RSS

Wednesday, August 8, 2012

DLCW, PAK CIK LIN DAN DAN KITA

Belum ada lagi dalam sejarah, dalam lipatan sirah ketamadunan dan susur galur raja-raja Melayu, seorang pahlawan yang kemenangannya dalam pertarungan dijanjikan dengan jongkong emas bernilai 2 JUTA. Bukan itu sahaja, seluruh rakyatnya pula diraikan dengan jamuan ais krim paling ‘diraja’ Baskin Robin dan  Kayu Nasi Kandar ternama dengan percuma.

Hari ini, barangkali tok imam akan menjawat dua jawatan tanpa pintanya. Imam sekaligus makmum kerana aroma ais baskin robin yang menggebu itu sudah mengecurkan lidah para makmun setianya sebelum ini. Inilah penangan DLCW yang tidak pernah diraih oleh Barack Obama, Tony Blaire dan Ariel Sharon saat memenangi pilihan raya.

Saya, kami satu keluarga adalah peminat badminton tegar. Jika menonton perlawanan badminton, dengan tanpa sedar tangan kalut menangkis bola dari Pak Cik Lin Dan. Astro B.yond benar-benar menjadikan kami seorang Lee Chong Wei!

DI SEBALIK BADMINTON

Ia berbeza. Bukan seperti sukan-sukan yang lain di mana mata permainan adalah pada sumbatan jaring. Jika tiada jaringan, tiadalah mata. Namun permainan badminton, matanya itu ditentukan oleh kesalahan musuh. Walalaupun si pemenang tidak melakukan atau tidak sempat melakukan apa-apa ‘score’. Lihatlah, hanya kerana si A serve bola lalu tersangkut di jaring, mata si B akan terus naik. Lihat juga, jika si A lagi serve bola sampai jatuh di luar garisan, mata si B naik lagi satu. Sedangkan si B hanya baru bergerak dua inci dari tempatnya berdiri. Tetapi atas kesalahan si A, matanya terus meningkat.

Lihat sahaja permainan DLCW dan Pak Cik Lin Dan, mujur tidak kena serangan jantung apabila melihat bulu tangkis tersangkut di jaring. Mujur tidak kena stroke saat melihat bulu tangkis sipi-sipi sahaja jatuh dalam garisan, walaupun sudah nanometer terkena garisan. Tetapi, kesalahan itulah mata-mata kemenangan bagi Pak Cik Lin Dan yang akhirnya berlari satu stadium mencium medal emas di hadapan penyokong mata sepetnya itu. Juara atas kesalahan lawan.

BADMINTON DAN HIDUP KITA

Ada hikmah di sebalik sukan ini dari sudut baik dan buruknya. Berapa ramai yang kita temukan, orang yang berjaya atas kesilapan orang lain. Saat melihat kesilapan dilakukan pesaingnya atau seseorang yang tidak disukainya, di situlah peluang untuk menginjaknya jatuh. Demi mengangkat dirinya yang kononnya lebih bagus daripada orang lain. Sedangkan dia tidak melakukan apa-apa, tiada pun rekod pencapaian untuk dibanggakan. Tetapi manusia jenis ini lebih suka hidup bahagia atas penderitaan orang lain. Lagi banyak kesilapan yang orang lain lakukan, lalu dikumpulkan dan diadu domba bagi menjatuhkan seseorang sehingga ‘muflis’ hidupnya. Atau anam yang lebih kurang ajar- Dengki-Busuk Hati-

Itu baru satu pengajaran untuk kita muhasabah.
Kedua, hukum alam adalah seperti badminton. Kita tidak punya banyak masa untuk membuat banyak kesalahan. Kerana kesalahan itu menutup peluang untuk berjaya. Kadang-kadang, kita melihat orang lain lebih bernasib baik bukan kerana kepandaiannya, tetapi kerana dia menumpang atas kebodohan atau kelalain kita. Contohnya, dalam sesi temuduga untuk satu jawatan. Barangkali temuduga kita tidak berjaya oleh kerana kesalahan kita yang lewat hadir, tidak yakin menjawab soalan, dan tidak cukup keterampilan akibat cincainya kita. Sedangkan, calon yang berjaya dalam temuduga itu juga bukan sebaik yang diinginkan syarikat tetapi syarikat tiada pilihan kerana calon itu tidak melakukan kesalahan seperti kita.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG

Kita bukanlah manusia yang suka bahagia atas derita orang lain. Mengintip kesalahan-kesalahan orang lain lalu mengangkat diri kita sahajalah yang baik. Dan, kita tidak mahu juga melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga banyak sekali peluang untuk menang menjadi milik orang lain. Di jalan cinta para pejuang, perbanyakkanlah tafakkur dalam setiap apa yang kita lakukan. Pada mata yang memandang, pada lidah yang bersorak dan pada hati yang girang, ada hikmah yang terbuku yang perlu kita tekuni sebagai nilai dalam kehidupan.


Tuesday, August 7, 2012

'IZZAH VS ZHONN



Saya tidak tahu mahu mulakan dari mana. Tetapi, saya harus katakan bahawa penularan penyakit ini semakin mencederakan hati dan membuatkan telinga saya bernanah. Lalu jari jemari saya semakin gatal mahu mengetik keyboard bagi meringankan ‘beban’ yang tergalas ini.

“ Saya takkan pergi pasar malam. Jika saya pergi pun, saya takkan beli apa-apa. Tengoklah, mereka itu solat atau tidak? Makanan yang kita makan tu air tangan orang tak solat, tak tutup aurat dengan baik? Makanan tu ke yang nak bagi makan kat family?”

Gulp. Saya dan teman saling memandang. Mata kami membulat dengan dahi kerut seribu. Penceramah di hadapan meneruskan lontaran idea-ideanya.

“ Dengar sini, kalau ada ‘akhwat’ mesej kamu jam 2 pagi, tanya hal yang tidak penting, jangan pernah ambil dia sebagai isteri”

Uhukuhuk. Wow, itu satu tips untuk akhwat juga! Hurmm…

APA MASALAHNYA

Ya, tiada dan memang tiada kecacatan teknikal pada penyataan di atas. Siapa mahu makan air tangan orang tidak solat, ahli maksiat dan tidak masuk syurga?Siapa pula yang hendak beristerikan atau bersuamikan si penghantar SMS lewat malam, atau kata-kata popular ahli tarbiyah, “ Tak jaga ikhtilath”? Nanti apabila sudah kahwin, belakang pasangannya pun akan dibuat hal yang sama, berhubung tanpa batasan!

Tetapi, ya tetapi…

Menjadi da’ei atau peserta tarbiyah seringkali membuatkan kita overating diri sendiri. Merasakan, hanya kita dan sesungguhnya kita, tiada lain yang lebih baik air tangannya, yang lebih solat daripadanya, yang lebih layak diambil sebagai isteri atau suami, yang lebih wara’ perlakuannya berbanding manusia ‘biasa’ lain yang kita lihat di pasar malam, di dalam LRT, di tepi-tepi jalan,di pasar raya, di facebook dan di mana-mana tempat yang kita rasa di situ adalah ‘sarang maksiat’. Memandang manusia lain yang tidak menutup aurat sebagai picisan, memandang satu kesalahannya dengan satu hukuman yang maha berat, menilai keberadaan seseorang di suatu tempat adalah lambang keimanannya.

MENGAPA TIDAK…

…kita bersangka baik. Atau kita terlalu ‘izzah (proud) dengan tarbiyah yang kita miliki sehingga kita merasakan kita sahajalah manusia yang beriman di muka bumi ini dan sebagai tanda kesyukuran memperoleh nikmat tarbiyah, membuatkan kita merasa ‘orang lain’ tidak bernasib baik seperti kita. Awas pada kata-kata yang kita lontarkan saat membahaskan tentang ‘izzah, awas ideologimu saat membanding beza jahiliyahnya mereka dan taqwaanya dirimu. Jangan sampai bersangka-sangka, menghukum dengan hanya dengan satu pandangan, dan merasa ‘ujub akan kesucian dirimu. Saat itulah amal seorang da’ei akan tersungkur hancur bagai debu. Dan mereka yang dianggap tidak solat, tidak layak dibuat ‘jodoh’, dan air tangan yang jijik seolah-olah ada air maksiat yang mengalir akan melambaimu di pintu syurga.

KETAHUILAH…

Tidak semua orang yang beramal ibadah lalu menunggu-nunggu agar orang perasan akan amalnya itu. Tidak semua orang yang mahu menjajakan yang dirinya adalah ditarbiyah dan menjaja kebaikannya agar diakui semua orang. Kawan, barangkali kita masih berada di kelompok orang tarbiyah, lalu kita mudah ‘sensitif’ dengan satu kesalahan ikhwan kita dan menganggap hilanglah tsiqahnya. Barangkali kita biasa menampilkan amal untuk berlumba-lumba akan siapakah yang lebih terkedapan dan lebih terserlah fikrahnya sehingga tertekan saat drirnya tidak mendapat perhatian atasan.

Mandirilah, merantaulah dan musafirlah. Tidak semua mereka yang berseluar jeans, berambut panjang dan ber-T tengkorak itu adalah samseng Kampung Dusun. Tidak semestinya si penjual murtabak maggi di pasar malam tidak solat hanya kerana kita melihatnya jam 7.55 masih sedang menjual. Tidak semestinya juga Cik Ti yang menghantar SMS di malam hari akan ANDALUSIA (anak dara lanjut usia) kerana terhukum oleh kecuaiannya dalam ‘ikhtilat’. Atau jika dia bernikah sekalipun pastilah lelaki ‘Playboy’ sahaja yang layak untuk Cik Ti itu.

Barangkali kita mahu berhati-hati, menjadi wara’ dengan hal-hal yang syubhah. Tetapi biarlah ia dalam hati, simpan dan sisipkan sebagai prinsip di dada. Jangan menggembar-gemburkan pra sangka buruk kita terhadap orang, jangan menghasut orang lain untuk berfikir negative tentang orang lain. Mereka yang kita sangkakan begitu begini rupanya adalah ‘seseorang di sisi Allah’, sedang kita yang begitu ‘izzah dalam kata-kata dan pelakuan kita, mungkin sedang dipilih Allah untuk ke jurang neraka. Ya, saya banyak bertemu manusia ‘biasa’ yang soleh dan manusia soleh yang aneh. Mungkin saya diberikan peluang berada dalam keadaan dua dunia berbeza; dunia tarbiyah dan dunia sosial.Tidak jarang kita temukan manusia ‘biasa’ ini lebih manusiawi, lebih sufi dan lebih bagus akhlaknya daripada orang soleh. Mereka bukannya tidak ‘izzah, tetapi rendah hati barangkali kerana mereka sedar, mereka bukanlah ustaz, ustazah. Namun, pada mereka ada ‘nilai kemanusiaan’ yang banyak juga saya kagumi.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG

Kita bukanlah juru nilai terhadap iman dan amal manusia. Sedangkan malaikat tugasnya hanya mencatat kerana apa yang dalam hati itu hanya Allah mengetahuinya. Di jalan cinta para pejuang, tidak rugi jika kita bersangka baik, memandang diri sendiri yang tidak cukup baik, bukannya orang lain. Jika tidak mampu mengawal zhonn dalam hati, jangan pula disebarkan prasangkamu ke segenap alam. Di jalan cinta para pejuang, dengan tarbiyah sahaja bukan satu-satunya jalan ke syurga, kerana syurga itu banyak pintunya..