Seringkali cinta adalah sendinya
Namun ia tidak selalu menjadi syaratnya
Kerana cinta selalu sahaja tidak adil
Saat hati ditunggangi nafsu
Bab yang seterusnya. Helaian yang ketujuh sudah terlerai dari ruas buku kerana sering dihenyak ketika tertidur dengannya. Saya akui mentah-mentah. Bukan suka-suka tidak menjaga buku, tetapi telah menjadi satu rutin, tanpa buku, saya tidak dapat melelapkan mata. Memang cintalah suasana tulisan saya kali ini kerana menyikapi hal cinta ini begitu rumit. Saya puas mencari jalan menyelesaikan pekerjaan jiwa yang sungguh sukar meletakkan formulanya secara matematika. Saya tidak mahukan cinta yang terlalu manusiawi, tidak juga terlalu rabbani sehingga hilang fitrah asli insani. Beginilah saya cuba sintesiskan kisahnya untuk kalian tentang segitiga cinta. Bukan cinta tiga segi. Sungguh tiada kena mengena.
SENDI yang TAK SETIA
Selalu sahaja kita tidak merasakan cinta. Selalu juga kita merasakan terlalu cinta. Bahagia. Tidak terungkap pada kata, namun berbahasa pada mata. Saat dilambung cinta, segalanya mungkin bagi kita. Namun saat jiwa diterjah benci, darah juga sanggup kita korbankan. Aneh sungguh kuasa cinta. Ia bagai sendi yang menggerakkan segala daya yang tadinya statik dipaku jeriji. Tetapi sendi ini juga tidak setia saat karat besi mula menggerutu, dan merapuh untuk tumbang.
Ya, hukum manusia memang juga begitu. Mensyaratkan cinta sebagai sendi untuk setiap amal perbuatan bukanlah satu rumusan yang bijaksana. Kerana, hati yang menakung cinta ini tidak selalu setia pada tuannya. Pagi ini ia menjadi terlalu baik dan memilih hal-hal taqwa sahaja. Petang nanti ia merajuk dan menjadi degil jika mahunya tidak terpenuhi. Segala taqwa yang menggemuk di pagi hari mengurus kerana emosi. Nah, bagaimana rumusan yang sepatutnya agar cinta dan amal itu seiring menggebu dalam memastikan redhaNya. Biar jangan mudah-mudah kita beralasan :
“ Tunggulah sampai saya benar-benar mencintainya, baru saya bersedia memberi komitmen”