamit tangan Julaibib dan membawanya ke salah satu rumah seorang pemimpin Anshar. Julaibib sungguh merasakan debaran yang menggila. Rasulullah hanya sepi sepanjang jalan menuju ke rumah tersebut.

“ Akan apa yang diapakan Rasulullah nantinya..” Julaibib bermonolog. Tidak keruan. Penuh tanda tanya.

Pintu rumah tersebut dibuka. Muncul seorang lelaki Anshar yang dikenali.

“Aku ingin..” kata Rasulullah. “ Menikahkan puteri kalian.” Begitu jitu dan mantap penyataan Rasulullah.

“Betapa indah dan barakahnya!” Begitu si wali menjawab dengan wajah yang penuh seri mengira bahawa Sang Nabi lah calon menantunya yang sungguh akan menjadi cahaya di rumah mereka. Rasulullah menyedarinya bahawa berlaku tersalah maksud.

“Tetapi bukan untukku, tetapi untuk Julaibib.” Rasulullah melirik ke arah Julaibib. Julaibib terperanjat dengan penyataan Rasulullah. Sungguh di luar dugaannya.

“ Julaibib?” Nyaris terpekik suara sang ayah kerana tidak percaya sekali.

“Ya , untuk Julaibib”. Ringkas penuh harap.

“ Ya Rasulullah…saya harus meinta pertimbangan isteri saya dahulu dalam hal ini.” Nafasnya berat antara mahu taat atau mahu ingkar. Tetapi dia telah menduga bagaimana reaksi isterinya. Pasti.

“ Bagaimana Julaibib yang berwajah jelek, tidak bernasab, tidak berharta akan kita nikahkan dengan puteri kita. Demi Allah, sampai bila pun Julaibib tidak akan menikah dengan puteri kita.”

Kata-kata si isteri tadi bagaikan halilintar yang memanah tubuh Julaibib. Menghanguskan. Runtuhlah jiwanya bagai langit yang terpecah-pecah nan runtuh ke bumi. Namun perdebatan itu tidak lama apabila terdengar suara halus dari balik tirai kamar.

“ Ibu, ayah..siapakah yang meminta itu?” Ternyata si puteri mencuri dengan perbualan tadi.

Sang Ayah menjelaskan. Berbaur rasa bersalah dalam dirinya.

“Apakah kalian hendak menolak permintaan Rasulullah? Demi Allah, kirimkan aku pada Julaibib kerana Rasulullah lah yang memintanya maka pasti tiada kehancuran dan kerugian bagiku.” Sang gadis solehah lau membacakan ayat ini:

“ Dan tidaklah pantas bagi lelaki beriman dan perempuan beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sungguh dia telah sesat, dalam sesat yang nyata.”(Ahzab:36)

Kedua-dua sang wali menunduk. Hiba dan terharu terhadap kesungguhan puteri mereka. Sungguh tekad jiwanya.

Rasulullah langsung berdoa seraya itu:

“ Ya Allah, limpahkanlah kebaikan ke atasnya, dalam kelimpahan yang penuh barakah. Janganlah kau jadikan hidupnya payah dan bermasalah..”
Doa yang indah.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG..

…kita belajar dari Julaibib, kisah yang sungguh indah. Bahawa cinta terhenti atas titik ketaatan. Si gadis solehah menunjukkan cintanya di mihrab taat saat menerima apa yang ditetapkan Sang Rasul ke atasnya. Si gadis mengenepikan kehendak peribadinya yang pasti mahu bersuamikan seorang yang ideal tidak seperti Julaibib. Bahkan bagi semua wanita waktu itu, bersuamikan seorang seperti Julaibib adalah mimpi ngeri. Memang benar kita punya batas-batas manusiawi yang tidak mampu kita langkaui. Isteri Julaibib pasti mempertaruhkan batas manusiawinya saat hidup sekamar dengan Julaibib kerana baginya yang terpenting adalah agama pada Julaibib. Seperkara yang diingatinya, jika dia telah taat, maka dia tidak perlu merisaukan kemampuannya. Allah maha tahu batas-batas kemampuan kita dan Dia tidak akan membebaninya melebihi apa yang kita mampu.

…di jalan cinta para pejuang juga, urusan seorang hamba adalah taat. Itu sahaja. Lain tidak. Jika kita bertakwa kepadanya maka Allah memberikan jalan keluar kepada masalah-masalah yang di luar kuasa kita. Begitu si gadis solehah menyanggupi untuk taat dengan mengorbankan impian dan angannya kerana keyakinannya bahawa Allah tidak akan mensia-siakannya. Maka benarlah doa Sang Rasul apabila Allah telah mengurniakan jalan keluar yang terindah untuk mereka berdua. Ternyata kebersamaan mereka di dunia tidak lama. Meski sepanjang pernikahan mereka si gadis sebagai isteri solehah begitu tekun menjalani ketaatannya kepada Julaibib biar naluri wanitanya sering teruji. Dan Allah Maha Tahu itu! Sedang Julaibib rupanya telah dihajatkan bidadari syurga merindukan kehadirannya meski terpinggir di bumi yang tidak bersahabat dengannya. Julaibib syahid setelah itu. Inilah jalan keluar yang tidak difikirkan oleh si gadis kerana kerjanya hanya taat dan terus taat dengan apa yang ditetapkan. Dan itulah janji Allah terlestari dengan ketaqwaannya.

..di jalan cinta para pejuang..memang banyak perkara yang menemukan kita dengan hal yang kita tidak suka dan berat bagi nafsu kita. Kita sering dihadapkan akan pilihan-pilihan yang menguji iman yang telah kita akadkan bahawa Allah dan RasulNya adalah utama dari segalanya.Namun,kita ragu dalam memilih untuk mentaati, dan kita cenderung memilih untuk menderhakai.Kita mempersoalkan ketidak mampuan sebagai alasan peribadi sedang Allah lebih tahu tentang itu dan jalan keluarnya. Maka, di jalan cinta para pejuag, biarkan cinta terhenti atas titik ketaatan. Meloncati rasa suka dan tidak suka. Melampaui batas cinta dan benci. Kerana yang kita cinta nantinya boleh jadi yang kita benci. Dan yang kita benci nantinya boleh jadi yang paling kita cinta. Hikmah sejati tidak selalunya tersingkap di awal pagi dan acapkali jua ketergesaan kita merabunkan hikmah yang sebenarnya telah dibentang Allah. Tetapi yakinlah, di jalan cinta para pejuang, Allah lebih tahu tentang kita. Dialah yang menyutradai pentas kepahlawanan para aktor ketaatan. Kerja kita hanyalah TAAT.

0 comments:

Post a Comment