“ Cuba buka link ni, u must read this.”
Begitulah SMS yang saya terima untuk buka emel yang
mengandungi link tersebut. Jika cadangan daripada beliau, saya perlu ambil
serius kerana orang seperti beliau tidak membaca bahan yang ringan dan
sampah. Maka tiada tangguh lagi.
Lihat, dia sungguh tahu bagaimana menggoda cabaran saya
dengan link ini. Membuatkan tidur saya terganggu dan mundar mandir satu rumah.
“ Patutlah keluar buku
The Truth About Muhammad: Founder of the World's Most Intolerant Religion . Haaihh, tu Irshad Manji tu, jadi
macam tu sebab nil ah.”
Saya menggerutu mencari idea bagaimana saya boleh respon
terhadap pendapat dalam link tersebut. Mungkin kalian juga ada terbaca tetapi
saya yakin tidak ramai kerana kebanyakan daripada kita apabila membaca akhbar
terus sahaja melihat berita siapa kena bunuh, siapa accident, siapa kena patut
ular, rumah siapa terbakar , artis mana baru kahwin, artis mana pula baru
bercerai dan pasukan bola mana yang menang.
Satu ruangan ini yang saya kira disisihkan patut diambil
perhatian untuk diteliti iaitu ruangan soal jawab agama atau permasalahan. Saya
tidak ingat surat khabar berapa haribulan, tetapi saya dapat ‘tampal’ di sini
kandungan ruangan tersebut dan respon saya terhadap jawapan kepada ustaz yang
menjawab. Saya yakin, di Negara ini, kita bebas untuk berdiskusi dan memberi
pandangan agar percambahan ilmu dapat meluaskan pandangan semua orang.
SOALAN DARIPADA
PEMBACA
SAYA sudah berkahwin dan tertekan dengan sikap suami. Suami jarang
solat dan apabila ditegur, dia bermasam muka. Keadaan itu menyebabkan saya
mengalah dan mudah memaafkannya.
Pernah saya tegur dengan cara lembut tetapi tetap tidak berhasil.
Apabila memikirkan ikatan perkahwinan yang dibina selama sembilan tahun, saya
akhirnya mengalah.
Kadangkala, sabar seorang isteri ada hadnya. Pernah sekali saya
terjumpa mesej mesra dengan wanita lain. Bila diajak berbincang dia cuba
mengelak kemudian saya yang dimakinya.
Macam-macam perkataan kurang sopan dilemparkan kepada saya. Saya ingin
mengambil keputusan untuk bercerai, tapi tidak sampai hati kerana memikirkan
anak-anak.
Dia umpamakan saya seorang isteri yang cemburu buta, suka menuduh
sesuatu yang dia tidak buat. Ketika marah, saya tidur berasingan dengannya.
Suami saya jarang menunjukkan perasaan sayang dan hormatnya kepada saya
walaupun di depan orang ramai. Dia berani meninggikan suara kadangkala
mengherdik saya.
Berbeza sekali sikapnya jika berdepan dengan rakan di luar. Malah semua
urusan anak saya yang aturkan dan maklumkan kepadanya. Saya tidak ubah seperti
seorang isteri tanpa suami.
Berdosakah saya sekiranya selalu mengasingkan diri dan tidak tidur
bersamanya? Apakah patut saya melawan cakap suami dan hilang rasa hormat atas
perbuatannya itu?
UMI,
Johor
JAWAPAN DARIPADA USTAZ
TEKANAN perasaan dialami semua orang dalam menghadapi cabaran hidup. Ia
boleh berlaku dalam alam rumah tangga, keluarga, pekerjaan dan sebagainya.
Islam melihat kehidupan dunia sebagai ujian (ibtila’, bala) dalam
menguji kesabaran dan kesyukuran seseorang hamba Allah. Kita hendaklah sentiasa
bersabar dengan segala ujian biasanya yang tidak baik dan bersyukur apabila
menerima nikmat daripada Allah.
Dalam kes di atas, puan terganggu dengan sikap suami seperti tidak
bersolat, mengabaikan teguran yang baik, mempunyai wanita lain hingga timbul
rasa cemburu dan api kemarahan.
Itu menjadikan puan seorang pendendam terhadap suami hingga sentiasa
tidur berasingan dengannya. Puan pula dibiarkan mengurus rumah tangga dan anak
bersendirian tanpa bantuannya.
Semua itu menyebabkan puan hilang rasa hormat kepada suami dan
berdendam dengan suami. Bagaimanapun, kasih kepada anak yang mengikat
perkahwinan puan.
Beberapa nasihat yang saya boleh berikan, antaranya puan hendaklah
menghilangkan sikap pendendam dengan suami kerana sikap dan kelakuannya itu.
Perasaan seperti dendam dan benci boleh menghalang hubungan erat antara
suami isteri. Perasaan sedemikian sebahagian daripada penyakit hati yang perlu
dihapuskan dan diganti dengan kasih sayang serta mawaddah.
Kedua, puan hendaklah melayan suami dengan sebaik mungkin dan tidak
membiarkan tidur sendirian. Perbuatan sedemikian hanya mengundang perkara
negatif lain seperti suami ingin berkahwin lain.
Islam mengajar bahawa kedua-dua suami isteri adalah teman hidup dan
teman tidur. Segala persengketaan dan pertelingkahan hendaklah diselesaikan
sebaik mungkin.
Ketiga, mengambil sikap bermaafan antara satu sama lain adalah asas
keharmonian rumah tangga. Tiada seorang pun yang maksum daripada melakukan
kesilapan melainkan nabi saja.
Keempat, ambillah pendekatan bersyukur dengan adanya suami dan anak
serta bersabar dengan kerenah mereka. Kelima, apabila proses membaiki diri
berjalan dengan baik, kita dapat membaiki orang lain sebaik mungkin.
Apabila berbuat demikian InsyaAllah rumah tangga menjadi aman dan
bahagia. Suami menjadi taat kepada Allah dengan bersolat dan bertanggungjawab
kepada anak dan isteri.
RESPON SAYA TERHADAP JAWAPAN
USTAZ
Assalamu'alaikum ustaz,
Saya terpanggil untuk respon
terhadap jawapan yang ustaz berikan terhadap persoalan di atas di mana saya
merasakan ia kurang tepat dan tidak memberikan solusi terhadap permasalahan
yang dialami oleh penyoal. Berulang kali saya membaca luahan perasaannya, dan
mungkin kerana saya wanita, saya lebih memahami apa yang sedang dialami oleh
beliau. Untuk lebih jelas, saya aturkan sikap suaminya :
1) tidak solat
2) tidak boleh ditegur sebab tak
solat walaupun dah ditegur secara lembut
3) mengeluarkan perkataan kurang
sopan terhadap isteri
4) menuduh isteri cemburu buta
sedang suami yang berhubungan mesra dengan wanita lain
5) Tidak menghormati isteri di
hadapan orang lain bahkan sampai mengherdik isteri
6) membiarkan isteri melakukan
urusan rumah tangga seorang diri seperti tiada suami
7) tidak boleh diajak
berbincang, tetapi dimaki isterinya.
Saya aturkan pula jawapan ustaz
:
1) Hilangkan sifat pendendam
isteri kepada suami yang bersikap seperti SEMUA DI ATAS kerana ia adalah
PENYAKIT HATI SI ISTERI
2) si isteri ini dinasihatkan
agar melayan suami yang bersikap seperti SEMUA DI ATAS dengan baik dan jangan
biarkan dia tidur sendirian
3) si isteri ini perlu memaafkan
sikap suami seperti SEMUA DI ATAS sebab suami ini tak maksum
4) si isteri harus bersyukur
kerana memiiki suami yang bersikap seperti SEMUA DI ATAS
Saya aturkan pula pandangan saya
:
1) Saya tidak menolak bahawa
TAAT kepada suami adalah kunci ke syurga. bahkan terdapat banyak sekali dalil
yang mewajibkan taat kepada suami walau dalam apa cara sekalipun kecuali dalam
hal menyuruh kemungkaran. Saya juga tidak menolak bahawa bukanlah tanggungjawab
isteri untuk mmbimbing suami yang jahil agama dan hak ketaatan tidak terlucut
kerana suami yang jahil agama. Saya tidak perlu hamparkan kesemua dalil
tersebut
2) Saya lebih melihat solusi dan
relief yang diharapkan daripada luahan isteri di atas. Rumah tangga Islami
bertujuan untuk memberikan mawaddah warahmah buat pasangan suami isteri.
Pernikahan juga sepatutnya memberikan ketenteraman bagi pasangan seperti yang
telah disebutkan dalam AQ. Atas objektif ini, seorang manusia yang berhati,
pastilah merasa sedih dan tertekan terhadap pasangan yang tidak dapat sama2
mencapai tujuan tersebut. Wajarlah apa yang dirasai oleh isteri ini sehingga
membawa kepada niatnya ingin bercerai selepas dia berusaha menegur, berbincang
tetapi tetap gagal. Ingatlah, Islam adalah solusi terhadap permasalahan, dan
sekiranya ustaz hanya menasihatkan seperti 4 perkara di atas, saya tidak
merasakan ia adalah solusi kepada permasalahan beliau kerana yang patut
diperhatikan dan diperbetulkan adalah sikap suaminya yang membuatkan dia terus
tertekan.
3) Perkahwinan bukan sekadar
untuk menghalalkan nafsu dan menjadi teman tidur sahaja tetapi ia merupakan
tanggungjawab terhadap keturunan dan zuriat. Seorang suami adalah pemimpin dan
qudwah untuk isteri dan anak-anak. Dalam kes ini, si isteri yang dewasa dan
lebih baik agamanya, mungkin boleh tapis sikap kejahilan suami. Tetapi
bagaimana pula dengan anak2 yang melihatkan ayah yang tidak solat, akhlak keji
dan buruk, apakah Islam sezalim itu untuk isteri terus akur dengan suami sebegini
dengan membiarkan anak2 melihat si ayah yang jahil agama.Apa kesannya pula pada
anak2? Jika disiasat, punca anak yang rosak agamanya turut berpunca daripada
ibu ayah yang tidak memberi contoh yang baik. Saya tidak rasa bahawa Islam
bermaksud untuk seseorang itu terus mempertahankan perkahwinannya setelah usaha
memperbaikinya sering gagal dan mengakibatkan kecacatan agama terhadap
keturunannya kelak.
4) Benarkah ketaatan itu total
dan tiada hadnya?
Dalam riwayat Al Bazzar dan Ibnu
Hibban, dinyatakan bahawa seorang lelaki membawa anak perempuannya kepada
Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, lalu ia berkata bahawa anak
perempuannya itu enggan berkahwin. Sabda Rasulullah, taatilah bapamu. Kata anak
perempuannya: demi Allah yang mengutuskan kamu dengan haq, aku tidak akan
berkahwin sehingga kamu beritahuku apakah hak suami yang isteri mesti tunaikan?
Sabda Rasulullah: hak suami ke atas isteri ialah sekiranya ada pada suami kudis
maka isteri menjilatnya, ataupun keluar darah atau nanah dari lubang hidungnya
kemudian perempuan itu menelannya, belumlah ia menunaikan hak suaminya. Kata
anak perempuan itu: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan haq, aku tidak akan
berkahwin selama-lamanya. Sabda Rasulullah: janganlah kamu nikahkan dia
melainkan dengan izinnya.”
Hadis ini menjelaskan dalam
ketaatan ada hadnya sehinggakan Rasulullah tidak mengizinkan menikahkan seorang
wanita tanpa izinnya sekiranya dia tidak sanggup untuk mentaati suaminya
setelah mengetahui ada hal yang tidak disukainya. Ya, ini sebelum wanita itu
menikah. Jika sudah menikah, sampai keluar nanah dn ditelan sekalipun belum
tertunai hak suami, begitulah tahap taat yang patut dilakukan isteri. Namun,
yang jelas di sini, Rasulullah mengakui bahawa ada limit yang tak tersanggup
oleh seorang wanita sehingga tidak dipaksakan wanita itu dinikahkan di luar
kesanggupannya untuk taat.
Barangkali menyebut talak atau
penceraian begitu tidak soleh di pandangan rata-rata orang. Namun,ia tergantung
situasi. Suami yang enggan taat pada Allah, menunjukkan contoh yang buruk,
curang dengan wanita lain, suka memaki hamun isteri, ego untuk berbincang,
tidakkah begitu kejam untuk menghukum isteri ini untuk terus redha dengan
situasi ini. Adakah penceraian terlalu 'haram' untuknya demi agamanya dan
anak2nya? Adakah sudah hilang kelayakannya untuk mempunyai suami yang lebih
baik selepas penceraian. Saya kira ustaz lebih mengerti mengenai maqasid
syariah yang meletakkan pemeliharaan agama dan keturunan adalah maksud utama
dalam setiap hukum yang kita letakkan. dalam AKTA 303 memperuntukkan:
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA
ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN V - PEMBUBARAN
PERKAHWINAN
Seksyen 52. Perintah untuk
membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
(1) Seseorang perempuan yang
berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk
membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan
yang berikut, iaitu—
(h) bahawa suami menganiayainya,
iaitu, antara lain—
(ii) berkawan dengan perempuan
jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
Dalam keadaan penyoal di atas,
beliau berhak untuk pembubaran perkahwinan berdasarkan klausa di atas sekiranya
suaminya berperangai keji menurut syara'. Ia subjektif dan sikap suaminya bagi
pendapat saya termasuk dalam maksud klausa ini. Tidak semua perkahwinan harus
berkekalan walau keadaan apa sekalipun. Islam adalah agama yang bersifat
murunah dan memenuhi keperluan manusiawi seorang insan. Apatahlagi yang membacanya nanti
adalah orang bukan Islam yang sedang menilai Islam itu bagaimana dan jawapan
yang diberikan ustaz dikhuatiri akan memberi gambaran bahawa Islam agama yang
tidak adil dan berlawanan dengan nilai kemanusiaan. Lebih-lebih lagi amukan
Islamophobia yang menggembar-gemburkan Islam tidak memberi hak kepada wanita
terutama dalam perkahwinan. Maka, tidak hairanlah lahirnya buku seperti
The Truth About Muhammad: Founder of the World's Most Intolerant Religion . Kita
perlu membuka mata masyarakat bahawa Islam adalah solusi dalam segala
permasalahan bukan agama yang sempit dan penuh hukuman. Islam itu rahmat, dan
sebarkanlah rahmat itu dengan maksudnya yang sebenar.
Wallahu'alam
Nurul 'Izzah Zainol
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nah, ini pandangan saya, bagaimana pula anda?
3 comments:
Assalamualaikum & salam perkenalan..
Saya amat tertarik dengan komen awak..adil di dalam menuntut hak seorang wanita jika dia dizalimi.. :)
salam ukhwah :) sangat sangat tertarik,adil, bagus.. hanya wanita memahami :) hak wanita untuk maruah diri dan agama :) take noted :)
Assalammualaikum, bagaimana pula situasi itu dibalikkan kepada pihak suami? Suami mematuhi perintah Allah SWT dan isteri pula tidak...bila di tegur ada saja alasan secara aklie dihujahkannya...terkait laa bab nafkah lah, tannggungjwb laa dan mcm2 lagi...sedangkan diri si isteri tu sendiri yang tak mahu berubah...mohon di huraikan..wassalam
Post a Comment