RSS

Thursday, September 30, 2010

CINTA. BUKAN SYARATNYA



Seringkali cinta adalah sendinya
Namun ia tidak selalu menjadi syaratnya
Kerana cinta selalu sahaja tidak adil
Saat hati ditunggangi nafsu

Bab yang seterusnya. Helaian yang ketujuh sudah terlerai dari ruas buku kerana sering dihenyak ketika tertidur dengannya. Saya akui mentah-mentah. Bukan suka-suka tidak menjaga buku, tetapi telah menjadi satu rutin, tanpa buku, saya tidak dapat melelapkan mata. Memang cintalah suasana tulisan saya kali ini kerana menyikapi hal cinta ini begitu rumit. Saya puas mencari jalan menyelesaikan pekerjaan jiwa yang sungguh sukar meletakkan formulanya secara matematika. Saya tidak mahukan cinta yang terlalu manusiawi, tidak juga terlalu rabbani sehingga hilang fitrah asli insani. Beginilah saya cuba sintesiskan kisahnya untuk kalian tentang segitiga cinta. Bukan cinta tiga segi. Sungguh tiada kena mengena.

SENDI yang TAK SETIA

Selalu sahaja kita tidak merasakan cinta. Selalu juga kita merasakan terlalu cinta. Bahagia. Tidak terungkap pada kata, namun berbahasa pada mata. Saat dilambung cinta, segalanya mungkin bagi kita. Namun saat jiwa diterjah benci, darah juga sanggup kita korbankan. Aneh sungguh kuasa cinta. Ia bagai sendi yang menggerakkan segala daya yang tadinya statik dipaku jeriji. Tetapi sendi ini juga tidak setia saat karat besi mula menggerutu, dan merapuh untuk tumbang.

Ya, hukum manusia memang juga begitu. Mensyaratkan cinta sebagai sendi untuk setiap amal perbuatan bukanlah satu rumusan yang bijaksana. Kerana, hati yang menakung cinta ini tidak selalu setia pada tuannya. Pagi ini ia menjadi terlalu baik dan memilih hal-hal taqwa sahaja. Petang nanti ia merajuk dan menjadi degil jika mahunya tidak terpenuhi. Segala taqwa yang menggemuk di pagi hari mengurus kerana emosi. Nah, bagaimana rumusan yang sepatutnya agar cinta dan amal itu seiring menggebu dalam memastikan redhaNya. Biar jangan mudah-mudah kita beralasan :

“ Tunggulah sampai saya benar-benar mencintainya, baru saya bersedia memberi komitmen”



TRIANGLE OF LOVE

Banyak sekali yang cuba merumuskan konsep cinta ideal. Secara jujurnya, kebanyakan kajian yang dibuat adalah tentang cinta berhubungan manusia berlainan jantina. Saya juga tidak dapat lari daripada mengambil contoh daripada kajian mereka. Pada tahun 1988, Robert J.Sternberg dengan latar belakang Barat mempromosikan idea cintanya yang terkenal dengan the Triangle of Love. Cukup releven dan ideal.

Robert menggariskan tiga komponen penting untuk menjamin cinta sempurna iaitu Komponen Intimacy( keakraban), Komponen Passion (keghairahan) dan komponen Commitment ( Komitmen). Sudah tentu idea ini adalah berdasarkan latar belakang bukan Islam Sir Robert. Intimacy adalah keintiman yang padanya terdapat kehangatan, keakraban dan indah saat bersama dan rindu saat berpisah. Passion adalah ghairah yang didorong syahwat yang menuntut kerjasama seksual. Sementara komitmen adalah elemen yang lebih serius iaitu janji atau tekad untuk hidup bersama dan melahirkan keturunan untuk kesinambungan sebuah kehidupan
.
Agak ilmiah tetapi terlalu wajar untuk kalian tahu.Pada awalnya saya menyetujui Robert bahawasanya kehadiran ketiga elemen itu sememangnya wujud dalam hubungan lain jantina dan dialu-alukan dalam Islam. 

Bersabar dahulu! Maksud saya adalah hubungan pernikahan! 

Sebuah hubungan yang hanya terisi keintiman dan komitmen tanpa keghairah- Persahabatan
Sebuah hubungan yang hanya terisi keintiman dan keghairahan- Romantik
Sebuah hubungan yang hanya terisi komitmen dan keghairahan- Cinta buta (fatous love)

Kata Sir Robert lagi : Jikalau kesemua komponen itu berada dalam kadar yang sesuai dalam suatu masa, bertemulah kalian cinta IDEAL! ( biar dijalin secara tidak syar’ie)

Carta alir bahkannya lebih mudah bagi Robert. Sebuah hubungan itu idealnya bermula dengan keintiman, kemudian dirantai dengan keghairahan, dan disimpul dengan komitmen iaitu perkahwinan. Wah! Begitu sekali keyakinan Sir Robert.

ADA KESILAPAN?

Benarkah sebuah cinta ideal harus bermula dengan keintiman, lalu ghairah, kemudian yang terakhir adalah komitmen? Terdapat satu kisah pasangan Emily dan Marion dalam sebuah foto duduk bersebelahan agak berjauhan dengan 20 orang anaknya dan 77 orang cucu mereka. Ada hubungan yang tidak mesra di situ. Kosong dan kering. Mereka lalu ditanya tentang rahsia rumah tangga mereka dan dijawab :

“ Ini adalah komitmen dan perhatian di antara kami. Setengah orang menyebutnya cinta.”

Oh! Barangkali Sir Robert belum menemukan kisah di atas sebelum siap mengumumkan teori cintanya. Ternyata imunisasi sebuah hubungan itu tidak selalu bertahan dengan cinta. Tetapi yang disyaratkan adalah komitmen dan perhatian. Komitmen untuk sebuah janji untuk hidup bersama biar terasa hambar dengan cinta. Tanggungjawab yang telah disimpul dengan perkahwinan biar hati telah beralih selera. Demi anak-anak, demi cucu cicit yang lebih berhak diberi perhatian dan kasih sayang, mereka abaikan soal hati dan cinta.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG..

Kita perlu melihat lebih jauh..Bukan sekadar cinta dalam sebuah hubungan. Tetapi cinta ke atas sebuah amal dan tanggungjawab. Kita tidak mahu mensyaratkan cinta sebagai sendi sebuah amal dan tanggugjawab. Kita sungguh menolak teori Sir Robert. Kerana bagi kita, yang didahulukan adalah komitmen. Ikrar penghambaan kita kepada Allah sejak di alam ruh bahawasanya solat kita, ibadah kita, hidup kita, mati kita adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Ikrar kesetiaan yang sangat agung telah awal-awal kita taqliqkan sebagai muslim. Maka di jalan cinta para pejuang..ikrar itu adalah komitmen yang telah kita sumpahkan! Komitmen inilah menjadi tapak langkah pertama kita untuk bertahan biar dihambat kepudaran cinta. 

“ Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kalian yang melepaskan ikatan kesetiaan dari agamanya, maka kelak, Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia cintai dan mereka pun mencintaiNya ( Al-Maidah :54)

2 comments:

Anonymous said...

salam..huraian yang baik..
ulasan dengan cara yg berlainan dari buku tapi masih mengekalkan maksud sebenar..
memang buku ini sangat sesuai untuk semua peringkat, dan kerana 'ketrujaan' pembacanya maka lahirlah blog ini..im right k.izzah? =)

NURIZZ said...

wslam. terima kasih atas komentar. bukan kerna keterujaan sgt.tapi jika boleh, mahu berkongsi dengan semua nikmat yang akk rasa ni. kalo bisa terjemah lagi bagus ya..=)

Post a Comment