RSS

Tuesday, December 21, 2010

MEMILIH PILIHAN




Bukan cita rasamu sebagai ukuran
Bukan inginmu kau kejarkan
pada Dia pilihan kau sandarkan
biar hasilnya di kuburan

Ada yang kata minat itu hukumnya statik. Ada juga yang berpendapat ianya kinestetik. Sentiasa bergerak dan berubah. Saya kata pula ia pada mulanya static tetapi sejak mengenali tarbiyah ini, ia rupanya kinestetik.

Ceritanya.

“ Kau memang betul mahu jadi pensyarah?” Matanya mencerlung. Bagai ia suatu yang mengejutkan.

“ Ya, kenapa? Tidak sesuai denganku?” Hairan saya melihat reaksinya. Saya melabuhkan duduk di birai katil biliknya.

“ It’s not so you. Kau tu karekternya sesuai jadi peguam, pejuangkan keadilan, ketegasan kau dalam berkata. Kita semua memerlukan itu. Sudah lupa itu yang kau citakan sejak kecil. Kau telah menghampirinya. Jadi peguam sahajalah.”

Saya tahu teman baik saya itu tidak setuju. Memang kami telah lama bersahabat. Dan dia sungguh mengenali diri saya seadanya. Saya memang sedar dan akur, saya sangat sukakan cabaran dan bidang guaman itu menyediakan cabaran yang saya inginkan. Petang itu kami sedang diskusi tentang hala tuju setelah graduate. Ada 3 jalan yang tersedia dalam jangka masa pendek ini yang menyalurkan kepada kerjaya mana yang kami mahukan.

Khali. Hanya bunyi kipas berpusing menghuni telinga. Pengalaman saya praktikal di sebuah firma guaman baru-baru ini kembali mengusik tekad yang ada. Ya, waktu itu memang saya sungguh jatuh cinta dalam bidang guaman.

“ Aku tahu itu. Terima kasih kerana kau setia menyokong citaku. Cuma kau perlu tahu seperkara, tidak semua yang kita mahukan itu, kita mesti mencapainya. Ya, aku sememangnya mahu mencari Ahmad Ibrahim yang hilang, yang memperjuangkan hak syariah di Negara kita. Pengorbanan kepada citaku itu bersebab. Kau harus tahu itu dulu.” Saya berjeda. Menyusun kata agar dia mengerti.

“Apa dia? Katakan saja. Aku kenal kau bukan semalam.” Dia masih tidak puas hati.


“ Jikalau dulu ukuranku ke atas setiap pilihanku adalah atas apa yang aku suka, atas apa yang aku minat, dan atas apa yang paling bernilai di sisiku. Maksudku adalah semuanya atas ukuran peribadi. Dan sekarang, aku harus fikir lebih infiniti untuk membuat pilihan. Apatahlagi pilihan kerjaya kerana ia bakal menjadi sebahagian kepada tumpuan perhatian dan waktu kita. Maka ia bukan calang-calang pilihan. Maka ukurannya adalah apa yang bernilai di sisi Allah, apa yang lebih menguntungkan Islam, apa yang lebih bermanfaat pada dakwah.”

Tidak cukup lagi. Saya mahu menyambung lagi. Seperti ada satu gerabak keretapi yang masih tertinggal. Teman saya itu punya cita yang sama. Mungkin dia merasakan kehilangan teman seperjuangannya dalam menegakkan undang-undang mengganggu emosinya.

“ Kawan, kerja peguam itu apa kurang nilainya di sisi Allah? Di sisi dakwah? Tidak kau lihat betapa ramai mereka yang di luar sana teraniaya kerana ketidak adilan. Mereka perlukan kita.”

Dia benar. Sungguh benar. Saya menarik nafas. Menghembusnya kembali.

“ Aku suka semangat kau. Semoga kaulah Ahmad Ibrahimnya. Betulkan aku jika aku salah. Begini, aku melihat kepada pembentukan peribadi mahasiswa, terutama dalam bidang kita. Ya, kuliah kita melahirkan ramai peguam, tetapi kita sangat kurang peguam seorang pejuang. Kita kurang peguam yang berani tampil berbeza dengan prinsip Islamnya walau mereka lulusan sarjana muda syariah. Fikrah Islam itu tidak diterapkan dalam silibus. Sistem kita hanya menyuapkan ilmu di kepala sebagai syarat menjadi graduan, bukan sehingga membentuk peribadi muslim dalam bidangnya.”

“ Jika aku menjadi peguam, maka aku mungkin hanya bisa mewujudkan diriku sahaja sebagai pejuang itu. Itu pun belum pasti kerana iman tidak dapat diduga.Tetapi andai aku menjadi pensyarah, aku bisa melahirkan lebih ramai peguam seorang pejuang. Aku hanya harus bijak menggunakan ruang dan peluang sebagai pensyarah. Objek dakwah telah tersedia. Perhatianku sekarang sangat besar terhadap mahasiswa, merekalah pemimpin akan datang. Inilah projekku yang belum kau ketahui.”

Saya sudah melihat air mukanya sedikit cerah. Bibirnya tersenyum. Ada cahaya pada matanya mahu menyatakan sesuatu.

“ Kau sungguh berbeza. Aku ingat aku telah mengenalimu. Kau memberikan sesuatu yang bernilai hari ini. Kawan, aku sentiasa di sisimu ya. Aku menunggu kau kembalikan seribu Ahmad Ibrahim yang hilang.”

Saya sungguh tergoda dengan cabarannya. Saya bersedia seizin Allah.

“ Terima kasih atas kesetiaanmu. Aku tahu jalan ini panjang, sukar..tetapi inilah yang telah aku pilih untuk menanti hasilnya."

Hujung diskusi kami disambut azan ‘Asar. Ada mesej masuk dan ia sesuatu yang urgent. Maka sebaik sahaja solat berjemaah, saya terpaksa memungkiri janji untuk berbuka puasa dengannya.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG.

…..bukan lagi ukuran peribadi. Bukan lagi ukuran duniawi atas setiap pilihan kita. Maka yang paling bernilai di sisi kita, adalah apa yang paling bernilai di sisi Allah, dan apa yang menguntungkan dakwah. Bukan ketergesaan yang kita mahukan, tetapi kecermatan dan kehalusan dalam setiap tindakan kita walaupun hasilnya terhampar saat kita di kuburan. Kerana sunnah jalan dakwah sememangnya begitu, jauh..panjang..dan sukar. Ia menuntut sabar, sesabar Rasulullah menyebar dakwahnya hampir suku abad. Ia mensyaratkan tekun, setekun Rasulullah membina para sahabatnya, pejuang yang dikenang sumbangannya terhadap Islam. Di sinilah kita, di jalan cinta para pejuang menemukan kita dengan apa yang telah Baginda lalui.

" Sekiranya yang kamu serukan kepada mereka ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah " Jikalau kami sanggup, kami berangkat bersamamu." Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui mereka benar-benar orang- orang yang berdusta" ( Taubah:42)

12 comments:

izyan said...

wah. kenal amat watak itu sahabat. tapi bicara ku santun bangat di penulisan mu. he2. impress! insyaAllah..msing2 punya misi dan visi. apa jua jalan yg iz pilih, moga2 terdukung dalam perlindungan, pertolongan, rahmat n kasih syg Allah selalu:)

sitimasleha CJ said...

kalau aku baca entri2 izzah ni, bahasa aku bertukar jadi bahasa indonesia. automatik. haha..

Syaheera My said...

semoga semgtmu tersalur pd ku jua... siti, akk pun sama, tiba2 rasa mcm berdialog teater plak..hihi.. Iz, thanks ats entry ni..moga2 akk juga dpt jd spt watak di ats..amin..

Ar-Rijal said...

salam..

terima kasih atas kunjungan dan masukan yang amat berguna.

entry yg sangat2 membakar semangat.suka entry kali ini.

kalau biasanya orang pandang, apa ada pada kerjaya pensyarah. Cuma mengajar. Jika menjadi peguam bahkan lebih besar ganjaran kewangan yang dapat.

tapi bagi mereka yang sedar yang itu semua cumalah jalan dan alat untuk mencapai matlamat yang pasti,maka kita barangkali akan memilih jalan yang terbaik untuk kita. maka mungkin itu untuk watak tersebut adalah sebagai seorang pendidik.

yang membasahi jiwa anak muda dengan membawakan kebesaran tauhid Ilahi dan menunjukkan nya jalan sunnah nabi.

itu yang paling mulia. kerna dalam Quran, Allah mengagungkan orang muda.Berapa banyak kisah pemuda di dalam Quran.Kisah pemuda kahfi,Yusuf,Ibrahim, ghulam dan macam2 lagi adalah sebenarnya tanda aras dan panduan yang diajarkan kepada anak muda kini.

Bahkan Rasul juga cukup menyanjung orang muda.

"Bersikap baiklah kepada orang muda.Kerna ketika aku menyeru kepada Islam,orang tua menentang ku tetapi orang muda menyokong ku"

Bahkan peluang diberi Allah lagi cantik. Dihadapkan kepada kita pemuda intelek.Pemuda yang mampu menilai dan berfikir.Bahkan melaksanakan idealisme nya dengan penuh semangat.

Maka jika kita dapat melentur idealisme mahasiswa kepada Islam yang kaffah,itulah model kepada negara kita akan datang.

Barangkali dengan niat menjadi peguam awalnya dengan idealisme untuk membela undang2 syariah melalui perundangan adalah satu yang sangat hebat dan dibanggakan. [Saya juga pernah berniat begitu ketika ingin mengambil bidang guaman dulu.Ingin terjun dalam politik.dan ubah perlembagaan tetapi lebih kepada perjuangan yang agak sekular. ]

Tetapi mungkin merasai untuk mencapai tangga terakhir, kita perlu tapaki tangga pertama dahulu maka seharusnya tangga pertama adalah membentuk individu Muslim yang sejati.dan membuat reformasi kepada negara bukanlah matlamat akhir tetapi cumalah tangga ke 5 atau 4 sahaja untuk kita tapaki.tak lebih dari cuma satu lagi sahaja tangga.[tetapi tetap perlu untuk kita tapaki]

bayangkanlah ketika sudah menjadi graudan dan kita menoleh ke belakang melihat adik2 yang ditinggalkan.Bukankah itu sebenarnya bayangan diri kita ketika baru masuk tahun pertama.Penuh dengan idealisme masing2 dengan kepala sendiri2.menunggu untuk diberikan panduan. Menunggu untuk dipimpin tangan dan diajak melihat apa itu Islam sebenarnya dan bagaimana sebenarnya perjuangan yang diyakini.

dan kalau lah setiap jiwa dalam fakulti watak di atas dapat dibentuk dengan cantik, bayangkan betapa hebatnya mereka yang akan punya kefahaman yang sempurna terhadap perjuangan Islam dan bukan cuma sekadar meloncat-loncat sahaja.

mana tahu mungkin anak didik watak di atas yang ditarbiah adalah Salahuddin ataupun Al Fateh generasi moden yang menakluk dengan cara nya sendiri.

mungkin watak itu merasakan itu jalan terbaik dan semoga jalan yang dipilih adalah terbaik. Kerna dalam mencapai matlamat redha Allah, ini semua adalah jalan untuk melihat siapa yang paling baik amalnya.

Al-Mulk : 2

Wallahua'lam.

cetusanminda.wordpress.com

NURIZZ said...

Assalamu'alaikum

jazakumullah atas kunjungan kalian. entry yang berjaya disiapkan dalam tempoh yang agak lama berbanding selalu. hampir 3 jam. mungkin isi yang mahu disampaikan bagi saya agak berat, maka perlu lebih cermat.

Izyan,
bukan memang begitu watakmu?biasalah apabila ia menjadi sebuah tulisan, sentuhannya pasti berbeza.tetapi masih tidak melarikan maknanya kan..Terima kasih kawan,aku harap kau tidak tukar cita-citamu.Semoga bakal2 graduan nnti ada 'tali' untuk mereka berpaut jika kau berjuang di medan sana.

Cik Siti,
Telah kucuba memelayukan tulisanku kali ini.Lama-lama bingung juga mahu edit gaya bahasa.Baru-baru ini sebuah majalah mahu meletakkan entriku di majalahnya, tetapi diminta untuk tukar gaya bahasanya.Mungkin, perlu cuba mengubah selera bacaan yang banyaknya dari indonesia.

K.Syeera,
sebenarnya memang membayangkan dialog dalam sebuah teater. Kebetulan baru pulang menonton teater natrah di istana budaya, dan di situ terinspirasi semangat Ahmad Ibrahim.Akak, mungkin watak di atas terlalu sempurna untuk kalian, ia hanyalah sekadar penulisan kreatif yang mahu mencari sudut pendekatan terbaik untuk memberi ibrah. Sedangkan, watak sebenarnya masih banyak kekurangan yang hanya Allah saja mengetahui.

Sama-sama kita mengambil manfaat.

Anonymous said...

Entri ini mengingatkan saya kepada Prof Aziz Bari yang pernah mengungkapkan hal yang sama.. Katanya; klausa2 perlembagaan yg beku itu masih boleh dicairkan dgn tafsiran2 yg memihak kpd Islam.. Justeru beliau lebih berminat utk bekerja menghasilkan 'pentafsir2 islamik' itu (baca: bakal2 peguam) drp terjun scr langsung ke medan.. Walaupun akhir2 ni beliau sendiri dah terlibat di lapangan..

Walaupun ada bahagian yg saya tidak setuju drp keseluruhan pendapatnya itu, berkecimpung di dunia akademik mmglah satu kerjaya yg terpuji.. Walau bagaimanapun, persiapkanlah bekalan paradigma intelektualan yg secekupnya.. Moga2 niat yg baik ini dimakbulkan Tuhan..

NURIZZ said...

assalamu'alaikum

Sdra Tajul,

Anda benar. Anda melihat seperti mana saya dan kita semua melihatnya. Mensasarkan golongan pemuda yang selalunya hamasah (bersemangat) adalah tidak rugi. Ia sebenarnya bukan perkara yang sukar jika benar-benar kita amati. Pemuda bergelar mahasiswa telah tersedia pakej asas seorang pemimpin dengan intelektualnya, keterbukaannya, dan cara sosial yang ilmiah. Kesemua kelebihan-kelebihan mereka ini harus disalurkan kepada lorong yang tepat, harus dicerahkan dengan cara pemikiran Islami dan harus dibakar semangatnya ke arah yang memperjuangkan Islam.


Mereka hanya perlu diberitahu, diyakinkan, dan diajak bersama untuk melihat misi yang lebih besar selain hanya sekadar menmperoleh segulung ijazah dan memenuhi kepuasan peribadi. Saya percaya, bahkan terbukti,jika kena dengan caranya, di tangan mereka dunia mampu berubah.

Maka, rancanglah kerjaya kita dengan teliti dan berstrategi. Kerana niat yang jelas dan yang baik itu tetap tidak akan tercapai tanpa perencanaan yang strategis juga.

Nahnu Du'at Qabla Kulli syai'

NURIZZ said...

Assalamu'alaikum sdr/sdri asrar ekhudi,

Saya setuju. Syukur kerana berpeluang menjadi pelajarnya ketika mengambil subjek Constitutional Law yang menjadi kepakaran beliau. Cabaran beliau untuk para academician melahirkan pentafsir-pentafsir undang-undang yang islamik adalh sesuatu yang harus dipandang serius. Negara kita sudah hampir lengkap undang-undangnya, bahkan banyak negara lain yang mengakuinya terutama UK. mereka sangat membanggakan Kanun Tanah Negara kita kerana Malaysia mempunyai Kanun Tanah yang terbaik di dunia.

Seperti apa yang disebut Prof, kita perlu mentafsirkannya kepada sesuatu yang memberatkan kepada Islam kerana kebanyakan undang-undang diletakkan dengan penyataan umum dan masih boleh diinterpretasikan kepada maksud yang lebih tepat.

Maka di sini, kebjikasanaan dan kemampuan berhujah dari sudut akademik sangat dituntut untuk menjelaskan pentafsiran yang sebenar undang-undang tersebut. Maka,kita perlukan pentafsir-pentafsir yang berfikrah Islam dan bukan liberal( banyak sekali golongan akademik yang 'liberal)

Nampaknya kerja kita semakin sukar, semakin berat. Ia kerja membentuk peribadi dan pemikiran ratusan manusia yang kita cagarkan untuk merubah perundangan negara.

Ayuh!

Ibnu Hassan said...

Assalamu'alaikum...

Mungkin boleh kita kongsikan...

Salah satu yang wajib diketahui oleh para pendakwah adalah ilmu fiqh. Maka fiqh yg dimaksudkan di sini, bukanlah fiqh sebagaimana kebiasaannya difahami iaitu fiqh dalam bab ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan lain-lain, akan tetapi dalam erti kata Al-Qurani iaitu memahami sesuatu perkara secara mendalam dan ia tidak terbatas dalam mengistinbat hukum-hakam berdasarkan nas yang pelbagai.

Dua jenis fiqh yang berkait dalam memilih pilihan iaitu fiqh al-awlawiyat dan fiqh al-muwazanat. Pembahagian maslahat dalam memilih sesuatu dari dimensi kekuatan atau keutamaan dibahagikan kepada tiga iaitu daruriyat, hajiyat dan tahsinat. Di sini akan berlaku pendetilan terhadap sesuatu perkara yang kita inginkan keberhasilan yang tepat dalam membuat keputusan. Seperti contoh, antara menjadi pensyarah atau peguam. Daruriyat, hajiyat dan tahsinat akan memberikan kita gambaran jelas dimanakah kedua-dua kerjaya ini diklasifikasikan. Terlebih dahulu sebelum pengklasifikasian dijalankan, satu lagi cabang fiqh perlu dipraktikkan iaitu fiqh al-waqi'. Fiqh al-waqi' ini akan merungkaikan keutamaan, keperluan dan kepentingan semasa dalam penelitian terhadap keputusan yang bakal terhasil khususnya dalam hal yang bersifat mutaghaiyirat (berubah-ubah). Jadi, perlu saudari teliti apakah keperluan ummah sekarang. Apakah institusi guaman ketandusan peguam muslim yang mukmin ataukah institusi pengajian tinggi perlukan seorang pensyarah yang dapat mengupas ilmu guaman dengan kupasan maqasid syar'iyah seterusnya dalam tempoh 3 atau 4 tahun berjaya menghasilkan lebih ramai peguam muslim yang mukmin.

Bersambung...

Ibnu Hassan said...

Kita cuba bincangkan satu persatu. Pertama, jika saudari lebih cenderung untuk berkerjaya sebagai seorang peguam, apakah ia satu maslahat yang bersifat sangat mendesak (daruriyat), ataukah ia sebagai satu kehendak sahaja (hajiyat), ataukah ia sebagai satu proses pembaikan (tahsinat) institusi guaman tersebut. Maka di sini, fiqh al-waqi' akan menyahut dengan penelitian keperluan semasa secara realiti. Contohnya, kalau dalam keadaan sekarang, tiada individu atau agensi yang berusaha mempertahankan institusi guaman mengikut kehendak syara' maka ia dikira satu daruriyat. Jika sudah ada individu atau agensi atau satu badan yang telah melaksanakan dan memperjuangkan guaman mengikut kehendak syara' maka ia akan jatuh ke peringkat hajiyat dan mungkin akan jatuh ke peringkat tahsinat. Kedua, jika saudari lebih cenderung untuk berkerjaya sabagai seorang pensyarah dalam bidang undang-undang dan guaman yang akan mengupas subjek-subjek bagi menjelaskan maqasid syar’iyah sebenar dalam ketika institusi pengajian tinggi ketandusan pensyarah ini, maka kerjaya pensyarah dalam bidang ini diklasifikasikan sebagai daruriyat. Maka fiqh al-muwazanat akan membantu kita menjelaskan lagi fiqh al-awlawiyat untuk kita mendahulukan apa yang mesti kita dahulukan dan mengkemudiankan apa yang mesti kita kemudiankan. Asas pertimbangan ini akan memberikan saudari pandangan dan idea yang jelas.

Bagi saya, saya lebih cenderung dengan kerjaya pensyarah kerana memandang kepada maslahat pandangan jauh saya, mungkin institusi guaman islam yang bukan mengikut nafsu lokomotif sekular telah ada dan mungkin dalam proses pembaikan dan penyempurnaan dan dalam masa yang sama, institusi pengajian tinggi kita memerlukan pensyarah yang benar-benar mampu mengupas subjek-subjek bagi menerangkan dan memperjuangkan maqasid sar’iyah. Jadi kata-kata saudari “Jika aku menjadi peguam, maka aku mungkin hanya bisa mewujudkan diriku sahaja sebagai pejuang itu. Itu pun belum pasti kerana iman tidak dapat diduga. Tetapi andai aku menjadi pensyarah, aku bisa melahirkan lebih ramai peguam seorang pejuang. Aku hanya harus bijak menggunakan ruang dan peluang sebagai pensyarah. Objek dakwah telah tersedia. Perhatianku sekarang sangat besar terhadap mahasiswa, merekalah pemimpin akan datang. Inilah projekku yang belum kau ketahui.” Justeru terlaksana dua tanggungjawab manusia di sisi saudari iaitu sebagai hamba dan khalifah berdasarkan ayat 56 surah al-dzariyat dan ayat 30 surah al-baqarah. Saudari bukan sahaja telah melaksanakan tugas sebagai seorang hamba Allah dalam beribadat menuntut ilmu untuk diri sendiri, akan tetapi telah melaksanakan konvensi sebagai khalifah walau usaha menegakkan syariat dengan mengumpul kekuatan kolektif peguam-peguam terlatih masih menateh.

Kalau ada sebarang kesilapan harap dapat menegur…

Syukran…

NURIZZ said...

Assalamu'alaikum sdra Ibnu Hassan,

Jazakallah atas tasqif yang lebih menjelaskan kedudukan suatu pilihan itu dari sudut fiqh keutamaan. Huraian saudara lebih meyakinkan keputusan saya setakat ini.Ya,ilmu tentang fiqh awlawiyat dan fiqh muwazanat ini lebih-lebih dituntut kepada para penggerak dakwah untuk pembentukan fikrahnya. bahkan perlu dimanhajkan sebagai maudhu' penting terhadap mereka.

Saya juga ada membaca buku fiqh awlawiyat karangan Dr.Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi yang mana banyak sekali perbincangan tentang fiqh tersebut dengan dikhususkan kepada beberapa qadhaya tertentu. Antara bab yang saya kira tepat yang terkait dengan tulisan saya di atas adalah bab "KEUTAMAAN DALAM BIDANG PEMBAHARUAN MASYARAKAT". Beliau meletakkan prioriti terhadap pembentukan mentaliti sebelum perubahan organisasi. Dengan menggunapakai prinsip-prinsip asas atau qawaid dalam fiqh awlawiyat seperti juga yang saudara huraikan di atas, maka di sini kita melihat keperluan untuk perubahan mentaliti terletak di tangga pertama sebelum melakukan perubahan-perubahan yang lain.

Maka, mungkin atas pertimbangan itu, saya melihat pembentukan mentaliti(fikrah) dan muwasofat yang teguh dan berprinsip bagi individu muslim perlu didahulukan sebelum melepaskan mereka ke dalam medan amal yang lebih mencabar iman dan prinsip mereka.Kerana itu, kerjaya sebagai pensyarah lebih sesuai untuk fokus kepada pembentukan fikrah dan peribadi muslim seorang mahasiswa sebelum kita melangkah kepada perubahan organisasi, atau pemerintahan.Semuanya telah dilakarkan Rasulullah dalam sunnah dakwahnya.

Secara aplikasi, pada awalnya semangat untuk terlibat dengan kerjaya seorang peguam untuk beraksi di lapangan guaman adalah untuk memperjuangkan syariah demi menggesa pemerintah agar implement syariat islam. Namun jika dilihat kepada awlawiyatnya, kerja saya akan jadi sia-sia kerana kemungkinan di sana saya akan berjuang seorang diri kerana kekurangan para peguam yang mempunyai fikrah dan hala tuju yang sama.Bukan sekadar tidak mendapat sokongan bahkan boleh membawa kepada kemudharatan yang lain.Justeru, tujuan kita untuk membentuk peribadi muslim yang solid dengan sepuluh muwasofat tarbiyah adalah persediaan melahirkan produk-produk peguam yang mencukupi untuk mendokong perjuangan di lapangan undang-undang.
itulah keutamaannya.

bersambung...

NURIZZ said...

....

Kerana itu, kita memahami bahawa setiap mihwar dakwah bermula mihwar tanzhimi, sya'bi, muassasi dan dauli perlu tartib kerana setiap mihwar itu membawa kepentingan kepada mihwar yang seterusnya. Jika berlaku 'langkah bendul', kita akan melihat ketahanan ke atas apa yang telah kita capai akan lekas goyah lalu pincang. Maka, secara tertibnya, bentuklah seberapa ramai individu muslim yang berkualiti sebelum memasuki kepada masyarakat. setelah peribadi muslim ini dapat merubah suasana masyarakat, maka kita melangkah kepada politik untuk menjadi suara dan kepercayaan kepada rakyat sebelum kita dapat memegang sebuah pemerintahan dan kitalah yang mengemudinya sesuai dengan syariat.

Apa yang kadang kita lihat, ketergesaan untuk mendapat kedudukan politik demi mendapat sebuah daulah itu akhirnya tidak mampu membuat apa-apa bahkan membwa kelemahan kepada tanzhim/pertubuhannya. Hal ini mungkin berlaku kerana pentarbiyahan kadernya diabaikan, fokusnya dilarikan ke arah mihwar yang lebih besar sedangkan tapak yang dibina belum benar-benar kukuh. ini juga adalah manhaj yang Rasulullah ajarkan. semua mihwar ini kita dapati daripada sirah perjuangannya. baginda mengikut tertib dan tiada ketergesaan selagi prinsip Islam tidak diabaikan. Lihatlah bagaimana akhirnya empayar Islam menyebar luas hmpir 2/3 dunia.

dengan itu, kita mahu kembali meletakkan sunnah dakwahnya sebagai manhaj yang perlu kita ikuti. Dari situ kita belajar yang mana perlu diutamakan dan yang mana perlu dikemudiankan. Kita mungkin mempunyai niat yang murni dan hala tuju yang cukup mulia demi Islam, namun, jika hamasah kita tidak diuruskan secara bermanhaj, maka ia tidak menghasilkan apa yang kita harapkan.

Jiwa pemuda memang penuh hamasah, jika kita bijak menguruskan mereka, inshaAllah kita mampu memperoleh ustaziyatul 'alam. InshaAllah, jika dengan kehendak Allah itu adalah kerjaya saya,maka ia adalah amanah yang besar. Namaun, di mana sahaja kita berada, kita adalah du'at qabla kulli syai'.

Jika ada yang kurang pada penjelasan saya, mohon dimaklunmkan.

Jazakumullah

Post a Comment