Allahyarham bersama bondanya yang tercinta
ASSALAMU'ALAIKUM
Saya tidaklah mengenali Allahyarham, hanya mengikuti lewat tulisan-tulisannya dan di beberapa laman blogger yang mengagumi peribadi Allahyarham itupun setelah Allahyarham telah meninggal dunia pada usia seawal 26 tahun. Nyatanya, beliau telah membuktikan kebenaran imannya dan pemergiannya dikenang sebagai seorang pejuang. Semoga Syahid inshaAllah...Saya kongsikan emel arwah kepada seorang sahabatnya yang saya temui di blog sahabatnya itu :
Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya berbanding orang yang mengajak kepada ALLAH, dan dia beramal soleh, serta mengatakan, “Sesungguhnya aku ini di kalangan orang-orang yang menyerah diri (kepada ALLAH)” Al-Fussilat, Ayat 33
Tips 4 : Tepis persepsi, “Kerja jemaah/persatuan asing, belajar asing”.
Saya akur sesetengah individu ada prinsip bahawa apabila sedang belajar, tidak mahu fikir apa-apa berkenaan kerja jemaah/persatuan/komuniti, atau apabila sedang buat kerja tersebut, tidak mahu fikir tentang belajar. Pada hemat saya, melihat waqi’ mahasiswa di UK dan Ireland, saya rasa masalah yang lebih merisaukan bukannya pada former, tetapi latter.
Apatah lagi bila semangat membara-bara selepas baru hadir tamrin atau madrasah atau program motivasi sedang membuak-buak dalam diri, ahli nak buat sebanyak mungkin kerja jemaah/persatuan/komuniti tetapi kemudian lupa terus pada akademik. Tinggal sekejap nota kuliah dan ulangkaji, katanya. Kesudahannya terkapai-kapai selepas beberapa bulan ketinggalan gerabak dalam akademik.
Tanggapan negatif yang pada pandangan saya wajar diketepikan adalah apabila kita terlalu pantasmelabelkan seseorang sebagai tidak serius atau tidak committed bila suka mencampur-adukkan belajar ketika sedang buat kerja jemaah/persatuan/komuniti. Kadang-kadang kita tidak melafazkan persepsi tersebut, tetapi ia mendominasi pemikiran kita, sampai kadang-kadang menjadi buruk sangka. Nauzubillah.
Apa yang saya maksudkan dengan belajar ketika sedang buat kerja jemaah/persatuan/komuniti adalahmemanfaatkan ‘masa-masa lapang’ dalam kesempitan masa yang ada. Beberapa contoh yang saya selalu buat, tapi saya perasan bukannya satu budaya dikalangan mahasiswa di sini :
i. Mengulangkaji pelajaran sambil menunggu mesyuarat jemaah bermula, baik secara bersemuka mahupun di alam maya. Apatah lagi bila kita sudah bersedia dengan mesyuarat dan hanya menunggu ia untuk bermula, contohnya sudah membaca minit mesyuarat, sudah melaksanakan tindakan dalam minit mesyuarat, dsb.
ii. Mengulangkaji pelajaran ketika dalam kapal terbang, bas, dsb dalam perjalanan ke tempat program. Tidaklah perlu buat setiap kali pergi program, sebab saya faham inilah biasanya masa mengeratkan ukhuwwah berborak dengan ahli yang lain, atau mungkin juga menghafal ayat hafazan program (jika ada). Tetapi kalau dah tiada kerja lain nak dibuat, kenapa tidak?
iii. Berkongsi ilmu pengajian dengan sahabat yang sama bidang ketika bertemu di program. Saya kadang-kadang tersenyum bila ada sesetengah mahasiswa yang berseloroh mengatakan perbuatan sedemikian sebagai ‘menyedihkan’ atau ‘asabiyyah medik’ dan bermacam-macam gelaran lagi. Kenapa perlu dimatikan semangat itu dengan kata-kata yang langsung tidak memberikan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri?
Saya sedih kadang-kadang melihat ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang sangat baik kerja jemaah/persatuan mereka tetapi kandas dalam pembelajaran masing-masing. Mari kita muhasabah semula, mungkinkah ada lompong-lompong yang boleh kita perbaiki, contohnya dengan cara-cara seperti di atas?
Tips 5 : Melihat amal ijtimai’e lebih daripada sekadar tanggungjawab
Semasa saya mula-mula mendapat diagnosis, seringkali saya duduk keseorangan cuba untuk meredakan tekanan yang semakin membina dalam diri. Terfikir-fikir bagaimana agaknya dalam keadaan perlu menjalani rawatan kemoterapi ini, saya nak menghadapi peperiksaan bertulis yang bakal menjelang, menguruskan hal penceramah dari tanah air untuk program besar mahasiswa ketika itu, dan pelbagai lagi.
Masing-masing pasti punya cara tersendiri buat meredakan tekanan. Saya dapati terapi terbaik untuk diri saya sendiri adalah pada amal ijtimai’e yang saya lakukan. Apabila saya berpeluang untuk memberi, menyumbang mahupun menjadi penerima dalam mana-mana aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Tekanan mahupun stress yang membina dalam diri seolah hilang bila saya berjumpa dan berukhuwwah dengan kawan-kawan, bukan sekadar di kalangan mahasiswa tetapi juga famili postgraduate dan anak-anak mereka, rakan-rakan seMuslim di masjid dan rakan-rakan Malaysia yang lain. Aktiviti kerohanian seperti solat hajat,Eid gathering, ceramah agama mahupun aktiviti riadah seperti bermain bola sepak menjadi terapi buat diri. Kadang-kadang orang bertanya kenapa saya susah-susah mahu menghadirkan diri ke program-program ini dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan?
Jawapan saya mudah, “Kalau saya tak datang program ini, alamat lagi tertekanlah saya duduk di rumah menahan sakit!”
Libatkan diri dalam apa yang kita minat, kerana ia boleh menjadi terapi kepada meredakan stress. Saya minat menyanyi walaupun suara tidaklah sedap mana, maka sebab itulah saya tidak pernah terlupa untuk bertanding dalam pertandingan nasyid anjuran persatuan mahasiswa di Sheffield setiap tahun. Bukan sahaja saya dapat mainkan peranan menyumbang untuk menyebarkan dakwah melalui hiburan, tetapi saya juga dapat bergembira dengan apa yang saya lakukan.
Semua ini sebahagian daripada amal ijtimai’e, dimana kita cuba sebaik mungkin untuk mendekati mad’u dan cuba bawak mesej Islam melalui cara yang sesuai dengan keadaan. Tapi pada masa yang sama ia juga boleh menjadi terapi untuk kita. Jangan sekadar melihat kerja-kerja ini sebagai hanya tanggungjawab yang membebankan, kerana itu hanya akan mengundang stress
Saya dapati melalui terapi ini, saya menjadi lebih bersemangat dalam mengulangkaji pelajaran. Saya dapat bayangkan kalau saya tidak rajin turun ke aktiviti kemasyarakatan dan berpendirian sekadar ingin beruzlah sahaja dibilik, pasti saya cepat give-up bila mahu mula mengulangkaji pelajaran. “Asyik-asyik menghadap buku!!”, begitulah barangkali perasaannya.
Tips 6 : Jadikan belajar sebagai cara taqarrub
Satu kaedah yang saya sangat gemar gunakan semenjak zaman saya belajar A-Level lagi adalah menjadikan belajar sebagai agen taqarrub kepada Allah SWT. Caranya mudah sahaja, bahkan saya yakin ramai juga yang mempraktikkan kaedah yang sama.
Saya suka selang-selikan sesi pembelajaran saya dengan pembacaan al-Qur’an, tidak semestinya setiap kali, tetapi sekurang-kurangnya sekali sehari. Bak kata orang, membaca al-Qur’an ini secara tidak langsung membantu menguatkan ingatan kita. Saya kenal sesetengah orang yang berkongsi pengalaman mereka bahawa menghafaz ayat-ayat al-Qur’an akan lebih menguatkan lagi ingatan kita terhadap apa yang kita pelajari.
Khususnya apabila semakin dekat dengan peperiksaan, saya juga lebih selesa mengulangkaji pelajaran di masjid yang berhampiran dengan kediaman saya berbanding di rumah. Itu memang tabiat saya semenjak zaman pembelajaran A-Level lagi. Bukan sahaja ia sebaik-baik tempat, saya juga dapat pastikan solat saya sentiasa diawal waktu, dan secara berjamaah. Barulah tak rasa malu bila duduk berdoa nak meraih nusrah Allah dalam membantu imtihan saya, sebab ibadah saya insya Allah jadi lebih kemas.
Saya kira untuk mahasiswi di bumi UK/Ireland, pasti lebih sukar nak mengulangkaji pelajaran di masjid berbanding ketika zaman belajar di Malaysia. Rasanya yang penting adalah mencipta suasana ala ‘madrasah’ di tempat belajar anda. Yang mengizinkan anda untuk belajar, pada masa yang sama menjadi tempat beribadah, beramal jamai’e, dsb. Sekadar pandangan.
Itulah yang saya maksudkan dengan menjadikan belajar sebagai agen taqarrub. Ibarat menyelam sambil minum air.
Tips 7 : Jangan jadikan kerja jemaah/persatuan sebagai part-time job
Ada yang kata ia konsep ideal semata-mata, tetapi saya percaya sepenuhnya bahawa kalau saya ikhlas buat kerja jemaah/persataun, walau dalam kesempitan mana sekalipun, Allah pasti akan lorongkan nusrah dalam pembelajaran saya.
Saya rasa nusrah Allah itu paling saya rasai bermula Disember yang lalu. Ketika itu, saya perlu copedengan rawatan chemotherapy yang meletihkan, pada masa yang sama mempersiapkan diri dengan peperiksaan pada bulan Januari, dan memegang jawatan yang agak signifikan dalam kem mahasiswa ketika itu. 3 perkara besar yang masing-masing ada hak untuk diberikan masa kepadanya.
Sebelum saya berbicara sedikit panjang tentang topik ini, suka saya memberikan amaran awal bahawa isu ini mungkin sedikit sensitif dan boleh mendatangkan banyak perbahasan. Saya dinasihati sesetengah sahabat agar cool down dengan kerja mahasiswa pada ketika itu, dan berikan masa untuk berehat denganchemotherapy serta fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang. Pandangan yang saya hormati dan merupakan cerminan sayangnya mereka kepada sahabat seperjuangan mereka, sesuai dengan sifat ruhamaa u-bainahum.
Namun saya punya pendirian tersendiri, dan saya merasakan membuat kerja jemaah/persatuan adalah antara saham utama saya untuk mengatakan saya membantu agama Allah. Dan berani saya mengatakan bahawa tidak dapat membuat kerja-kerja jemaah/persatuan seolah-olah mencabut salah satu kekuatan dalam diri saya. Kerana saya melihat amal jamai’e saya sebagai satu terapi menguatkan iltizam saya untuk berjaya dalam pengajian, disamping pencetus sabar untuk menempuh ujian dalam kesihatan diri. Tidak sekali-kali saya melihat komitmen saya dalam jemaah/persatuan sebagai kerja part-time.
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad : 7]“…Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) Nya…” [Al-Hajj : 40]
Pada masa yang sama, tidaklah bermaksud saya ingin menaja konsep ‘one man show’ disini. Itu bukan budaya kita berkerja dalam jemaah/persatuan. Ketika itu, banyak tanggungjawab saya telah saya delegasikan kepada sahabat-sahabat yang lain, yang lebih daripada bersedia untuk membantu. Kalau pun tidak sihat sangat, paling kurang pun saya cuba untuk tidak lupa membaca email dan memberikan respons jika ada pandangan yang ingin dikongsikan. Tidak mahu terus sirna dan melayan dunia sendiri
Al- Fatihah untuk Allahyarham Masafzal Masrudin
Telah selesai urusannya di dunia
untuk istirehat yang abadi di jannahmu
kerana dunia mengenangmu
sebagai seorang PEJUANG..
www.masafzal.blogspot.com
1 comments:
SUBHANALLAH! sahamnya subur sampai akhirat.
Post a Comment