kecocokan jiwa memang tak selalu sama rumusnya
ada dua sungai besar yang bertemu dan bermuara di laut
yang satu; kesamaan
ada panas dan dingin bertemu untuk mencapai kehangatan;
itu keseimbangan
ada hujan lebat berjumpa di tanah subur lalu menumbuhkan taman;
itu kegenapan
tetapi, satu hal yang tetap sama
mereka cocok kerana bersama bertasbih memujiNya
seperti segala sesuatu yang di langit dan di bumi,
ruku' pada keagunganNya.
Pagi tadi baru selesai satu liqo setelah jemaah subuh. Hampir dua jam. saya mahu membaringkan diri sebentar di musola sementara menunggu liqo’ yang seterusnya. Telapak tangan terasa bergetar, ada mesej rupanya.
“Salam kak. Lama menyepi? Akak sibuk tak, saya nak berkongsi masalah sikit.”
Ada keperluan nampaknya. Saya mengenepikan kehendak hati yang mahu istirehat.
“ Wasalam. Afwan, agak sibuk kebelakangan ini. Ada apa ya? Silakan, akak sedia untuk mendengar. Tidak lama setelah itu, saya menerima panggilan daripadanya. Suaranya mendatar tetapi penuh kusut.
“ Akak, saya kan dah bertunang kan..dan kami memang bersetuju tidak mahu berhubung apa-apa sepanjang tempoh ini. Biar serahkan pada orang tua untuk berhubung. Tapi kan kak, orang sekeliling saya semua kata saya ni pelik, tak relevan kalau tak contact dengan tunang sendiri. Waktu beginilah nak taaruf, nak kenal hati budi sebelum jadi menikah nanti.”
“ Jadi?” Saya sebenarnya tahu apa yang menggundahkannya. Mahu menduga dahulu.
“Err, betul ke apa yang saya buat ni kak? Tak perlu ke saya fikirkan apa yang mereka cakap kak.?Bila fikir balik betul juga. Saya bertunang pun melalui orang tengah dalam tempoh urusan sebulan. Sebelum itu pun saya tidak pernah kenal dia secara peribadi, risau juga.”
“ Sudah? Jika ya, izinkan akak menghilangkan gundah awak. Supaya ia lebih menenangkan awak.”
“ Baik kak.” Desah nafasnya di hujung talian jelas menunjukkan dia masih ragu akan pendiriannya. Saya mulakan tugas.
“ Dik, Islam itu mudah. Nasib baik Allah tidak suruh kita utamakan kehendak manusia saat mahu membuat keputusan atau pilihan. Jika tidak, kalau ada keliling kita 100 hati manusia yang perlu kita kisahkan, serabut kepala kita. Allah hanya minta kita hanya ikut satu saja. Ikut apa yang Allah katakan. Kan mudah..ikut apa yang satu-satunya syariat gariskan.”
“ Nazhar( lihat) bukan Taaruf”. Hanya itu jawapan permulaan. Untuk dirinya yang sudah punya asas agama yang cukup. Saya rasa, tidak sukar untuk dia menghadam apa yang akan saya susunkan.”
NAZHAR BUKAN TAARUF
Zaman telah berubah. Orangnya juga telah berganti. Hukum juga banyak berubah mengikut keadaan sesuatu zaman. Tidak lupa juga adat yang dulu dipertahankan, tetapi bisa juga kehilangan maqamnya apabila berubah suasana zaman. Jika dahulu seorang anak itu benar-benar dituakan oleh kedua orang tuanya. Tidak hairan mengapa nama para sahabat dan generasi selepasnya banyak sekali sebutan sebuah nama itu perlu diikat bersama nama ayahnya. Bukan sekadar satu identifiksasi tetapi lebih daripada itu. Ia menggambarkan bagaimana sifat si ayah, maka begitulah sifat si anak. Jika kau mahu meminang Hafsah, Kau lihat saja bagaimana Umar. Jika kau mahu meminang Asma’, kau lihat sahaja bagaimana Abu Bakr, Jika kau mahu menerima Abdullah sebagai suamimu, kau lihat sahaja bagaimana Zubair bin Awwam. Mereka persis, bagai bayang dan tuannya.
Namun,zaman sekarang ini, apa yang bisa kita sandarkan? Semuanya telah berubah. Pada ayah dan anak, bukan lagi bagai purnama dan bintang. Yang saling membiaskan dan menyinarkan. Zaman ini, mengandalkan rasa saling percaya kepada bakal pasangan menjadi penuh risiko. Apatahlagi, kita sudah tidak betah lagi meminta fatwa pada nurani dan ketajaman hati untuk melihat dengan cahaya Allah semakin tumpul dan telahannya selalu tidak mengena. Maka dari sinilah muncul satu perkataan yang dipinjam dari bahasa Arab, penuh gaya, penuh sopan, dan kelihatan lebih ‘syarie’ : TAARUF. Taaruf untuk lebih mengenali bakal pasangan dalam konteks mahu mendapat kepercayaan dan mencapai tingkat yakin yang ‘haqqul yakin’.
Jika saya salah betulkan. Sepanjang perkenalan saya dengan Islam dan ilmunya, belum bertemu lagi dengan dalil, contoh daripada Rasulullah, atau para sahabat tentang syariat taaruf sebelum menikah untuk tujuan saling mengenal. Ia hanyalah istilah umum yang dipaksakan menjadi istilah khusus pra pernikahan. Sedihnya lagi, ada yang menyalah gunakan istilah ini dengan hakikat dan isi yang nyaris sama dengan ‘berkekasih’(couple) terutama di kalangan mereka yang bersyiarkan seorang ‘ustaz’ dan ‘ustazah’. Bahkan, kita hanya temukan kata taaruf ini dalam konotasi umum dalam ayat di bawah.
“ Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kenal mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal( 49:13)
Tetapi, kita menemukan ini. Sebuah sabda yang sangat santun dan penuh barakah.
Dalam riwayat Imam Abu Dawud, Jabir ibn ‘Abdillah mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Jika salah seorang daripada kalian hendak meminang seorang wanita, jika mampu hendaklah ia melihatnya terlebih dahulu untuk menemukan daya tarik yang membawanya menuju pernikahan.”
Subhanallah! Saranan yang mudah dan barakah. Rasulullah hanya meminta nazhar (melihat) bukan taaruf. Nazhar untuk menemukan ketertarikan padanya. Nazhar untuk meletakkan keyakinan agar kita lebih maju ke arah pernikahan. Nazhar, agar tidak berlaku hal yang mungkar apabila dorongan nafsu untuk berhubungan secara haram tidak terbabas. Ya, bersandarkan pada Nazhar sahaja tanpa berhubungan secara logikanya tidak masuk akal. Apa mungkin dari hanya melihat kita bakal mengenal. Sedangkan yang sudah berhubungan untuk saling mengenal dalam tempoh yang lama sahaja rupanya kosmetik belaka. Si arnab rupanya Si Harimau.
Salahnya di mana? Meletakkan logik dalam suatu pemikiran bukan tindakan yang tepat. Apa yang kita perlukan adalah barakah. Dalam Nazhar ada barakah yang tidak terjangkau logika. Dalam nazhar Allah akan mencampakkan sakinah dan menyelinapkan keyakinan yang menyumsum bahawa dialah akan kau taqdim sebagai isteri. Nazhar sahaja, bukan taaruf. Kerana pada Ta’aruf bakal mengundang maksiat, bakal menggoda nafsu yang ditunggang syaithan agar kau berhubungan walau sekadar maksiat hati. Nazhar sahaja. Di situ bersangka baik pada Allah akan teruji.
KEJUTAN DALAM BERBUKA PUASA
Kita akan menemukan penemuan akbar dalam sepanjang puasa kita. Berpuasa nafsu dan syahwat. Berpuasa dari kita berhubungan tanpa asbab yang syarie. Seringkali banyaknya tahu tidak membawa kepada penemuan-penemuan yang besar. Tiada kejutan bakal mendebarkan. Tiada kesegaran informasi yang mencuitkan. Kerana itu kita tidak perlu banyaknya tahu, tetapi hanya tahu yang penting sahaja. Begitu juga dengan calon pasangan.Kita tidak perlu banyak tahu dengan taaruf.Cukup tahu yang penting sahaja. Yang dapat memandu istikharah dan keputusan kita. Tidak lebih dari itu. Kerana kita akan temukan kejutan yang membahagiakan yang jauh melebihi apa yang kita harapkan. Inilah puasa kita yang kita khaskan untuk kejutan-kejutan yang barakah.
Saya percaya satu perkara. Ini hadith yang saya cermati:
“ Ruh- ruh itu ibarat perajurit-perajurit yang dibaris-bariskan. Yang saling mengenal di antara mereka pasti akan saling melembut dan menyatu. Yang tidak saling mengenal di antara mereka pasti akan saling berbeda dan berpisah.” ( HR Bukhari secara mu’allaq dari ‘Aishah, dan Muslim, dari Abu Hurairah)
Ruh itu seperti tentera. Ada sandi di antara mereka. Jika sandi telah dikenali, ia akan menyatu dan bersepakat. Merasa sekufu dan serasi. Mereka akan bergerak untuk satu tujuan yang sama,dan diyakini. Biar ruh itu tidak pernah mengetahui satu sama lain. Jadi, apakah yang menjadi sandi di antara para ruh? Iman. Iman yang bergelombang pada frekuensi yang sama akan bergema menghasilkan muzikal iman yang merdu dan mengesankan jiwa. Jika tingkat iman itu berbeza, ia tidak diterima, dentingannya pasti melantun dan memaling dan sejak awal tidak akan menyatu dan serasi. Maka, dalam mengukur pilihan kita, adalah pada iman yang akan memilih tanpa kita perlu mengaturnya. Iman bertemu iman.
DI JALAN CINTA PARA PEJUANG….
……saat kita meletakkan syariat di hadapan, jangan kita ragukan hal-hal yang datang di belakangnya. Itu urusan Allah yang tidak perlu kita musykilkan. Pada Allah kita bersangka baik bahawa setiap aturanNya pasti punya hikmah yang tersembunyi. Ia mungkin tidak tersingkap di pagi hari namun di petang hari. Ia mungkin disambut petir pada fajarnya, demi sebuah pelangi indah sebagai kejutan puasa kita. Di jalan cinta para pejuang, kita hanya mensyaratkan barakah dalam setiap tindakan kita, bukan apa yang dirayu nafsu. Di jalan cinta para pejuang, bukanlah seberapa banyak yang kita perlu tahu tetapi cukuplah mengetahui apa yang bermakna bagimu. Dan Allah akan bersamamu.
2 comments:
Jzkk Iz ats entry yg bermanfaat ini. walau kukira masih jauh lagi utk kulalui fasa ini. semoga Allah permudahkn urusan para pejuang-Nya. insyaAllah...
Afwan. cerita sebenar yang perlu dikongsi kerana banyak ibrahnya juga. Fasa itu hanya perkiraan kita kan kak, perkiraan Allah belum tahu, mana tahu telah mendekati. Makanya kita harus menyediakan diri dengan iman, tsaqafah, dan prinsip-prinsipnya. Agar tidak tersalah tingkah.
atas apa yang kita mahu letakkan, kita mahukan keberkatan biar kita digelar insan aneh dalam dunia tanpa batasan ini.
jumpa hujung minggu ni ya.=)
Post a Comment