Saya Nurul ‘Izzah Binti Zainol berazam
Untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-Undang
Sivil dan Shariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Undang-Undang
Di Universiti Al-Azhar, Kaherah
Kemudian akan menjadi seorang peguam yang akan mengubah undang-undang Negara
Berhenti sebentar!
Perenggan azam bukan tarikh hari ini. Tetapi 8 tahun yang dahulu. 8 tahun kawan!
Saya membelek-belek sebuah diari kecil berwarna pink pemberian seorang teman sekelas ketika di tingkaran 2. Sudah terlalu lama saya tidak menemukan diari ini sehinggalah upacara mengemas rumah diperhebatkan. Di situ, satu muka surat ini yang saya temukan perenggan di atas. Dengan penuh besar hati saya mengulang-ulang perenggan di atas. Bukan tidak menyangka, tetapi sungguh terharu. Mahu sekali kawan, kau dengar bagaimana aku boleh dengan penuh percaya diri menuliskan azamku di atas.
********************************************************
“ Saya cabar kalian semua untuk belajar undang-undang. Negara kita sangat memerlukan pejuang Undang-undang. Banyak kes kritikal menuntut pembelaan kalian! Kita sangat tenat menghadapi masalah masyarakat yang tidak dilindungi oleh Undang-undang sepatutnya!
Kami pelajar tingkatan lima bagai dibakar dengan minyak petrol. Hangat lagi meletup semangat kami. Peguam di hadapan itu sungguh mengancam. Saya tercabar bukan main. Kawan, serta merta cita-cita saya berubah 360 darjah dalam jangka masa tidak kurang 10 saat setelah diancam begitu. Sangat tergoda. Lalu terlayar satu susuk perempuan penuh wibawa dengan robe peguam hitam penuh angkuh berjalan meletakkan fail di mahkamah menghadap hakim . Dia terlalu bersedia berhujah. Itulah diri saya yang saya bayangkan.
Itulah asbab nuzul perenggan di atas. Saya sisip dan semat dalam hati tanpa saya gembar-gemburkan. Kerana saya percaya, menjadi asing tidak mudah di kalangan pelajar Sains yang rata-rata mahu menyambung pelajaran dalam jurusan Sains juga. Yang aneh adalah saya. Jadi tidak hairanlah saya dikejar oleh sepasang ibu bapa seusai majlis konvokesyen tingkatan lima gara-gara slide yang memaparkan maklumat peribadi dan pencapaian akademik saya di hadapan semua hadirin.
“ Nak, Pak Cik tengok anak seorang sahaja yang bercita-cita mahu jadi peguam. Kawan-kawan yang lain semua mahu jadi doctor, jurutera, saintis...Anak betul ke ni? Bukan sekolah ini semua pelajar sains tulen?”
Pak Cik itu benar-benar mahu memastikan.
“Ya Pak Cik. Memang cita-cita saya. Saya tidak akan ubahnya kerana ada tugas besar untuk saya di sana.”
Pasangan ibu bapa itu mengangguk-angguk.
“Bagus nak, Pak Cik suka. Pak Cik doakan sebaiknya.”
Saya berterima kasih atas doanya. Memang saya asing tetapi saya bangga kerana menjadi asing di kalangan yang sama. Adat konvokesyen kami adalah dengan memaparkan cita-cita setiap graduan di hadapan umum. Waktu itu ibu bapalah yang paling melambung di awan kerana telah dinaikkan makam mereka oleh anak-anak yang berjaya.
*************************************************************************
Setelah 8 tahun dari tarikh perenggan di atas.
Kawan, saya sudah di sini. Di sebuah firma guaman menjalani ‘chambering’ (latihan guaman) selama 9 bulan sebelum mendapat gelaran seorang peguam yang saya cita-citakan. Perjalanan saya hampir menemui destinasinya. Saya mengusap-usap perenggan di atas penuh cinta. Terngiang-ngiah kata-kata sebuah pakar motivasi, apa sahaja yang kita impikan, TULIS, ULANG BACA, INGAT DALAM KEPALA, TERNGIANG DALAM TELINGA. InsyaAllah akan menjadi REALITI.
Syukur itu saya kalungkan semuanya buat Allah. Masa terlalu sekejap berlalu tanpa saya sempat melihat semua azam yang pernah saya tuliskan. Sedar-sedar saya sudah diterima untuk menjalani latihan guaman satu bulan setelah tamat belajar. Syukur lagi apabila saya disenaraikan antara pelajar terbaik Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim dan dipanggil untuk ditemu ramah sebagai Pegawai Undang-Undang, Timbalan Pendakwa Raya tanpa saya membuat permohonan. Itu bukan impian saya kerana jujur saya katakan, kedudukan itu terlalu tidak layak bagi saya berbanding usaha yang saya letakkan. Malu sekali menghadap Allah di rentang sejadah dengan kurniaNya tanpa batas buat saya yang terlalu lemah dan berdosa.
Tetapi. Melalui satu fasa kerjaya tidak semudah apa yang saya bayangkan. Sungguh ideal dan sempurna. Tugas untuk mengubah undang-undang bukan calang-calang kerja yang cukup dikobar semangat, tetapi ilmu dan pengalaman. Nampaknya destinasi saya bersambung semula titik garisannya sampai ke mana- mana. Apatahlagi bekerja di sebuah firma guaman yang menguruskan kes jenayah yang saya kira cukup berisiko menjerumuskan si mangsa tidak terbela. Pagi tadi sahaja darah dalam jantung saya mendidih. Merembes menyimbah ruang usus dan pankreas. Membuak-buak buakn main. Ada kes rogol sungguh menjijikkan. Sudah saya nasihatkan diri saya banyak kali, agar jangan lekas emosi menilai semua orang sama.
Namun berada dalam bidang guaman yang kerjanya tekun melayani masalah peribadi orang menyebabkan saya bagai ‘disumpah’ tanpa sebab. Penjenayah kebanyakkan datang dengan pakej seorang yang penuh wibawa dan tiada tanda dosa sebesar gunung sedang menghempapnya. Adakalanya dengan latar belakang agama yang baik sekali sehingga sukar dipercaya bahawa dia telah melakukan jenayah sebesar itu. Begitu apa yang saya hadapi dengan klien pagi tadi. Tingkat intelektual dan agamanya menyebabkan saya menjadi fobia untuk mempercayai siapa sahaja. Siapa sahaja yang datang dengan pakej agama yang baik. Inilah buruknya menjadi peguam, penyakit fobia dengan mudah menyerang sehingga sukar diubati. Lagi payah untuk menjaga hati. Lagi payah mahu bersangka baik.
DI JALAN CINTA PARA PEJUANG...
Ada banyak lagi ujian yang menunggu. Menuntut janji kita dengan Tuhan di alam ruh suatu masa dahulu. Menyaring kita akan tingkat iman yang sebenarnya. Menyaring kita akan komitmen sebenar terhadap Islam kerana yang namanya syurga itu MAHAL.Harga yang MAHAL harus saya sediakan untuk membeli syurga itu. Tanpa tawar menawar. Di Jalan Cinta Para Pejuang, kita adalah Daei sebelum apa pun. Walau kita adalah seorang peguam, seorang jurutera, seorang doktor, seorang pensyarah hatta seorang tukang cuci sekali pun, kita adalah daei sebelum apa pun. Untuk Allah semuanya.Ingat hanya itu kawan.
4 comments:
Terharu...nak menangis..terlalu terinspirasi dgn tulisan kali ini. jzkk kongsi semangat.
Teruskanlah perjuanganmu duhai sahabat...
Semangat yang sentiasa membara menuju apa yang dicitakan..Maat Taufiq Wan Najah..
salam.
tahniah.betapa besar takdir Allah.Bukan semua orang yang ditakdirkan menjadi peguam.
banyak sahaja peguam yang berjalan seiring dengan penzalim,koruptor dan pendusta.
Moga anda termasuk dalam mereka yang sedikit.
ujian yang besar adalah ujian kesenangan,kerana pilihan itu dihadapkan pada kita.sedang ujian kesusahan,kita tak ada pilihan dan menerima dengan sabar.kisah hidup Yusuf menjelaskn segalanya.
sekarang,anda dihadapkan dengan ujian yang besar ini.moga anda tetap berada dengan mereka yang sedikit dan bertahan.
wallahua'lam
Assalamu'alaikum
Jazakumullah atas nasihat dan kata-kata perangsang daripada antum. Sememangnya itulah kehidupan. tidak dinamanya kehidupan jika belum harus memilih. antara baik dan buruk, antara yang lebih baik dan baik, antara yang terbaik dari yang terbaik. semuanya penuh dengan pilihan yang tergantung akan tingkat iman.
Masing-masing antara kita sudah ada pilihan kerjayanya, pilihan tumpuan hidupnya. Namun, letakkanlah Allah dan Dakwah sebagai obsesi kita. kerana itulah hakikat kita dihidupkan. Untuk Allah semuanya.
Wallahu'alam
Post a Comment