RSS

Sunday, December 26, 2010

NAZHAR BUKAN TAARUF




kecocokan jiwa memang tak selalu sama rumusnya
ada dua sungai besar yang bertemu dan bermuara di laut
yang satu; kesamaan
ada panas dan dingin bertemu untuk mencapai kehangatan;
itu keseimbangan
ada hujan lebat berjumpa di tanah subur lalu menumbuhkan taman;
itu kegenapan

tetapi, satu hal yang tetap sama
mereka cocok kerana bersama bertasbih memujiNya
seperti segala sesuatu yang di langit dan di bumi,
ruku' pada keagunganNya.


Pagi tadi baru selesai satu liqo setelah jemaah subuh. Hampir dua jam. saya mahu membaringkan diri sebentar di musola sementara menunggu liqo’ yang seterusnya. Telapak tangan terasa bergetar, ada mesej rupanya.

“Salam kak. Lama menyepi? Akak sibuk tak, saya nak berkongsi masalah sikit.”

Ada keperluan nampaknya. Saya mengenepikan kehendak hati yang mahu istirehat.

“ Wasalam. Afwan, agak sibuk kebelakangan ini. Ada apa ya? Silakan, akak sedia untuk mendengar. Tidak lama setelah itu, saya menerima panggilan daripadanya. Suaranya mendatar tetapi penuh kusut.

“ Akak, saya kan dah bertunang kan..dan kami memang bersetuju tidak mahu berhubung apa-apa sepanjang tempoh ini. Biar serahkan pada orang tua untuk berhubung. Tapi kan kak, orang sekeliling saya semua kata saya ni pelik, tak relevan kalau tak contact dengan tunang sendiri. Waktu beginilah nak taaruf, nak kenal hati budi sebelum jadi menikah nanti.”

“ Jadi?” Saya sebenarnya tahu apa yang menggundahkannya. Mahu menduga dahulu.

“Err, betul ke apa yang saya buat ni kak? Tak perlu ke saya fikirkan apa yang mereka cakap kak.?Bila fikir balik betul juga. Saya bertunang pun melalui orang tengah dalam tempoh urusan sebulan. Sebelum itu pun saya tidak pernah kenal dia secara peribadi, risau juga.”

“ Sudah? Jika ya, izinkan akak menghilangkan gundah awak. Supaya ia lebih menenangkan awak.”
“ Baik kak.” Desah nafasnya di hujung talian jelas menunjukkan dia masih ragu akan pendiriannya. Saya mulakan tugas.

“ Dik, Islam itu mudah. Nasib baik Allah tidak suruh kita utamakan kehendak manusia saat mahu membuat keputusan atau pilihan. Jika tidak, kalau ada keliling kita 100 hati manusia yang perlu kita kisahkan, serabut kepala kita. Allah hanya minta kita hanya ikut satu saja. Ikut apa yang Allah katakan. Kan mudah..ikut apa yang satu-satunya syariat gariskan.”

“ Maksud akak?” Dia seperti tidak sabar.

Tuesday, December 21, 2010

MEMILIH PILIHAN




Bukan cita rasamu sebagai ukuran
Bukan inginmu kau kejarkan
pada Dia pilihan kau sandarkan
biar hasilnya di kuburan

Ada yang kata minat itu hukumnya statik. Ada juga yang berpendapat ianya kinestetik. Sentiasa bergerak dan berubah. Saya kata pula ia pada mulanya static tetapi sejak mengenali tarbiyah ini, ia rupanya kinestetik.

Ceritanya.

“ Kau memang betul mahu jadi pensyarah?” Matanya mencerlung. Bagai ia suatu yang mengejutkan.

“ Ya, kenapa? Tidak sesuai denganku?” Hairan saya melihat reaksinya. Saya melabuhkan duduk di birai katil biliknya.

“ It’s not so you. Kau tu karekternya sesuai jadi peguam, pejuangkan keadilan, ketegasan kau dalam berkata. Kita semua memerlukan itu. Sudah lupa itu yang kau citakan sejak kecil. Kau telah menghampirinya. Jadi peguam sahajalah.”

Saya tahu teman baik saya itu tidak setuju. Memang kami telah lama bersahabat. Dan dia sungguh mengenali diri saya seadanya. Saya memang sedar dan akur, saya sangat sukakan cabaran dan bidang guaman itu menyediakan cabaran yang saya inginkan. Petang itu kami sedang diskusi tentang hala tuju setelah graduate. Ada 3 jalan yang tersedia dalam jangka masa pendek ini yang menyalurkan kepada kerjaya mana yang kami mahukan.

Khali. Hanya bunyi kipas berpusing menghuni telinga. Pengalaman saya praktikal di sebuah firma guaman baru-baru ini kembali mengusik tekad yang ada. Ya, waktu itu memang saya sungguh jatuh cinta dalam bidang guaman.

“ Aku tahu itu. Terima kasih kerana kau setia menyokong citaku. Cuma kau perlu tahu seperkara, tidak semua yang kita mahukan itu, kita mesti mencapainya. Ya, aku sememangnya mahu mencari Ahmad Ibrahim yang hilang, yang memperjuangkan hak syariah di Negara kita. Pengorbanan kepada citaku itu bersebab. Kau harus tahu itu dulu.” Saya berjeda. Menyusun kata agar dia mengerti.

“Apa dia? Katakan saja. Aku kenal kau bukan semalam.” Dia masih tidak puas hati.

Saturday, December 18, 2010

CINTA MILITANSI



Maharku adalah jalan ini
maharku adalah cinta ini
cinta yang penuh militansi
yang kau dan aku
akan perjuangkannya
sampai hujung nyawa

“ Ya, saya ada satu cerita. Kamu mahu mendengarkannya, ini memang benar!”

Penceramah meyakinkan. Kami peserta seminar Rumah Tangga Islami tidak berkedip mata. Sangat rugi rasanya andai terpejam walau sesaat. Beliau sungguh mengesankan.

“ Pernah suatu ketika datang seorang ikhwah meminta saya carikannya calon isteri. Katanya dia mahu yang sopan santun, ayu, lemah lembut, pemalu dan TIDAK MILITAN!”

Beliau berjeda. Menahan sedak yang mahu meledak. Perkataan TIDAK MILITAN mengganggu kelancarannya barangkali. Kami ikut berkerut kening. Apa maksudnya TIDAK MILITAN. Masuk hutan angkat senjatakah?

“ Maksud kamu TIDAK MILITAN itu apa? Bisa dijelaskan”
Ikhwah itu buncah.

“ Err, maksud saya yang bukan aktif sangat bergerak sana sini. Erm, err..Yang kiranya macam sesuainya orang perempuan, tidak menonjol dirinya sana sini.”

Ahh Ikhwah itu, dirinya sendiri meragukan.

“ Oh iya..kamu mahu tahu resepi? Ini resepi rahsia rumah tangga yang belum tertulis di mana-mana, yang belum disebut di bibir siapa pun.”

Waah! Pasti mahu. Sunggu penasaran!

Thursday, December 2, 2010

MENCINTAI SEJANTAN ALI






cinta adalah tanggungjawab
selagi agama yang kau andalkan
cinta adalah keberanian atau pengorbanan
saat kau kecundang dalam memiliki
cinta sememangnya bukan dimiliki

Ada rahsia yang terdalam di hati Ali yang tidak dikisahkannya oleh sesiapa pun. Fathimah. Karib kecilnya itu, puteri kesayangan Rasulullah yang adalah sepupunya itu sungguh mempesonakan. Kesantunnya, ibadahnya, kecekalannya, dan rupawannya kurniaan Allah. Lihatlah gadis itu suatu ketika ayahnya pulang dengan luka memercik darah dan kepala dilumur isi perut unta. Ia bersihkan hati-hati, ia seka dengan penuh cinta. Ia bakar perca dan ditempelkannya pada luka agar darah tidak terus mengalir. Sedang air matanya mengalir perlahan menangisi ujian yang ditanggung sang ayah. Muhammad ibnu Abdullah tidak layak diperlukan demikian!

Maka gadis wirawati itu bangkit. Gagah ia berjalan menuju Ka’abah. Dilihatnya dari jauh para pemuka Quraisy saling tertawa membanggakan tindakan mereka pada Sang Nabi yang diperlakukan seperti binatang. Mereka tiba-tiba diam apabila Fathimah mengherdik mereka sehingga mulut mereka terkunci dan tertunduk atas pembelaan Fathimah.

Mengagumkan!

Ali tidak tahu apakah rasa itu bisa disebut cinta. Apakah kekagumannya pada agama dan perjuangan si gadis merupakan perasaan asing yang kerap bertamu dalam jiwanya adalah cinta. Atau sekadar kagum dan hormat sebagai anak seorang Rasul Allah. Tetapi ia harus jujur bahawa jiwanya tersentak saat mendengar khabar bahawa Fathimah telah dilamar oleh seorang lelaki yang paling akrab dan paling dekat kedudukannya dengan Sang Nabi. Lelaki yang membela Islam dengan harta dan jiwa sejak awal lagi Rasulullah dipulaukan. Dan lelaki yang imannya tidak sebanding dengan dunia dan seisinya! Lelaki yang yang paling banyak mengislamkan mereka yang dijamin syurga!

Dialah Abu Bakr Asshidiq Radiyallahu ‘anhu.

Sunday, November 28, 2010

MENGENALKAN SAYA




“ Sudah kau rancang masa depan?”

“ Masa depan? Maksudnya yang mana satu..terlalu subjektif.”

“ Anak-anak, keluarga..kerjaya. .semua apa yang kau inginkan selagi hidup”

“ Waah, kamu sampai ke situ ya..sudah merancang siap untuk anak-anak dan keluarga. Bukan kita masih bujang, ada satu sem lagi mahu graduate."

Langit cerah, tapi coraknya berbalam-balam. Ada lukisan indah di dada langit. Sangat abstrak. Ombak sekali sekali menyapa usik derap kaki pengunjungnya. Saya menghampar pandangan jauh ke pentas samudera. Sungguh saujana melihat simbahan cahaya mentari menebar mencermin lautan.

Saya tersenyum. Memandang teman akrab di sebelah. Kami bergandingan di tepi pantai petang itu.

“ Aku sudah mengimpikannya. Kita bukan berangan kan..kita hanya bercita-cita. tIdak salahkan bercita-cita. Kau lihat, Rasulullah juga menasihatkan supaya kita bermimpi syurga yang tertinggi, bukan sekadar itu, harus juga berdoa meminta syurga yang tertinggi. Waah, kalau mahu fikir sekilas, seakan tidak pantas mahu meminta syurga yang tertinggi itu. Tetapi bercita-citalah dahulu!”

Wednesday, October 27, 2010

SERPIHAN- serPihan

Criminal Procedure Code
Civil Procedure
Evidence 1
Evidence in Shariah Procedure
Professional Practice 1
English for Academic Purpose


************
Final Exam
Hanyalah serpihan kecil dari ujian dunia
Ia bukanlah visi namun tanggungjawab
Ya Allah
Andai kejayaanlah yang terbaik untuk agamaku
Aku pinta ya Allah
Andai kejayaanlah yang menjauhkan agamaku
Aku lebih memilih agamaMu
Kejayaan ini bukan untuk sesiapa
Demi Allah
Demi Dakwah
Demi Keluarga
Demi aku
Jika ada
Ujian ini bakal menentukan
apakah dakwah itu bermusim
pada Allah kita berkira
Sedang ummat dijajah imannya tidak bermusim
kerana kerja daei itu juga bukan sahaja di musim bunga
yang membahagiakan dan memudahkan
ia juga pada musim dingin menggigit tulang
pada musim panas memercik keringat
kerana itu
Janganlah kau jadikan aku lemah dengan ujian ini
Jangan membuat aku ragu dan memilih
Sesungguhnya ini sahaja yang aku andalkan
Di jalan cinta para pejuang
Dalam mentaatiMu tidak perlu kurisaukan kemampuanku

- Nurul 'Izzah Zainol-
1406pm










Friday, October 15, 2010

AGAR KAU MENGERTI

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

-kopratasa-permata buat Isteri-

Kebelakangan ini..memang tidak semena-mena. Tanpa sebab yang sahih. Ia menginspirasikan segalanya. Di jalan cinta para pejuang, kita adalah isteri yang diharapkan dan kita adalah suami yang mengharapkan. Di jalan cinta para pejuang, tidak semudah janji yang kita taburkan dalam bahtera pernikahan dan impian yang kita karang. Itulah pengertian yang semua kita mahukan buat sang suami dan sang isteri. Agar kau mengerti...

CINTA. NURANI YANG BERBISIK




Fatwa hati seringkali benar
Namun pernah jua tersesat
Bertingkah hebat antara nurani dan dosa
Lalu tenggelam di ufuk rasa

Lega. Tiga hari saya istikharah untuk mendahulukan bab yang mana dalam siri kembara saya kali ini. Sudah saya tandai yang ketiga, saya ubah semula menandainya yang kelima. Lalu ke kelas sebentar. Fikiran saya berubah. Menandai yang kelima tadi berubah yang ketiga kembali. Sulit sungguh. Lebih sulit daripada mendahulukan sesiapa yang LEBIH baik menjadi pasangan hidup. Atas kesedaran hidupnya manusia itu kerana hidupnya hati, saya perlu mencari kunci asas untuk membuka hati para pembaca. Semoga jiwa yang menakung itu menjernih menyerap cahaya.

PERNAH KAU DENGAR KISAH INI?

Dia seseorang yang telah dua kali Rasulullah ambilnya sebagai menantu.
Ini kisah dari seorang sahabat yang merupakan pembantu kepada Rasulullah. Anas bin Malik.
“ Aku datang kepada Utsman Bin Affan” Kata Anas. “ Sewaktu aku dalam perjalanan aku bertemu dengan seorang wanita. Aku meliriknya dan memperhatikan kecantikannya.”

Begitu Anas sampai di hadapan Utsman, dia menegur, “ Telah masuk salah seorang di antara kalian sedang di matanya ada bekas zina. Tidakkah engkau tahu zinanya mata adalah pandangan? Hendaknya engkau bertaubat, kalau tidak, akan kukenakan hukuman ta’zir kepadamu!”

Utsman tidak menunjukkan sesiapa. Namun, Anas terasa dadanya begitu sempit. Jiwanya mahu runtuh. Bagaimana Utsman bisa tahu? Dia kalut.

Thursday, September 30, 2010

CINTA. BUKAN SYARATNYA



Seringkali cinta adalah sendinya
Namun ia tidak selalu menjadi syaratnya
Kerana cinta selalu sahaja tidak adil
Saat hati ditunggangi nafsu

Bab yang seterusnya. Helaian yang ketujuh sudah terlerai dari ruas buku kerana sering dihenyak ketika tertidur dengannya. Saya akui mentah-mentah. Bukan suka-suka tidak menjaga buku, tetapi telah menjadi satu rutin, tanpa buku, saya tidak dapat melelapkan mata. Memang cintalah suasana tulisan saya kali ini kerana menyikapi hal cinta ini begitu rumit. Saya puas mencari jalan menyelesaikan pekerjaan jiwa yang sungguh sukar meletakkan formulanya secara matematika. Saya tidak mahukan cinta yang terlalu manusiawi, tidak juga terlalu rabbani sehingga hilang fitrah asli insani. Beginilah saya cuba sintesiskan kisahnya untuk kalian tentang segitiga cinta. Bukan cinta tiga segi. Sungguh tiada kena mengena.

SENDI yang TAK SETIA

Selalu sahaja kita tidak merasakan cinta. Selalu juga kita merasakan terlalu cinta. Bahagia. Tidak terungkap pada kata, namun berbahasa pada mata. Saat dilambung cinta, segalanya mungkin bagi kita. Namun saat jiwa diterjah benci, darah juga sanggup kita korbankan. Aneh sungguh kuasa cinta. Ia bagai sendi yang menggerakkan segala daya yang tadinya statik dipaku jeriji. Tetapi sendi ini juga tidak setia saat karat besi mula menggerutu, dan merapuh untuk tumbang.

Ya, hukum manusia memang juga begitu. Mensyaratkan cinta sebagai sendi untuk setiap amal perbuatan bukanlah satu rumusan yang bijaksana. Kerana, hati yang menakung cinta ini tidak selalu setia pada tuannya. Pagi ini ia menjadi terlalu baik dan memilih hal-hal taqwa sahaja. Petang nanti ia merajuk dan menjadi degil jika mahunya tidak terpenuhi. Segala taqwa yang menggemuk di pagi hari mengurus kerana emosi. Nah, bagaimana rumusan yang sepatutnya agar cinta dan amal itu seiring menggebu dalam memastikan redhaNya. Biar jangan mudah-mudah kita beralasan :

“ Tunggulah sampai saya benar-benar mencintainya, baru saya bersedia memberi komitmen”

Monday, September 27, 2010

CINTA. SEBUAH KATA KERJA


Cinta adalah sebuah kata kerja iaitu kerja untuk mencintai
Maka bermulalah untuk bekerja untuk mencintai akan hal-hal yang belum kau cintai
Dan hatimu akan menjadi makmum atas segala kerja cintamu

Kelihatan sungguh retorik. Tidak mudah. Sulit benar untuk menggunapakai ungkapan di atas dalam realiti hidup. Apatahlagi bersangkut soal hati yang bermukim cinta. Ungkapan ini juga saya canangkan kepada teman-teman yang kecundang dalam memiliki hal yang dicintainya. Baik berupa ‘manusia’ atau  selainnya. Saya pujuk-pujuk agar bisa saja untuk mula mencintai hal yang baru yang belum dicintainya. Wajahnya mengetat. Tidak setuju. Begitulah cinta, lekas benar mengarah tuannya membelakangkan akal.
Di sini, saya menemukan satu hikmah sepanjang pengembaraan saya dalam buku ini. Saya lipatkan bab ini agar mudah untuk mengulangnya.  Cinta adalah sebuah pekerjaan jiwa yang besar dan agung iaitu MENCINTAI. Oleh kerana ia merupakan sebuah kerja yang harus kita usahakan, maka tidak mustahil kita akan mendapat hasil atas usaha-usaha kita itu. Cuba kalian tanya sebentar pada hati, pernah bukan berlaku sesuatu yang paling kita benci itu menjadi hal yang paling kita cintai? Cuba imbas kembali bagaimana ianya boleh terjadi jika tanpa kalian membuka ruang, memikirkannya dan meletak usaha tanpa sedar untuk mengenali hal itu. Sehingga tanpa sedar juga kalian mula mencintainya. Itulah pekerjaan jiwa yang sedang dan telah kalian lakukan sehingga kalian mampu mencintainya.
Di sini, ada peristiwa yang lebih agung dari kisah cinta kita. Kisah cinta Umar r.a dan Rasulullah, siapa yang bisa menandinginya?

Saturday, September 25, 2010

PRA-KEMBARA




Seringkali cinta adalah sendinya
Namun tidak selalu ia menjadi syarat segalanya

 Asalamua'alaikum. Salam taaruf..

Selamat bersama dalam kembara Jalan Cinta Para Pejuang yang saya khaskan lamannya untuk kalian. Sekadar perkenalan terhadap laman ini, adalah laman utama saya yang kedua selepas laman Kerana Syahadah Aku Daei. Semuanya atas kesedaran sebuah pengembaraan di Jalan Cinta Para Pejuang lewat tinta Salim A Fillah dalam karyanya itu. Entah mengapa saya harus mengulang bacaannya untuk kali keempat biar masih terhimpun beban tugas kehidupan yang lain. Namun yang pasti saya menemukan rihlah ruhani saat diri dihempas duka, saat hati menjadi gersang, saat jiwa dahaga embun penyejuk rasa. Tidak indah rasanya jika kebaikan ini saya sorokkan untuk dinikmati seorang diri, sedang saya yakin kalian pasti mencari 'vitamin' hati demi meneruskan hari-hari yang penuh misteri.

Maka, dengan penuh takzim, akan saya turunkan segala hikmah yang saya tekuni lewat pembacaan saya dalam buku ini khas untuk pembaca budiman. Mohonnya, ada sesuatu yang dapat dirasai, ada sesuatu yang dapat merubahkan dan ada sesuatu yang meloncatkan!

Bertemu kembali dalam permulaan kembara kita!

Friday, September 24, 2010

DEDIKASI KUDUS


 
Laman ini..
Kudedikasikan khas buat Allah
Tanda syukur atas segala cintaNya
Buat Rasul
Muhammad SAW, teladan sejatiku sepanjang zaman
Buat ayah bonda
Atas jerih melayan kerenahku
Dengan keringat tanpa bayaran
Buat guru kehidupanku
Katamu bagai sumbu nyaliku dalam sepi
Selama-lamanya
Buat keluarga
Terus bersamaku dalam berkongsi hidup
Buat akhawat
Penawar rencah rasaku dalam mehnah dakwah
Buat teman
Mengenali kalian adalah sebahagian dari pengalamanku
Buat Salim A Fillah
Mengajariku untuk menjadi manusia
lewat tinta nuranimu

di jalan cinta para pejuang..