Fatwa hati seringkali benar
Namun pernah jua tersesat
Bertingkah hebat antara nurani dan dosa
Lalu tenggelam di ufuk rasa
Lega. Tiga hari saya istikharah untuk mendahulukan bab yang mana dalam siri kembara saya kali ini. Sudah saya tandai yang ketiga, saya ubah semula menandainya yang kelima. Lalu ke kelas sebentar. Fikiran saya berubah. Menandai yang kelima tadi berubah yang ketiga kembali. Sulit sungguh. Lebih sulit daripada mendahulukan sesiapa yang LEBIH baik menjadi pasangan hidup. Atas kesedaran hidupnya manusia itu kerana hidupnya hati, saya perlu mencari kunci asas untuk membuka hati para pembaca. Semoga jiwa yang menakung itu menjernih menyerap cahaya.
PERNAH KAU DENGAR KISAH INI?
Dia seseorang yang telah dua kali Rasulullah ambilnya sebagai menantu.
Ini kisah dari seorang sahabat yang merupakan pembantu kepada Rasulullah. Anas bin Malik.
“ Aku datang kepada Utsman Bin Affan” Kata Anas. “ Sewaktu aku dalam perjalanan aku bertemu dengan seorang wanita. Aku meliriknya dan memperhatikan kecantikannya.”
Begitu Anas sampai di hadapan Utsman, dia menegur, “ Telah masuk salah seorang di antara kalian sedang di matanya ada bekas zina. Tidakkah engkau tahu zinanya mata adalah pandangan? Hendaknya engkau bertaubat, kalau tidak, akan kukenakan hukuman ta’zir kepadamu!”
Utsman tidak menunjukkan sesiapa. Namun, Anas terasa dadanya begitu sempit. Jiwanya mahu runtuh. Bagaimana Utsman bisa tahu? Dia kalut.
“ Subhanallah! Apakah masih turun wahyu sesudah Rasulullah wafat?”
“ Tidak. Ini hanya firasat orang mukmin..”
Anas lebih-lebih tertunduk. Malu. Begini sekalikah firasat Utsman yang betul-betul terkena. Terngiang-ngiang Anas pada suatu waktu, sabda Sang Nabi ;
“ Takutlah akan firasat orang mukmin, sesungguhnya hatinya melihat dengan cahaya Allah!”
BERTANYALAH PADA HATI..
Dahulu, ya, terlalu dahulu kala..Zaman Rasulullah sahaja. Wahyu lebat sekali turun. Apa sahaja keputusan, persoalan, semuanya Allah tolong jawabkan. Dan Rasulullah menjadi perantaranya. Maka, sedikt sekali kesalahan yang berlaku kerana waktu itu semuanya terpandu oleh wahyu. Kita banyak sekali melihat kebaikan demi kebaikan bergelombang pada zaman Sang Rasul. Ah, mahu saja memutarkan semula waktu, agar bisa kita hidup pada zaman itu. Tidak perlu mengukur dengan hati kerana wahyu telah memutuskannya! Dan sekarang, pantaskah untuk diserahkan pada wahyu itu?
Di peringkat ini, zaman ketiadaan lagi Rasul yang akan diutuskan kerana Islam telah pun sempurna. Zaman tiada lagi wahyu untuk memacu tindak tanduk kita kearah kebaikan. Terasa sulit sekali untuk memilih. Kadang dalam kebaikan yang dilihat, masih ada keburukan. Tidak kurang juga keburukan yang dilihat rupanya tersirat selaut kebaikan. Ah, tidak bisakah Kau turunkan sahaja wahyu? Kita terlupa lagi. Di satu daerah hati kita yang paling sunyi, paling sepi, jauh dan dalam..Allah letakkan satu nama padanya. Daerah Nurani. Di sinilah kau bisa mengenali kebaikan atau keburukan.
Tiada yang lebih jernih dari suara hati nurani yang menegur tanpa suara. Di daerah ini selalu sahaja terbit suara-suara kecil menyatakan yang benar dan apa yang harus kita pilih. Di daerah bening ini, ia bagai bisikan yang bertingkah dengan suara dosa yang lebih mengaum. Kita akui, saat kita berhadapan dengan hal yang menyesakkan dada, antara dua jalan kebaikan dan keburukan, kita dihentak dengan suara nurani ini, sayup-sayup kita mendengarkan pilihannya. Pastilah yang benar-benar sahaja. Suara kejujuran ini tidak pernah mahu mengalah, mahu sekali memandu tuannya agar plihannya itu sesuai syariat. Tetapi sayang, ia sering kali diketepikan. Pernah kau dengar Rasulullah bersabda :
“ Mintalah fatwa kepada hatimu. Kebaikan itu adalah apa-apa yang tenteram padanya, dan tenteram pula pada hati. Dan dosa itu adalah apa-apa yang syak pada jiwa, dan ragu-ragu dalam hati, meski orang-orang memberikan fatwa kepadamu dan mereka membenarkanmu”( HR Muslim)
Itula nurani. Asal fihtrahnya dari Allah. Itulah nurani yang menghuni hati. Kita lambangkan ia bagai ikan dan hati adalah tasiknya. Saat ia tercampak di daratan, kau melihat ia menggelupur, melompat-lompat bahkan batinnya menjerit-jerit agar dikembalikan ke air..tasik itu. Dia tidak betah dan tidak aman di situ. Cuba sekali kau campakkan dalam tasiknya kembali. Wah! Riang sungguh, menari-nari dalam genangan air yang menghidupkan dan mendamaikan. Itulah nurani dan hati. Jangan dipalit dengan dosa yang mennggelisahkan, ia pasti rasa bersalah, malu, mahu lari, mahu kembali.
MANA PERGI NURANI ITU?
Sayang sekali. Ia dipenjara dosa. Bahkan dijeriji dengan maksiat yang berkarat. Suaranya terus tenggelam biar sungguh-sungguh dia menngelupur menghentak tuannya. Tetapi dipandang sepi. Kita tidak pantas lagi mendengarkan suara hati, hadith itu sepertinya tidak lagi berfungsi. Saat kita meminta fatwanya sekalipun, yang bersuara adalah dosa, yang memutuskan adalah maksiat yang meraja. Itulah yang kita dengarkan. Itu jugalah yang kita pilih nantinya. Jalan kemaksiatan yang memusnahkan iman kita. Kita sengaja tidak mahu jujur. Kadang-kadang kita memang mendengarkan suara nurani itu, namun keegoan dan kedegilan dosa membenamnya lumat jauh di daerahnya.
DI JALAN CINTA PARA PEJUANG
…kita mahu berfatwa dengan hati. Inilah wahyu yang satu-satunya kita punyai untuk menjamin tindakan kita. Di jalan cinta para pejuang, kita mahu membuang karat-karat dosa supaya suara nurani itu lebih kedengaran. Bermulalah untuk menyucikan hati agar tingkah suara dosa itu yang tenggelam hingga ia mengenali dengan jelas yang mana dosa dan yang mana kebaikan.
Yang paling aku takutkan adalah keakraban hati
Dengan kemungkaran dan dosa
Jika satu kederhakaan berulangkali dikerjakan
Maka jiwa akan menajdi akrab dengannya
Hingga ia tak lagi peka, mati rasa..
-Hassan Azzyat-Rahimullah-
3 comments:
Salam.
maaf atas lewat nya kunjungan balik.Minggu assignment agak menyesakkan dan kadang2 mengancam keimanan.
apa yang saudari tuliskan kali ini agak menggentarkan hati saya.kadang2 kita tertanya,adakah hati2 daie kini adalah punya hati orang beriman juga?yang firasatnya adalah dalam jalan yg benar? atau dia cuma pandai melontarkan dalil demi pertahankan diri nya.kerna kadang2 agak luntur hati saya melihat mereka yang punya lulusan agama dan juga mereka yang melabelkan diri mereka daie tak pula bersikap dengan wajar nya sebagai seorang mukmin.Bukankah akhlak itu adalah buah dari keimanan.. dan saya barangkali takut saya juga tergolong dalam kelompok itu..
dalam hal ini cuma kita kembali kepada Quran.Quran menyebutkan potensi manusia antaranya pendengaran,penglihatan dan hati. Dan mereka yang tak menggunakannya ibarat binatang ternak malah lebih teruk lagi. dan di dalam Quran juga menyatakan hati ini terbahagi dua.fujur dan taqwa. maka jika hati ini adalah hati taqwa,fatwa yang lahir adalah mutiara yang ikhlas walaupun tidak diiringi dengan kajian ilmiah yang dahsyat. tetapi jika lah hati itu penuh kefujuran walaupun gaya luarannya adalh seorang daie,seorang 'alim, barangkali yang keluarnya adalah keputusan jiwa yang tidak ikhlas.yang barangkali menjadi alasan untuk "membenarkan" suatu keburukan yang dilakukan.alasannya demi dakwah.demi Islam.tanpa dia tahu yang syarat ibadah itu menjadi ibadah adalah niat dan jalannya,keduanya mesti syari'e
moga hati yang kita punya ini,kita jaga dengan benar.kerna ia lah raja segala anggota dan satu amanah Allah.dan Dia mahu melihat kita sama ada menjalankan amanah atau khianat.menjadi khalifah atau haiwan.
Wallahua'lam.
Taubat menghidupkan jiwa insan yang hampir mati, menggetarkan hati beku oleh maksiat dan membuka jalan bagi mengenali Tuhan. Oleh itu, hanya yang pernah merasai kemanisan taubat memahami hakikat ini.
salam'alaik
jazakumullah atas komentar antum. Mohon dengan sangat agar Allah anugerahkan ketajaman hati untuk kita berfirasat dengannya. agar betul tindakan yang bakal kita putuskan
Tentang taubat..kenikmatan ruhani yang pasti mengkhayalkan.terbuai dalam dakapan dan rintihan syahdu buat Illahi. itulah ekstase yang semua orang mahukan. berada dalam kenikmatan ruhani dalam satu penjuru hidup yang sangat hening. tetapi kenikmatan ruhani ini bukanlah matlamat. insyaAllah, entri yang seterusnya akan dikupasakan eksatase seorang daei..dalam menyelami nikmat ruhani, dia wajib juga berkarya membentuk ummat.
wallahu'alam.
Post a Comment