RSS

Sunday, December 26, 2010

NAZHAR BUKAN TAARUF




kecocokan jiwa memang tak selalu sama rumusnya
ada dua sungai besar yang bertemu dan bermuara di laut
yang satu; kesamaan
ada panas dan dingin bertemu untuk mencapai kehangatan;
itu keseimbangan
ada hujan lebat berjumpa di tanah subur lalu menumbuhkan taman;
itu kegenapan

tetapi, satu hal yang tetap sama
mereka cocok kerana bersama bertasbih memujiNya
seperti segala sesuatu yang di langit dan di bumi,
ruku' pada keagunganNya.


Pagi tadi baru selesai satu liqo setelah jemaah subuh. Hampir dua jam. saya mahu membaringkan diri sebentar di musola sementara menunggu liqo’ yang seterusnya. Telapak tangan terasa bergetar, ada mesej rupanya.

“Salam kak. Lama menyepi? Akak sibuk tak, saya nak berkongsi masalah sikit.”

Ada keperluan nampaknya. Saya mengenepikan kehendak hati yang mahu istirehat.

“ Wasalam. Afwan, agak sibuk kebelakangan ini. Ada apa ya? Silakan, akak sedia untuk mendengar. Tidak lama setelah itu, saya menerima panggilan daripadanya. Suaranya mendatar tetapi penuh kusut.

“ Akak, saya kan dah bertunang kan..dan kami memang bersetuju tidak mahu berhubung apa-apa sepanjang tempoh ini. Biar serahkan pada orang tua untuk berhubung. Tapi kan kak, orang sekeliling saya semua kata saya ni pelik, tak relevan kalau tak contact dengan tunang sendiri. Waktu beginilah nak taaruf, nak kenal hati budi sebelum jadi menikah nanti.”

“ Jadi?” Saya sebenarnya tahu apa yang menggundahkannya. Mahu menduga dahulu.

“Err, betul ke apa yang saya buat ni kak? Tak perlu ke saya fikirkan apa yang mereka cakap kak.?Bila fikir balik betul juga. Saya bertunang pun melalui orang tengah dalam tempoh urusan sebulan. Sebelum itu pun saya tidak pernah kenal dia secara peribadi, risau juga.”

“ Sudah? Jika ya, izinkan akak menghilangkan gundah awak. Supaya ia lebih menenangkan awak.”
“ Baik kak.” Desah nafasnya di hujung talian jelas menunjukkan dia masih ragu akan pendiriannya. Saya mulakan tugas.

“ Dik, Islam itu mudah. Nasib baik Allah tidak suruh kita utamakan kehendak manusia saat mahu membuat keputusan atau pilihan. Jika tidak, kalau ada keliling kita 100 hati manusia yang perlu kita kisahkan, serabut kepala kita. Allah hanya minta kita hanya ikut satu saja. Ikut apa yang Allah katakan. Kan mudah..ikut apa yang satu-satunya syariat gariskan.”

“ Maksud akak?” Dia seperti tidak sabar.

Tuesday, December 21, 2010

MEMILIH PILIHAN




Bukan cita rasamu sebagai ukuran
Bukan inginmu kau kejarkan
pada Dia pilihan kau sandarkan
biar hasilnya di kuburan

Ada yang kata minat itu hukumnya statik. Ada juga yang berpendapat ianya kinestetik. Sentiasa bergerak dan berubah. Saya kata pula ia pada mulanya static tetapi sejak mengenali tarbiyah ini, ia rupanya kinestetik.

Ceritanya.

“ Kau memang betul mahu jadi pensyarah?” Matanya mencerlung. Bagai ia suatu yang mengejutkan.

“ Ya, kenapa? Tidak sesuai denganku?” Hairan saya melihat reaksinya. Saya melabuhkan duduk di birai katil biliknya.

“ It’s not so you. Kau tu karekternya sesuai jadi peguam, pejuangkan keadilan, ketegasan kau dalam berkata. Kita semua memerlukan itu. Sudah lupa itu yang kau citakan sejak kecil. Kau telah menghampirinya. Jadi peguam sahajalah.”

Saya tahu teman baik saya itu tidak setuju. Memang kami telah lama bersahabat. Dan dia sungguh mengenali diri saya seadanya. Saya memang sedar dan akur, saya sangat sukakan cabaran dan bidang guaman itu menyediakan cabaran yang saya inginkan. Petang itu kami sedang diskusi tentang hala tuju setelah graduate. Ada 3 jalan yang tersedia dalam jangka masa pendek ini yang menyalurkan kepada kerjaya mana yang kami mahukan.

Khali. Hanya bunyi kipas berpusing menghuni telinga. Pengalaman saya praktikal di sebuah firma guaman baru-baru ini kembali mengusik tekad yang ada. Ya, waktu itu memang saya sungguh jatuh cinta dalam bidang guaman.

“ Aku tahu itu. Terima kasih kerana kau setia menyokong citaku. Cuma kau perlu tahu seperkara, tidak semua yang kita mahukan itu, kita mesti mencapainya. Ya, aku sememangnya mahu mencari Ahmad Ibrahim yang hilang, yang memperjuangkan hak syariah di Negara kita. Pengorbanan kepada citaku itu bersebab. Kau harus tahu itu dulu.” Saya berjeda. Menyusun kata agar dia mengerti.

“Apa dia? Katakan saja. Aku kenal kau bukan semalam.” Dia masih tidak puas hati.

Saturday, December 18, 2010

CINTA MILITANSI



Maharku adalah jalan ini
maharku adalah cinta ini
cinta yang penuh militansi
yang kau dan aku
akan perjuangkannya
sampai hujung nyawa

“ Ya, saya ada satu cerita. Kamu mahu mendengarkannya, ini memang benar!”

Penceramah meyakinkan. Kami peserta seminar Rumah Tangga Islami tidak berkedip mata. Sangat rugi rasanya andai terpejam walau sesaat. Beliau sungguh mengesankan.

“ Pernah suatu ketika datang seorang ikhwah meminta saya carikannya calon isteri. Katanya dia mahu yang sopan santun, ayu, lemah lembut, pemalu dan TIDAK MILITAN!”

Beliau berjeda. Menahan sedak yang mahu meledak. Perkataan TIDAK MILITAN mengganggu kelancarannya barangkali. Kami ikut berkerut kening. Apa maksudnya TIDAK MILITAN. Masuk hutan angkat senjatakah?

“ Maksud kamu TIDAK MILITAN itu apa? Bisa dijelaskan”
Ikhwah itu buncah.

“ Err, maksud saya yang bukan aktif sangat bergerak sana sini. Erm, err..Yang kiranya macam sesuainya orang perempuan, tidak menonjol dirinya sana sini.”

Ahh Ikhwah itu, dirinya sendiri meragukan.

“ Oh iya..kamu mahu tahu resepi? Ini resepi rahsia rumah tangga yang belum tertulis di mana-mana, yang belum disebut di bibir siapa pun.”

Waah! Pasti mahu. Sunggu penasaran!

Thursday, December 2, 2010

MENCINTAI SEJANTAN ALI






cinta adalah tanggungjawab
selagi agama yang kau andalkan
cinta adalah keberanian atau pengorbanan
saat kau kecundang dalam memiliki
cinta sememangnya bukan dimiliki

Ada rahsia yang terdalam di hati Ali yang tidak dikisahkannya oleh sesiapa pun. Fathimah. Karib kecilnya itu, puteri kesayangan Rasulullah yang adalah sepupunya itu sungguh mempesonakan. Kesantunnya, ibadahnya, kecekalannya, dan rupawannya kurniaan Allah. Lihatlah gadis itu suatu ketika ayahnya pulang dengan luka memercik darah dan kepala dilumur isi perut unta. Ia bersihkan hati-hati, ia seka dengan penuh cinta. Ia bakar perca dan ditempelkannya pada luka agar darah tidak terus mengalir. Sedang air matanya mengalir perlahan menangisi ujian yang ditanggung sang ayah. Muhammad ibnu Abdullah tidak layak diperlukan demikian!

Maka gadis wirawati itu bangkit. Gagah ia berjalan menuju Ka’abah. Dilihatnya dari jauh para pemuka Quraisy saling tertawa membanggakan tindakan mereka pada Sang Nabi yang diperlakukan seperti binatang. Mereka tiba-tiba diam apabila Fathimah mengherdik mereka sehingga mulut mereka terkunci dan tertunduk atas pembelaan Fathimah.

Mengagumkan!

Ali tidak tahu apakah rasa itu bisa disebut cinta. Apakah kekagumannya pada agama dan perjuangan si gadis merupakan perasaan asing yang kerap bertamu dalam jiwanya adalah cinta. Atau sekadar kagum dan hormat sebagai anak seorang Rasul Allah. Tetapi ia harus jujur bahawa jiwanya tersentak saat mendengar khabar bahawa Fathimah telah dilamar oleh seorang lelaki yang paling akrab dan paling dekat kedudukannya dengan Sang Nabi. Lelaki yang membela Islam dengan harta dan jiwa sejak awal lagi Rasulullah dipulaukan. Dan lelaki yang imannya tidak sebanding dengan dunia dan seisinya! Lelaki yang yang paling banyak mengislamkan mereka yang dijamin syurga!

Dialah Abu Bakr Asshidiq Radiyallahu ‘anhu.