Awas.
Tulisan ini adalah untuk mereka yang tidak cepat terbuai dan berangan-angan sehingga tugasan anda terbengkalai. Tetapi saya berpendapat tidak kurang kebaikannya jika anda mahu cuba membacanya.
“ Akak, macam mana kita nak mencintai seorang yang tak kenal, tak pernah tahu langsung diri dia, tup-tup nak kahwin dengan dia?”
Pastilah soalan ini bukannya datang dari seorang ikhwah atau seorang akhwat. Seronok sebenarnya bertemu dengan freshies yang baru memulakan langkah ke alam Universiti. Tahniah kepada Volunteer of IIUM Mosque yang tidak jemu menyajikan program-program kewanitaan demi mendekati siswi-siswi yang mencari-cari rentak hidup agar tidak terkandas dalam pilihan yang salah. Terima kasih juga kerana tidak jarang juga menjemput saya sebagai fasilitator bagi sesi LDK setelah selesai sesi ceramah.
Who is your Mr. Right? Begitu sekali umpan promosi program malam itu sehingga melimpah ruah mahasiswi memenuhi ruang dewan. Suasana yang jarang kita temui jika tajuknya adalah Qiyamullail terapi jiwa. Ah, sudah kita dapat ukur selera mahasiswi kita secara tidak langsung. Maka, itulah sesi LDK terpanjang dengan adik-adik freshies sehingga hampir 12 malam. Itupun setelah saya sendiri merayu agar diberhentikan sesi itu atas alasan:
‘Dik, akak kerja esok, nak kena drive balik rumah lagi’.
Itupun setelah selesai tasbih kafarah, ada yang menyelit untuk personal session sesingkat setengah jam.
Itupun setelah selesai tasbih kafarah, ada yang menyelit untuk personal session sesingkat setengah jam.
CERITA CERITA NIKAH
Kami namakan rumah sewa itu Zahratul Ikram. Bunga-bunga yang mulia. Harapnya begitulah. Seiring masa berjalan serta perubahan fasa umur, bunga-bunga itu sudah ada yang dipetik orang, tidak kurang juga yang diikat orang. Pastilah dengan ikatan ‘Mitsaaqan Ghalizho’ bererti ikatan yang kukuh penuh barakah dengan akad yang merubah segalanya.
Seorang akhwat dengan malu-malu bertanya apa perasaan ukhti tersebut setelah menikah. Dengan sedia maklum para ikhwah akhwat ini biasanya tidak memilih hubungan cinta sebelum menikah. Apatahlagi saya yang mengenali secara peribadi kisah pernikahan ukhti ini. Tiada langsung komunikasi secara langsung bahkan, hanya melalui orang tengah yang dipercayai sehinggalah esok akad nikahnya. Beliau juga ada menghantar beberapa SMS kepada saya sebelum menikah bahawa dia risau bagaimana nantinya mahu berdepan dengan bakal suaminya yang belum pernah dia berbicara secara langsung. Saya cuba positifkan semampu saya bahawa apabila kita telah bertawakkal memilihnya, maka sepenuhnya jugalah kita percaya dan yakin dengan Allah bahawa dialah yang terbaik untuk kita. Tiada ragu barang sebutir pasir.
“ Perasaan?” Wajahnya sungguh berseri, dengan seri pengantin baru yang masih berinai jemarinya.
“ Em, kalau dia (suami) akak keluar setengah jam pun, akak dah rasa macam 24 jam dah. Dah rindu sangat.”
Ups ! Inilah bahagiannya yang saya minta semua pembaca agar mengawal imaginasi anda.
“ Ukhti, bunga apa tu?”
Saya terkejut melihat ada sejambak bunga yang sangat indah di sisinya. Mawar merah hidup dengan harum yang bukan main. Seorang akhwat yang pulang ke rumah dengan sejambak bunga begitu adalah hal yang terlarang dan mengaibkan jika ia daripada seseorang yang ‘tidak sepatutnya’. Barangkali saya terlupa dirinya sudah bertukar menjadi seorang ‘Puan’.
“ Suami saya bagi, tadi dia singgah sebelum balik Kelantan”
Sungguh bersinar cemerlang matanya memandang sejambak bunga tersebut, pastilah menjadi peneman tidurnya pengganti diri yang dirindui. Pernah juga saya terpandang status twitter teman-teman ikhwah akhwat yang telah menikah seperti begini :
“ I really-really fall in love, very sweet feeling”
“ Bunga-bunga Cinta mekar mewangi”
Lebih kurang begini. Tidak perlu saya datangkan contoh lagi. Namun, mengapa saya harus mendedahkan cerita-cerita ini? Bukankah ia bakal mengundang lalai dan lagha buat pembaca membayangkan hal-hal yang tidak sepatutnya?
Inilah alasan saya.
RASA CINTA ITU MILIKNYA ALLAH
Saya mahu menjawab soalan freshie di atas tentang logikanya rasa cinta setelah menikah sedangkan kita tidak pernah mengenali seseorang itu.
Lihat sahaja apa perasaan-perasaan yang dilalui watak di atas. Adakah mereka pernah mengenali dan bercinta sebelum menikah? Bahkan ada di antara mereka belum pernah berjumpa sekali pun. Namu rasa cinta dan rindu itu sekelip mata sahaja Allah tumbuhkan dalam relung jiwa mereka sehingga menanti untuk setengah jam sahaja ibarat seharian lamanya! Seolah-olah cinta yang terbina sudah sedekad umurnya. Semuanya segar belaka.
Kerja siapakah semua ini?
Adakah perasaan sama yang dilalui oleh mereka yang meletakkan logika cinta itu pada perkenalan dan kedekatan hati dan fizikal sebelum berlakunya pernikahan. Kononnya demi menumbuhkan rasa cinta agar berkekalan, maka perlu adanya hubungan seperti itu. Saya juga terfikir-fikir, bagaimana mereka yang bercinta sebelum menikah mahu menikmati cintanya setelah menikah, sedangkan lafaz-lafaz cinta yang romantis itu telah pun memenuhi hari-hari mereka sejak 3, 4 tahun sebelum akad. Tiada lagi kesegaran rasa dan kejutan indah. Semuanya telah didahulukan sebelum mahar diberikan.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Ar-Rum: 21)
Rasa cinta, sayang, rindu itu miliknya Allah. Dia sahaja yang memegang hati-hati manusia. Ayat Al-Qur’an di atas telah membuktikan bahawa salah satu tanda KEKUASAAN Allah adalah meletakkan rasa kecenderungan dan menjadikan rasa kasih dan sayang di antara suami isteri. Itu kuasa Allah. Kerja Allah yang tidak perlu kita risaukan. Tidak perlu kita banyak tanya. Dan ia telah pun terbukti melalui kisah-kisah pernikahan barakah ikhwah akhwat yang saya kenali.
Apa yang kita syaratkah adalah barakah semuanya. Kerana kita tidak memandang cinta itu pada harta, pada cantik dan kacaknya pasangan kita, pada taraf pendidikan dan kerjayanya, kerana ia adalah hal yang akan hilang apabila Allah mencabut semuanya. Di sini saya quote satu chapter dalam bab Rumah Tangga Islami dalam buku Fiqh Dakwah 1, karangan Mustafa Masyhur :
C: Kebahagiaan Rumahtangga Yang Di Cita-Citakan:
Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama telah sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.
Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.
Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah lah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri.
Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.
Bahagia itu pada taqwa. Buat mereka yang bermatlamatkan baitul muslimya bernilai ibadah. Mari kita tekuni sabda Sang Pencinta Umatnya, Rasulullah Habiballah :
Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Jikalau Allah Ta'ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu (wahai Jibril)."Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang seluruh penghuni langit dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah kecintaan padanya di kalangan penghuni bumi.
(Muttafaq 'alaih)
Cinta, apabila Allah mencintai hambaNya kerana taqwanya. Maka Jibril dan penghuni langit akan turut mencintainya. Dan Allah akan meletakkan cinta itu kepada seluruh penghuni bumi agar mencintainya juga. Ah, lihatlah, Allah terlalu berkuasa dalam urusan cinta di luar batas logika kita. Apatahlagi cinta terhadap pasangan yang mencintai Allah, adalah yang paling terdekat untuk Allah tumbuhkan rasa cinta itu dengan cinta yang sedalamnya.
NAMUN BUKAN IA ADALAH MATLAMAT
Kawan, jangan salah faham niat saya. Pastilah cinta kepada isteri atau suami jangan sampai melampaui cinta terhadap Allah, Rasul dan jihad di jalanNya.
“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” surah at-Taubah: 24
Begitu Hazhalah yang digelar ghaslul malaaikah (pengantin yang dimandikan malaikat) telah membuktikan. Baru sahaja melalui malam pengantin yang cukup indah dengan isteri yang baru sahaja diakadkan, tanpa sempat mandi junub, beliau langsung mendapatkan kuda dan baju besinya demi menyahut panggilan jihad. Maka Allah telah menganugerahinya syahid. Sehinggakan para sahabat Rasulullah bertanya, mengapakah Rasulullah terjingkat-jingkat sewaktu mahu menziarahi jenazah Hanzhalah, jawapan baginda :
“ Terlalu ramai ,malaikat yang datang untuk memandikan Hazhalah!”
Bagaimana kita nantinya, saat melewati saat indah bersama pasangan dengan rasa cinta yang menggebu dan rona rindu yang tak terungkapkan. Saat bertembung hak Allah, Rasul dan panggilan jihad di jalanNya, apakah kita mendahulukan cinta kita itu atau sepertinya Hazhalah?
Subhanallah. Iman yang akan memilihnya. Tingginya tingkat iman, maka ia akan memilih taqwa tanpa kita paksakan. Andai rendahnya tingkat iman, maka di situlah taqwa tidak menjadi ukurannya. Cinta itu fitrah dan ia adalah nikmat yang Allah sendiri berikan. Tetapi cinta itu fitnah, apabila ia mendahului cinta terhadap Allah, Rasul dan Jihad. Ingat hanya itu.
2 comments:
assalamualaikum..
terharu membacanya...
sahih tamaman :)
Post a Comment