Biar sepayah apa kau
hindarkan
Ia terus bertamu lalu
merebak
Sehingga kernanya
iblis jadi terbuang
Habil terkorban tanpa
belas
Maka
Di mana salahnya
iman?
“ Ya Tuhanku, mengapa kau ciptakan dia? Aku kan tidak pernah
lelah bertasbih padaMu? Mengapa pula dia yang harus aku tunduk?”
Lagi.
“ Apa, mahu disembah? Adam yang dibuat dari tanah itu? Tak
mungkinlah! Aku ni dibuat daripada api!”
Barangkali begitulah dialog syaithan dengan Allah saat dia
diminta tunduk kepada Adam sehingga akibatnya jadilah dia makhluk terlaknat dan
terbuang kerana keingkarannya itu. Jika kalian lihat kiri kanan, kalian tidak
akan lihat iblis yang terbuang ini. Namun yang dapat dilihat adalah ruh-ruh
iblis yang banyak sekali ditiupkan si iblis ke dalam diri orang-orang beriman
khasnya sehingga nasib manusia akan sama sepertinya. DIBUANG SYURGA!
RUH IBLIS ITU
Jelas tak perlu dibelalakkan mata lagi bahawa ruh iblis yang
dimaksudkan adalah HASAD DENGKI. Pementasan kisah Iblis dan Penciptaan Adam
terdapat di mana- mana sahaja. Fenomena orang dengki dan iri hati akan
kelebihan orang lain adalah jahiliyah yang sukar dikikis walaupun hatinya telah
cuba disental setiap minggu dengan nasihat. Tidak perlu cari jauh-jauh,
bolehlah letak telapak tangan di dada anda, tanyalah sebentar hati itu akan
lima soalan di bawah :
1) Gembira atau tidak jika kawan anda dapat
nikmat yang anda teringin tapi anda tidak dapat?
2) Tersenyum jengkel atau tidak jika kawan
anda itu mendapat susah? (cukuplah kalau ada terlintas perasaan itu)
3) Geram atau tidak jika perhatian dan
kepercayaan yang dahulunya diberikan kepada anda namun sekarang teralih kepada
kawan anda itu?
4) Gelisah atau tidak jika pendapat kawan anda
itu sering diterima sedang pendapat anda diabaikan kerana ternyata pendapat kawan anda itu lebih bernas? (anda pun
mengakui tetapi rasa tercabar)
5) Tercabar atau tidak dengan kelebihan kawan
anda sehingga anda mencari jalan untuk menampakkan kekurangan kawan anda itu
sedangkan kekurangan itu anda yang cuba besar-besarkan? (anda mahu orang jangan
perasan kelebihan kawan anda, jadi cepat-cepat anda besarkan kekurangan kawan
anda)
Rasulullah S.A.W. bersabda, mafhumnya:
“Wahai orang yang beriman dengan lisannya shaja dan
meimanannya itu meresap kedalam hatinya, janganlah kamu mengumpat kaum
Muslimin, janganlah pula menjejaki keburukan mereka, sesiapa yang menjejaki
keburukan mereka maka Allah SWT akan menjejaki keburukannya dan barangsiapa
yang dijejaki keburukannya oleh Allah SWT maka Allah SWT akan menyingkap
keaibannya sekalipun ia berada di dalam rumah.”(Riwayat: Abi Barzah al-Aslami
R.A.)
Dirahsiakan sahaja jawapan kepada lima soalan itu. Tiada
punca yang lain sekiranya jawapan kepada lima persoalan itu adalah ya,
melainkan ada penyakit dalam hati. Penyakit ini bukan boleh dipandang enteng,
ia adalah penyakit yang menyebabkan syurga membuangnya. Ini penyakit yang
rebakannya bukan lama tetapi sekejap sahaja. Kerana, orang yang ada hasad, dia
tidak akan duduk diam. Akalnya akan berputar berfikir jahat dan lisannya lekas
sahaja meluncur menghasut orang lain dengan umpatan dan fitnah. Boleh jadi
orang yang hasad ini sampai hati menjatuhkan air muka kawannya itu di hadapan
orang dengan sindiran yang tajam. Ah, manusia, berapa lama agaknya boleh
selindung di sebalik hatinya yang bepenyakit itu.
TIDAK DAPAT TERIMA
HAKIKAT
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah
(mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan
sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban
(untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata
(Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah
menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Maidah:27)
Kawan, Qabil itu tidak dapat terima hakikat bahawa Habil itu
lebih baik, lebih taqwanya, lalu korbannya sahaja diterima Allah. Bukan korban
Qabil. Kerana dengki atas kelebihan Habil dia merancang mahu membunuh saudara
sendiri. Lihat lagi, ia bukan sekadar penyakit hati tetapi membawa kepada
jenayah membunuh. Lebih mudah kita sebutkan bahawa manusia hasad ini akan
mengidap penyakit lima serangkai : TAKABBUR,
UJUB, BUSUK HATI, SUKA POPULAR, LIDAH BERCABANG. Percayalah kesemua ini datang
sepakej.
Mereka yang hasad kerana takabburnya diri mereka yang
dirasakan lebih baik daripada orang lain. Mereka yang takabbur juga mestilah
daripada orang yang berbangga dengan dirinya yang dirasakan mulia dan hebat.
Jika yang dipandang hebat itu pada orang lain, bukan dirinya, maka datanglah
busuk hati apabila melihat kelebihan orang lain. Tidakkah orang begini sukakan populariti
yang mahu dirinya diperhati dan didengari. Ah, jika orang masih tidak
memandangnya, mulalah dia ke hulu ke hilir menyebar fitnah dan mengada-adakan
cerita buruk tentang orang lain agar dirinya yang dilihat baik. Jangan hairan
pula, di hadapan anda nanti orang ini jugalah yang puji memuji anda dan
memburukkan orang lain pula. Kadang-kadang dalam konotasi joke atau luahan!
APA BOLEH BUAT…
….pada kita yang mungkin mempunyai penyakit ini. Jika kita
dalam sebuah organisasi, kita adalah virus yang merosakkan sebuah sistem. Oleh
kerana yang bekerja adalah manusia yang punya perasaan dan emosi, hubungan saling
percaya akan terjejas dan terganti dengan buruk sangka. Komunikasi akan terbatas
kerana wujudnya rasa dendam dan tidak puas hati. Produktiviti akan terbantut
lantaran terbeban dengan perasaan hasad yang diciptakan. Sedangkan orang lain
tidak apa-apa, tenang-tenang sahaja.
Di jalan cinta para pejuang, hati yang kotor tidak mampu
memajukan tuannya, bahkan menambahkan kerugian pada dirinya dan orang lain. Kerja
kita adalah kerja demi Allah, maka yang tidak suci itu tidak dijemput dan tidak
diinginkan. Di jalan cinta para pejuang, alang-alang sudah bertarung beramal
dan berkorban, jangan sampai diBUANG SYURGA kerana HASAD DENGKI. Biarlah iblis
itu dan Qabil menanggungnya, BUKAN KITA.
0 comments:
Post a Comment